Ulasan Buku : Menggapai Bintang

Menggapai bintang adalah buku kelima yang ditulis oleh Ustaz Syaari Ab Rahman, seorang pengasas dan felo pendidik Tadabbur Centre. Buku ini mengandungi 272 muka surat, diterbitkan oleh Iman Publication SDN BHD dan telah dicetak dua kali berturut-turut pada tahun 2019.

Penulis meletakkan tema ataupun tajuk sedemikian dengan mengandaikan kisah-kisah dalam al-Qur’an ibarat bintang-bintang yang bertaburan di langit. Bukan sekadar hiasan malam, tetapi turut menjadi panduan buat mereka yang mencari arah. Kiasan ini jika dicermati, sangat mendalam definasi dan maknanya. Kerana cahaya bintang juga, para musafir dapat keluar pada waktu malam.

Buku ini menghimpunkan banyak peristiwa yang terkandung dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Malah, terdapat kejadian lampau dinukilkan agar pembaca memperolehi manfaat dan memetik sedikit pelajaran.

Saya mengira, judul buku ini salah satu karya yang mengajak kita mentadabbur pada setiap kisah-kisah tertentu yang dipaparkan. Ada yang kita tidak pernah dengar tetapi sebenarnya wujud selepas kita menela’ah buku ini. Mungkin kerana kita tidak pernah membaca Al-Qur’an dan terjemahannya mengenainya. Atau barangkali terlepas pandang akan keabadian kisah tersebut.

Setiap kisah atau cerita yang terkandung tidak lain melainkan membawa kita merenung akan kehebatan dan keagungan Allah mencipta setiap kejadian alam. Tentu, kronologi dalam buku ini dipersembahkan untuk kita menjadikan ia sebagai inspirasi dalam kehidupan.

Berikut antara mesej yang terkesan sekali di antara 18 bab yang dinyatakan :

1-  Didik Anak dengan kisah Nabi Adam As.

3 tips mendidik anak tersebut dapat para ibu bapa terapkan melalui kisah Nabi Adam As. Secara ringkasnya, pertama, Mendidik anak beriman kepada Rasul. Kedua, mendidik anak beriman kepada Malaikat. Ketiga, Mendidik anak beriman kepada Qadha’ dan Qadar.

2- Hikmah Perkataan Insya-Allah.

Kalimah insya-Allah terdapat dalam Surah Al-Khafi. Antaranya dalam ayat ke-69 berkenaan kisah Nabi Musa menyebut insya-Allah. Kalimah ini mengajarkan kita bahawa seseorang tidak mengetahui akan apa yang berlaku pada keesokan hari. Oleh kerana itu, setiap pekerjaan atau sesuatu yang akan dilaksanakan hendaklah disusuli ucapan Insya-Allah sebagaimana jelas perintah Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 23-24.

3- Tidak Mencontohi sikap Ashab Al-Sabti.

Ashab Al-Sabti bermaksud bani israel yang dikurniakan hari sabtu dan kaum Nabi Musa As yang ditinggal dipersisiran pantai. Mereka antara kaum yang disumpah menjadi kera kerana melanggar perintah Allah iaitu jangan menangkap ikan pada hari Sabtu kerana hari tersebut hari ibadat yang diwajibkan kepada mereka. Sungguh, kaum muslim tidak wajar mencontohi sikap kaum Ashab Al-Sabti. Mereka bukan hanya gelojoh melihat ‘nikmat’ ikan-ikan itu tetapi tidak mempedulikan amaran keras daripada Allah.

4- Malaikat Harut dan Marut.

Kedua malaikat ini disebutkan namanya dalam Surah Al-Baqarah ayat 102. Malaikat Harut dan Marut diturunkan di negeri babylon dalam bentuk manusia untuk membantu dakwah Nabi Sulaiman kerana kaumnya menuduh Nabi Sulaiman melakukan sihir. Harut dan Marut antara nama Malaikat yang pernah menjadi dongengan tetapi wujud dan diabadikan dalam Al-Qur’an.

5- Belajar 3 Karakter dari Kakak Nabi Musa As.

Kakak Nabi Musa As antara wanita hebat disebutkan dalam Surah al-Qasas ayat 11-12. Walaupun agak jarang kita mendengar kerana tidak dinyatakan namanya tetapi dalam diri kakak Nabi Musa As ada 3 sikap yang boleh kita teladani.

Pertama, Ketaatan. Ketika Nabi Musa As dihanyutkan ke Sungai Nil dalam sebuah peti, Ibu Nabi Musa meminta anak perempuannya mengikuti Nabi Musa As. Hanya 1 perkataan dari ibu Nabi Musa As iaitu  ِقُصِّيه bermaksud ‘ikut’ kakak Nabi Musa As faham akan arahan itu dan mengikuti jejak kemana pun Nabi Musa As dihanyutkan.

Kedua, Kebijaksanaan. Dia mengikuti peti itu sehingga orang ramai tidak mengetahui keberadaannya. Kebijaksanaan kakak Nabi Musa As dibuktikan dalam ayat وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ bermaksud orang ramai tidak menyedarinya.

Ketiga, Keberanian. Disebutkan bahawa kakak Nabi Musa mengikuti adiknya hingga peti itu sampai ke Istana. Walhal, istana firaun sangat besar dan ramai bala tentera. Bererti kakak Nabi Musa As berhati-hati mengekori Nabi Musa As.

Sejujurnya, ada lagi yang menarik perhatian terhadap perkongsian penulis buku ini. Antaranya teknik seseorang itu menguruskan kewangan mengikut formula YUSUF. Ini juga sebenarnya metod yang diaplikasikan dari cara Nabi Yusuf As yang menguruskan krisis kewangan ketika baginda berada di Mesir. Mungkin kita sudah boleh bersiap siaga menggunakan kaedah ini disaat mendepani wabak covid 19 yang sedang perlahan-lahan menjatuhkan ekonomi dan perbelanjaan.

Akhir kata, buku ini adalah dambaan pada setiap insan-insan yang merindukan kisah ataupun sirah dalam Al-Qur’an. Kelebihan buku ini, terdapat tafsiran ayat-ayat Al-Qur’an dicerakinkan untuk difahami lebih detail kerana setiap ayat itu mempunyai keistimewaan dan maksud yang berbeza-beza.

Semoga buku ini membantu kita mencintai Al-Qur’an melalui petikan ibrah dan mutiara ilmu yang ditemukan.

“Semua kisah yang diceritakan dalam Al-Qur’an adalah pelbagai, dan tidak ada satu pun yang sama dan terjadi secara kebetulan. Mungkin kita berasa ada sesetengah cerita yang ada seakan-akan sama, hakikatnya jika direnung secara mendalam, ia berbeza. Maka, lihatlah bintang dan bacalah alam dengan hati. Ibrah itu pasti akan ditemui.” [Menggapai Bintang, hal.17, Syaari Ab Rahman]


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67