Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Menjelang Pemilihan
Setelah mentelaah buku Falsafah Hidup yang tebalnya 419 muka surat, jadi saya memilih buku yang agak ringan dan nipis untuk dibaca seterusnya, iaitu sebuah buku koleksi cerpen yang bertajuk Menjelang Pemilihan.
Menjelang Pemilihan ialah buah pena dari sasterawan negara, Dato’ Zurinah Hassan. Melalui buku yang memuatkan 15 cerpen ini, beliau membawa pembaca untuk merenung kisah realiti terpencil dalam kehidupan, yang jarang dipedulikan atau difikirkan dalam-dalam. Antara tema utama ialah kasih sayang, patriotisme, kekeluargaan, kegigihan dan usaha untuk mencapai matlamat. Gaya bahasa yang digunakan adalah ringkas, jelas dan mudah difahami maksud tersirat yang mahu disampaikan.
Menjelang Pemilihan yang menjadi tajuk buku ini ialah tajuk cerpen yang pertama. Cerpen ini bertemakan politik dari sisi fikiran, perasaan dan pandangan anak kecil yang dibesarkan oleh ibu bapa yang terlibat dalam politik negara. Kebanyakan cerpen lain juga menyentuh isu politik secara tidak langsung.
Seterusnya dua cerpen yang menggambarkan realiti dilema perempuan masa kini iaitu Tibanya Musim Gugur dan Kabut Aidilfitri. Antara tanggungjawab sebagai ibu dan anak perempuan, yang mana perlu diutamakan, ditambah pula tanggungjawab terhadap kerjaya yang perlu difikirkan. Jika ketiga-tiga peranan ini perlu diberi perhatian yang sama penting dalam satu masa, ia sangat memeningkan kepala dan meletihkan seorang perempuan. Semua ini adalah realiti yang begitu dekat di hati perempuan yang semakin menginjak umur dewasa pada era modenisasi ini. Bertambah umur, bertambah tanggungjawab. Satu per satu perlu diuruskan dengan kematangan dan ketabahan.
Cerpen Perempuan Melaka Episod Terakhir yang menceritakan pengorbanan srikandi Melaka suatu ketika dahulu begitu melekat di jiwa. Perempuan dijadikan seperti barangan tukaran untuk mengukuhkan kuasa raja. Tun Kudu diceraikan oleh Sultan Muzaffar Shah dan diarah berkahwin dengan Bendahara Tun Ali untuk mendamaikan sengketa dan menjaga kedudukan sultan di atas takhta. Puteri Hang Li Po terpisah dari ayahanda dan bondanya di China kerana dihantar ke Melaka untuk menjadi isteri sultan yang keempat, untuk menunjuk kepada negeri musuh bahawa Melaka mempunyai hubungan erat dengan negeri besar, China. “Melaka dipenuhi lelaki aneh dan Melaka juga dipenuhi perempuan yang menderita. Perempuan Melaka telah berkorban jiwa raga demi negara dan menanggung kepedihan untuk mengukuh kuasa lelaki aneh. Mereka dibuat seperti bunga yang boleh digubah sesedap titah.”
Penulis juga melahirkan kebimbangan terhadap sikap orang Melayu yang semakin tercela dalam cerpen Putera Tanpa Bumi. Putera yang berketurunan Melayu bermimpi telah kehilangan tanah pusaka iaitu bumi Melayu. Antara punca yang menyebabkan kehilangan itu ialah sebahagian orang Melayu binasa akibat ketagihan dadah, maut dalam perlumbaan haram, bayi Melayu tidak sempat dewasa kerana mati dibuang ke dalam tong sampah, anak gadis dirogol oleh ayah sendiri , golongan remaja yang membuang masa melepak di pasar raya dan ada juga orang Melayu yang telah membuang agama dan jati diri Melayunya. Kesemua sikap ini mengakibatkan negeri Melayu telah jatuh ke tangan orang lain dan tiada lagi hak keistimewaan kepada orang Melayu di tanah sendiri. Tanah Melayu hilang disebabkan sikap orang Melayu sendiri.
Begitulah antara realiti kehidupan yang diceritakan dalam buku ini, Menjelang Pemilihan tulisan Zurinah Hassan.
Nur Mustika Adriena
Alor Setar|17Mac2018
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca