Ulasan Buku : Men Are From Mars, Women Are From Venus

“Lelaki dan perempuan bukan sahaja berbeza dari segi cara komunikasi tetapi juga berbeza dari segi pemikiran, perasaan, perspektif, reaksi, respons, cara bercinta, keperluan, dan cara mereka menghargai sesuatu.”

Men Are From Mars, Women Are From Venus, sebuah buku kategori ‘self-help’ yang memberi pendedahan tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan serta panduan memperbaiki komunikasi dan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bacaan saya ialah dalam edisi Bahasa Melayu yang diterjemahkan oleh Adlie Syamsudin Samsudin dari penulis asal iaitu John Gray dengan tajuk yang sama. 367 muka surat yang memuatkan 13 bab bukan penulisan kosong yang ditulis mengikut rasa hati penulis semata-mata tetapi dengan hasil kajian penulis selama 7 tahun. Bukan tempoh masa yang singkat. Kita ada banyak buku, tapi tidak semua buku bermutu. Buku ini buku yang bermutu, buku berkualiti.

Sebagai seorang yang jarang mengikuti atau mengambil peduli tentang perkembangan penemuan atau kajian perbezaan antara lelaki dan perempuan, buku ini telah memberi satu input baru yang perlu disimpan kemas dalam minda. Tambahan pula fakta dan isinya yang berdasarkan kajian menjadikan buku ini utuh serta jaminan penulis bahawa buku ini tidak bias kepada lelaki mahupun perempuan. Setiap isu perbincangan dibawa dengan seimbang antara lelaki dan perempuan mengikut sifat keaslian masing-masing. Ia juga telah menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut perihal perbezaan ini memandangkan interaksi antara lelaki dan perempuan ini berlaku setiap hari, baik bersama pasangan, rakan sekerja, saudara mara, keluarga dan juga adik beradik.

Meskipun contoh dan situasi yang banyak digunakan dalam buku ini ialah situasi perbualan atau komunikasi dalam rumah tangga, intinya masih kita boleh sepadankan dalam situasi lain asalkan melibatkan interaksi antara dua jantina ini. Hal ini kerana, buku ini mempunyai tujuan asas lebih penting iaitu untuk memperbaiki masalah komunikasi dan perhubungan antara lelaki dan perempuan, khususnya antara suami dan isteri yang kebanyakan membawa kepada perceraian. Malahan, telah banyak pasangan yang terselamat daripada perceraian setelah mengetahui hasil kajian ini melalui buku dan seminar penulis.

Menurut kajian mereka, kebanyakan pasangan bertengkar yang seterusnya membawa kepada perceraian bukan kerana punca pergaduhan itu terjadi tetapi lanjutan daripada cara mereka bertengkar. Keegoan dan mesej tafsiran yang diterima berlainan daripada apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh pasangan, ditambah pula serangan peribadi ke atas pasangan membuatkan perasaan cinta bertukar menjadi perasaan jelik terhadap pasangan. Oleh itu timbullah ayat seperti “saya tidak boleh hidup bersama dia lagi”, “dia tidak pernah memahami saya”, “saya sudah tawar hati dengan dia” dan bermacam-macam lagi.

Men Are From Mars, Women Are From Venus memulakan perbincangan dengan memahamkan pembaca bahawa lelaki dan perempuan sememangnya berbeza. Adalah salah sekiranya kita mengharapkan mereka juga “mahukan apa yang kita mahukan” dan “merasakan apa yang kita rasakan” kerana ternyata antara lelaki dan perempuan berbeza cara fikirnya dan perasaannya. Oleh itu, di sini komunikasi akan bermula untuk meluahkan apa yang kita mahu dan kita rasa kepada mereka.

Komunikasi antara lelaki dan perempuan juga berbeza. Lelaki dan perempuan mempunyai bahasa dan kamus tersendiri yang hanya difahami oleh mereka. Ia adalah hal yang semula jadi. Justeru, tidak hairan jika frasa yang sama digunakan dalam perbualan sesama perempuan tidak menimbulkan apa-apa isu, tetapi apabila perbualan dengan lelaki, frasa yang sama telah membuatnya kecewa, dan begitu juga sebaliknya. Bukan kerana lelaki itu terlebih sensitif, hanya cuma tafsiran mereka terhadap maksud ayat yang berbeza. Dalam buku ini ada diterangkan dengan lebih lanjut tentang ketidaksefahaman bahasa lelaki dan perempuan yang jarang kita sedari ini.

Sifat lelaki dan perempuan yang berbeza lebih mudah difahami apabila penulis mengemukakan dua perumpamaan iaitu lelaki ibarat gelang getah dan perempuan ibarat ombak. Lelaki ibarat gelang getah kerana lelaki kebiasaannya akan menjauhkan diri atau menyendiri buat seketika (selalunya apabila dia menghadapi masalah) kemudian akan kembali semula; seperti gelang getah yang bersifat elastik. Pada ketika ini, perempuan akan mula berasa tidak dipedulikan, akan berasa dia telah membuat kesalahan dan cuba untuk memperbaiki. Percubaan perempuan untuk memperbaiki keadaan itu kemungkinan akan mengakibatkan pertengkaran. Kerana apa yang perlu dilakukan oleh perempuan hanyalah membiarkan lelaki bersendiri. Beri ruang kepadanya. Kerana itu yang diperlukannya.

