Ulasan Buku : Mencari Unta Merah Jepun

Nama buku : Mencari Unta Merah Jepun
Penulis :  Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
Penerbit :  Jejak Tarbiah
Tahun Terbit : 2020
Cetakan : Pertama
Muka surat : 388

Ustaz Abdullah Bukhari Abdurrahman Rahim ialah penulis yang tidak asing lagi namanya dalam memotivasikan masyarakat melalui petikan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith.

Mencari Unta Merah Jepun ialah buku ziarah penulis pada tahun 2017, 2018 dan 2019 di negara bunga sakura. Kembara beliau bermula apabila penulis mendapatkan tajaan daripada beberapa pihak yang berbesar hati untuk memperkembangkan lagi dakwah di Jepun. Perjalanan penulis ke Jepun dihadiri oleh sahabat-sahabat dari Malaysia seperti Dato’ Dr Abdul Basit, Dr. Kamilin dan lain-lain.

Ketika di Jepun, penulis mengerah tenaga bersama seorang bekas jurutera yang telah lama menetap di sini untuk mengubah suai dan membeli sebuah bangunan untuk dijadikan sebagai markas dakwah. Zulkarnain ialah pemuda berasal dari Malaysia yang dihantar melanjutkan pelajaran di Jepun telah berkahwin dengan seorang wanita Jepun iaitu Kyoko Kimata atau nama Islamnya,  Nur Shahirah.

Semangat cintanya kepada Islam telah membawa dia bertukar ke bidang dakwah dengan menubuhkan Nippon Muslim Corporation. Sebagai umat Islam kita layak berbangga atas pertukaran jurusan beliau demi menabur bakti Islam di Jepun.

Hasil kutipan dana sebanyak RM 3.5 juta diperolehi daripada sumbangan orang ramai yang mahu meraih pahala bersama, akhirnya Japan Dakwah Centre di Osaka berjaya dibina atas bantuan Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit yang ditubuhkan oleh penulis bersama rakan-rakan seangkatan.

Sepanjang terlibat dalam misi dakwah di Jepun berbagai-bagai cabaran ditempuhi oleh penulis dan sahabat yang lain. Nyata, berdakwah di tanah kelahiran sendiri ini lebih mudah dan tidak rumit. Walau bagaimana pun, menyebarkan Islam di negara bukan Islam membuahkan pengalaman manis dan luar biasa.

Dari segi cabaran, buku ini menjelaskan kesukaran berinteraksi kerana budaya masyarakat Jepun terbiasa menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa pengantara. Di samping itu, kurangnya pendakwah yang arif dalam selok belok agama meskipun Jepun salah satu negara paling maju dari sudut teknologi di dunia.

Sewaktu menyelak halaman seterusnya, ada beberapa perkara yang menyebabkan mata saya buntang seketika di sebalik keindahan negara 4 musim ini.

Antaranya, di Jepun walaupun Islam ialah penduduk minoriti, terdapat sebahagian umat Islam berniaga makanan halal seperti Restoran Kobe Mahal yang diusahakan oleh seorang wanita yang telah memeluk Islam, Fariah.

Terdapat sebahagian pusat penyebaran Islam seperti Osaka Islamic Centre yang dinyatakan oleh penulis dalam bab 6 dan membuktikan bahawa Islam cukup berkembang di mana-mana. Namun, penerimaan masyarakat Jepun terhadap orang-orang Islam sangat lain dan berbeza.

Penulis memaklumkan bahawa kuil dan gereja lebih banyak dibina di sini manakala masjid boleh dikira dengan jari. Apabila mengetahui kedudukan Masjid Kyoto terletak di bawah tanah dan berada di bandar Kyoto yang pesat terasa seperti Islam dianak tirikan dan perlu disembunyikan. Allahu Akhbar.

Walaupun ada onak dan duri menghalang secara halus, penulis semakin aktif  mengislamkan sebahagian masyarakat di Jepun. Tambahan pula, penulis tidak mahu mensia-siakan peluang merebut unta merah untuk dibawa menghadap kepada Allah ta’ala.

Dalam hadith Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan berkenaan pahala mengajak seorang manusia mengenal Islam lebih baik daripada seekor unta merah di mana nilainya sangatlah mahal bagi orang arab suatu ketika dahulu. Hal ini membuatkan ustaz Abdullah Bukhari terinspirasi untuk menuliskan tajuk yang bertepatan dengan tema ziarah di Jepun.

Demi mengejar ‘unta merah’ ini penulis meneruskan ekspedisi dakwah untuk menyebarkan Islam lebih meluas agar bumi Jepun senantiasa subur dengan bertambahnya umat Islam.

Justeru, buku ini meninggalkan bekas yang padu buat kalangan pembaca iaitu,

1. Berusaha mengerjakan kebajikan iaitu membawa orang yang belum Islam mengenal kepada Islam kerana ia merupakan amalan yang cukup besar dan imbalannya ialah Syurga.

2. Mentaati Allah walau di mana pun kita berada. Kita seharusnya bersyukur kerana tinggal di negara Islam dan pemimpin yang Islam. Bebas beribadah tanpa janggal terhadap mata-mata manusia yang tidak menyenangkan.

3. Mempelajari sirah dan kisah-kisah teladan yang dinukilkan oleh penulis. Ustaz Abdullah Bukhari senantiasa menyelitkan catatan sejarah umat Islam terdahulu untuk dikaitkan dalam kehidupan manusia. Tujuannya, supaya umat Islam dapat menerapkan nilai-nilai dan ibrah sepanjang travelog penulis ke negara matahari terbit.

4. Bersabar dalam berdakwah kepada bukan Islam. Lihatlah bagaimana permulaan dakwah baginda shallahu ‘alaihi wa sallam mengajak manusia mentauhidkan Allah ta’ala. Baginda dicela, dicemuh, dituduh gila bahkan dilemparkan kotoran berbau namun ia tidak sedikit pun menghentikan dakwah dalam mengislamkan masyarakat.

5. Percayalah jika dakwah disulami keluhuran akhlak dan acuan sunnah mengikut garis panduan yang betul, orang bukan Islam mudah tertarik memeluk agama Islam sebagaimana yang dilakukan oleh penulis.

Penulis turut merumuskan enam strategi dalam mengumpulkan dana dan tip bagaimana kegiatan dakwah mereka berjaya. Daripada enam yang terkandung antara yang boleh saya kongsikan secara ringkas, iaitu pertama menyemak semula niat.

Mengakhiri kisah kembara ini, karya Ustaz Abdullah ini perlu dimiliki bagi mereka yang inginkan sentuhan nasihat dan mempelajari metod dakwah kepada non muslim dengan betul daripada penulis. Karya yang membawa kita menyelami dan mendalami perjuangan penulis serta mereka yang terlibat tanpa noktah demi merebut pahala unta merah.

“Jika dahulu, Masjid Nabawi Madinah berjaya mengubah dunia dengan sinaran Islam, tidak mustahil bagunan Japan Dakwah Centre yang sama-sama kita bina ini boleh mencetus sumber cahaya Islam di Jepun. Insya-Allah!.” Penutup penulis, hal. 375, Mencari Unta Merah Jepun.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67