Ulasan Buku : Menjadi Wanita Kaya Pahala

Nama buku: Menjadi Wanita Kaya Pahala

Penulis: Hana binti Abdul Aziz Ash-Shanii

Muka surat: 144

Penerbit: At-Tibyan

Tahun terbit: 2014

Cetakan: 11

Wanita yang rajin beramal soleh ialah wanita yang tekun mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Dia meyakini bahawa akan adanya balasan syurga buat orang-orang yang senantiasa sibuk memikirkan urusan akhiratnya.

Sedangkan wanita yang meninggalkan suruhan Allah dan mengerjakan segala yang diharamkan ialah wanita yang tidak takut betapa dia telah mengundang kemurkaan Allah, sekali gus tidak mendatangkan pahala kebaikan buatnya.

Kita beramal kerana perintah daripada Allah SWT supaya kita sebagai hambanya mampu menuai kebajikan dan mengumpul pahala yang boleh membantu memberatkan lagi timbangan amalan kita di hari perhitungan kelak. Allahuakbar.

Tahukah kalian, sebenarnya mudah bagi kita mendapatkan banyak pahala dengan hanya mengerjakan perkara yang disyariatkan dalam Islam. Kita juga mudah mendapatkan pahala yang banyak melalui peranan kita terhadap persekitaran.

Namun, kadang kala kerana kelalaian dan kesibukan dan ketamakan kita yang lebih mengutamakan kepentingan dunia, kita terlepas dalam mengejar kebaikan, terlepas beramal soleh kerana lebih mendahulukan nikmat dunia yang menggiurkan.

Buku karangan, Hana binti Abdul Aziz Ash-Shanii yang mengangkat tema Menjadi Wanita Kaya pahala ialah buku yang menyuguhkan kepada wanita mengenai cara kaum muslimah memperoleh pahala mengikut metod-metod Islam.

Apa yang perlu kaum wanita lakukan bagi menjadikan dia seorang wanita yang sangat kaya terhadap pahala, dibentang cukup luas bagi memastikan alternatif yang disediakan tidak meninggalkan sedikit pun kebaikan yang hendak ditunaikan.

Karya ini merangkumi seluruh aspek yang turut menyentuh tentang tanggungjawab, sosial, aktiviti wanita yang amat mempunyai kaitan dengan diri seorang muslimah dan orang lain. Sehingga kita dapat merasakan bahawa pahala sedang berkeliaran untuk kita segera merebutnya.

Buku ini cuba memahamkan kepada kita bahawa salah satu usaha untuk membuatkan wanita tersebut memudahkan dirinya mengaut pahala, bukan sekadar bertaqarrub dan bermunajat kepada Allah SWT.

Bukan didapati dengan hanya duduk bersimpu ditilam sejadah sambil mengira bilangan zikir hingga ke heningan subuh. Namun, pahala juga boleh didapati mengikut pelbagai kaedah kita seperti menjaga hubungan silaturahim sesama manusia.

Antara contoh-contoh yang meliputi hal berkenaan adalah seperti memelihara aib saudara semuslim, memberi maaf kepada orang lain, meninggalkan sesuatu yang sia-sia, merawat lisan daripada bercakap tidak baik, jangan mengghibah dan memperelokkan akhlak.

Dengan cara memelihara perkara-perkara ini ia dilihat dapat membantu kita untuk taat kepada Allah, menolong kaum wanita menggapai pahala dalam setiap perkara yang dilaksanakan demi mencapai reda daripada Maha Pencipta.

Dengan menjaga hak kita sebagai wanita yang hidup bermasyarakat, mudah sekali membuat pahala kebaikan mengalir. Untuk inilah, penulis menyarankan kaum muslimah untuk belajar agar tidak meremehkan apa saja bentuk situasi yang berada di sekeliling.

Buku ini diserikan kata pengantar daripada ulama tersohor yang amat dikagumi ketegasannya, Syaikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin

Kepada seluruh akhwat muslimah, berbekalkan kecerdasan penulis buku yang berikhtiar untuk mengajak kita turut sama mengutip pahala yang berganda-ganda, buku ini sangat baik sekali buat mereka yang merasakan,

1. Masih tidak tahu bagaimana memacu diri sendiri untuk tetap teguh dalam beramal shalih.

2. Untuk memperbahari tingkah laku yang boleh mendorong kita mengecapi keuntungan yang besar kerana menjauhkan diri daripada segala pidana.

3. Buku ini ibarat kandil yang menerangi kehidupan para muslimah agar tidak berputus asa saat berkerja keras mendambakan kasih sayang Allah, sudah tentu ada imbalannya buat wanita yang berjiwa sabar dan ikhlas.

“Pesan penulis ini ditujukan untuk saudari-saudarinya yang seagama, berharap di jalan yang lurus, dan agar setiap amal perbuatan, baik duniawi maupun ukhrawi yang dilakukan semata-mata mengharapkan pahala dari Allah SWT.” Kata Pengantar Syaikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67