Manakala perempuan pula ibarat ombak kerana emosinya yang turun naik seperti pukulan ombak. Ada ketika dia berasa seronok, gembira, bermotivasi (digambarkan dengan gerakan ombak yang bergerak naik) dan ada ketika pula dia berasa tidak gembira, tidak bermotivasi, dan perasaan negatif lain yang cuba menguasai diri mereka (digambarkan dengan gerakan ombak yang turun menjunam). Pada ketika ini, lelaki berasa ada yang tidak kena sehingga perempuan itu tiba-tiba tidak gembira dan selalu mengeluh, lalu lelaki cuba untuk menenangkannya dengan berkata “tiada apa yang perlu dirisaukan” atau frasa lain yang sewaktu dengannya. Cubaan lelaki sebegitu dengan harapan murni supaya dapat menenangkan perempuan berkemungkinan akan mengakibatkan pertengkaran. Kerana apa yang perlu dilakukan oleh lelaki saat itu ialah mendengar setiap keluhannya dan cuba menunjukkan empati terhadapnya.

Kedua-dua sifat ini bukan hanya berlaku sekali sahaja seumur hidup, tetapi ia adalah kitaran natural dalam kehidupan. Ini bermaksud, kelakuan ini akan berlaku berulang kali mengikut kitaran setiap individu. Oleh itu, adalah salah sekiranya kita menganggap apabila mereka telah melepasi situasi itu, ianya tidak akan berulang lagi. Ia akan berulang lagi dengan masalah yang lain dan tekanan yang berbeza tetapi cara mereka menghadapinya tetap sama, iaitu lelaki akan bersendiri dan perempuan perlu didengari. Kesimpulan mudah apabila lelaki menghadapi masalah ialah, mereka akan diam seribu kata, dan apabila perempuan menghadapi masalah, mereka akan bercerita seribu kata. Ini salah satu perbezaan sifat keaslian lelaki dan perempuan yang dikemukakan oleh buku ini.

Perumpamaan ini bukan sahaja akan lebih mudah difahami oleh orang lain, malah membuatkan kita lebih memahami diri sendiri. Dan menyedari bahawa emosi turun naik yang kita alami dalam kehidupan adalah normal, hanya cuma perlu dikawal dengan baik.

Mengapa mengetahui perbezaan ini begitu penting, terutama dalam rumah tangga antara suami dan isteri? Kerana dengan mengetahui perbezaan ini, kita tidak akan tersalah anggap terhadap pasangan dengan menyangka bahawa pasangan tidak menyayangi dan mempedulikan kita hanya kerana tindakan dan caranya menunjukkan kasih sayang tidak sama seperti yang kita berikan. Sedangkan, apa yang kita berikan itu, yang kita anggap hanya kita yang selalu memberi tetapi pasangan tidak, juga sebenarnya tidak memberi kesan besar terhadap pasangan. Kerana kita memberi apa yang kita mahu bukan apa yang pasangan perlukan. Ya, keperluan emosi lelaki dan perempuan berbeza. Bagaimana hendak mengetahui? Dapatkan dan baca buku ini 😉

Secara ringkas saya beritahu bahawa keperluan emosi perempuan ialah perhatian, pemahaman, berasa dihormati, belaian, perasaan mereka betul dan diberi keyakinan. Manakala keperluan emosi lelaki pula ialah kepercayaan, penerimaan, berasa dihargai, dikagumi, tindakan mereka betul dan diberi galakan. Berbeza bukan? Untuk mengetahui melalui cara apa dan bagaimana emosi ini dapat dipenuhi, perinciannya ada diterangkan melalui buku ini.

Buku ini bukan menuntut untuk kita menyamakan perbezaan, tetapi untuk memahami perbezaan. Penulis berusaha supaya lelaki dan perempuan dapat mengekalkan sifat keaslian masing-masing tanpa perlu mengecewakan sesiapa. Walau bagaimanapun, ada bahagian dalam penulisan Barat yang perlu kita tapis, tetapi tetap tidak memadamkan manfaatnya yang jauh lebih meluas. Dalam rumah tangga Muslim, adalah lebih bermakna jika isi fakta dari penulisan Barat juga dapat dipadankan dengan ajaran al-Quran dan sunnah tentang kerukunan rumah tangga. Kerana “أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ”.

Saya ingin sekali berkongsi sebahagian pesanan akhir penulis di bahagian penutup dalam buku tersebut. Pesanannya mendamaikan dan sarat dengan nasihat-nasihat positif. Inshaa Allah saya akan berkongsi di entri yang lain.

Selamat membaca.

Semoga bermanfaat.

 

Nur Mustika Adriena

20 Jun 2018 | Alor Setar


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22