Ulasan Buku : Membumikan Tadabbur

“Tadabbur Itu dapat capai pada hujung ayat. Iaitu ketika kita mulai berfikir, “Apakah manfaat yang aku boleh dapati melalui ayat ini?”. Pertanyaan demi pertanyaan berbentuk monolog dalaman seperti ini akan mendorong kita untuk berfikir tentang hikmah dan nilai pengajaran. Daripada situlah kita dapat merasai kemanisan ketika berinteraksi dengan ayat-ayat Allah.” [Membumikan Tadabbur hal.5]

Al-Qur’an adalah kitab paling agung dan menjadi rujukan utama bagi seluruh umat manusia. Bahkan kitab yang wajib telusuri dan didalami setiap ayat dan maknanya. Sebagai manusia biasa, terkadang kita terleka dalam menunaikan tanggungjawap kita terhadap Al-Qur’an yang diyakini keunggulan dan kehebatannya.

Membumikan Tadabbur adalah sebuah naskhah yang akan membawa masyarakat mengembalikan semula penghayatan yang pernah hilang ketika membaca Al-Qur’an.

Menerusi slot artikel dari para penulis yang juga terdiri daripada ahli dream TC akan mengajak kita menyedari hakikat perjalanan seorang makhluk yang bernama insan tidak akan lengkap tanpa menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk dan buah fikir dalam kehidupan.

Buku ini diterbitkan oleh Tadabbur Centre dimana mereka mempunyai misi dan visi dalam mendekatkan masyarakat berinteraksi dengan Al-Qur’an melalui program dan pusat pembelajaran yang diadakan.

Membumikan Tadabbur adalah kelahiran sulung Tadabbur Centre, sudah dicetak 2 kali pada tahun 2019 dan berhalaman 340 muka surat.

Istimewanya buku ini kerana diserikan lagi kalam Murobbi, Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim dan kata pengantar daripada 2 orang terkemuka iaitu Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Prof Madya Dr Mohd Sukki Bin Othman.

Buku ini mengandungi 6 persoalan yang kita akan temui jawapannya dalam meningkatkan semula kecenderungan kita merindukan Al-Qur’an. Antaranya :

1- Bagaimanakah caranya untuk mentadabbur Al-Qur’an ?

2- Adakah terdapat pengulangan di dalam Al-Qur’an ?

3- Mengapa kita terhijab daripada memahami Al-Qur’an ?

4- Bagaimana Makiyyah dan Madaniyyah membantu Tadabbur Al-Qur’an ?

5- Apakah tips-tips berinteraksi dengan Al-Qur’an ?

6- Bagaimana berinteraksi dengang golongan LGBT menerusi tadabbur Al-Qur’an ?

Membaca Al-Qur’an menjadikan seseorang itu terkesan akan sepotong ayat yang cuba memberi teguran kepada dirinya. Keindahan susunan dan olahan ayat Al-Qur’an itu sendiri membuat pembaca mahu terus membaca dan memahami maksud yang terpendam disebaliknya.

Membaca dan memahami Al-Qur’an tidaklah sempurna tanpa mengaplikasikan dan mengamalkan setiap isinya baik berupa larangan dan suruhan yang diperintahkan Allah subhanahu wa ta’ala.

Al-Qur’an mudah hilang dari dalam ingatan seperti unta terlepas dari ikatannya. Seorang penulis di dalam buku ini menyebutkan ada 4 perkara mengapa kita sukar mentadabburi Al-Qur’an.

Pertama. Lemah menguasai Bahasa Arab.

Kedua. Terkejar-kejar untuk menghabiskan bacaan Al-Qur’an.

Ketiga. Terlalu mementingkan tajwid dan juga sebutan huruf.

Keempat. Terlibat dengan perkara yang sia-sia.

Apabila 4 perkara ini sering berkeliaran menguasai harian kita, pasti kita terasa betapa jauhnya terhadap Al-Qur’an walaupun Al-Qur’an sentiasa ada tersusun di samping kita. Pasti kita tersasar kerana kerap tergopoh-gapah atau malas mempelajarinya.

Oleh yang demikian 4 sebab ini perlu diperhatikan agar kita terhalang dari mengerjakan hal-hal yang tidak berfaedah dan membohongi kita dari mencintai maksud sebenar Al-Qur’an.

Setelah itu barulah kita dapat menunaikan kewajipan kita pada Al-Qur’an melalui 5 perkara :

1- Mendengar Al-Qur’an dengan fokus.

2- Membaca.

3- Menghafal Al-Qur’an.

4- Tadabbur Al-Qur’an.

5- Beramal dengan Al-Qur’an.

5 perkara ini jika dipratikkan dengan jayanya akan mengubah hidup seseorang yang jahil beramal dengan Al-Qur’an menjadi alim mempelajari Al-Qur’an.

Proses mendapatkan kenikmatan Al-Qur’an dapat dicapai melalui puncak tadabbur dan akan memuhasabahkan lagi si pengamalnya.

Secara ringkas, ada 8 langkah untuk kita mentadabbur Al-Qur’an sebagaimana cadangan yang dinukilkan di dalam buku ini. Berikut ialah :

1- Teruja & Ta’awwuz

2- Ambil berat

3- Dapatkan Makna

4- Ajukan Soalan

5- Belek Tafsir

6- Bertanya Faedah

7- Usahakan Amal

8- Rasai Penyucian Jiwa

Dikhabarkan bahawa Fudhail bin Iyadh seorang ulama yang masyur bertaubat dan membatalkan hasrat mencurinya kerana terdengar seseorang sedang mendirikan solat dan membaca pada ayat 16 Surah Al-Hadid.

Begitulah Al-Qur’an jika difahami maksudnya pasti meninggalkan bekas yang teramat dalam dan membuahkan keinsafan seperti kisah Fudhail bin Iyadh. Semakin tunduk dan taat kepada Tuhan-Nya. Semakin bercambah iman dan ketakutannya terhadap ayat Al-Qur’an yang didengarkan.

Seperti itulah kita yang berusaha mendampingi Al-Qur’an akan menambahkan lagi pengetahuan dan amalan kita ketika berada di dunia.

Al-Qur’an menyimpulkan peristiwa dasyat dahulu kala dan merekodkan kisah-kisah para Anbiya, orang-orang soleh dan azab yang turun sehingga disaksikan oleh segenap kaum pada ketika itu. Mereka merasainya dan menyebabkan mereka segera bertaubat.

Adapun kita, tidak dapat melihat kejadian azab melainkan mengimani apa yang pernah berlaku di dalam kitab suci Al-Qur’an.

Dan tidak lah seseorang itu dikatakan alim membaca Al-Qur’an melainkan dia mengambil ibrah dan mencungkil pengajaran disebalik kisah ataupun ayat yang dipaparkan dengan cara mentadabur ataupun memahaminya.

Fahami konsep dan makna tadabbur dalam membumikan Tadabbur. Sebuah judul dan koleksi artikel berkenaan Al-Qur’an yang akan membangkitkan semula nilai-nilai tadabur terhadap kalamullah.

Firman Allah ta’ala :

وَهٰذَا كِتٰبٌ أَنْزَلْنٰهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ .

“Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.” [Surah Al-An’am :6 : 155]


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67