Ulasan Buku : Membumikan Syariah

Buku yang akan saya ulas pada kali ini ialah sebuah buku terbitan syarikat Telaga Biru yang bertajuk “Membumikan Syariah” karangan Dr. Mohd Daud Bakar, seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang kewangan Islam dan Syariah Islamiyyah. Buku ini secara ringkas membicarakan tentang Syariah, apakah maksud Syariah, mengapa manusia memerlukan syariah dan juga perbincangan bagaimanakah mengimplementasikan Syariah dalam kehidupan manusia.

Penulis menerangkan dalam buku ini apakah maksud Syariah dengan membawa dalil-dalil daripada Al-Quran. Kemudian, penulis membawa maksud Syariah dari sudut bahasa Arab yang membawa maksud ‘jalan kepada air’. Maka, hubung kait antara makna Syariah dari sudut bahasa dan istilah, kita boleh katakan bahawa Syariah ialah sumber kehidupan manusia seperti mana secara biologinya, air ialah sumber kehidupan bagi manusia (minum, sumber tenaga elektrik, pertanian dan industri).

Seterusnya, dalam bab-bab yang lain, penulis mengajak pembaca melihat syariah dari sudut yang lain, bahawa Syariah ini bukan semata-mata bab ibadah seperti solat, zakat dan puasa, sebaliknya Syariah adalah kehidupan. Kehidupan yang bagaimana? Kehidupan yang harmoni dan sejahtera, yang memelihara 5 perkara yang terdapat dalam Maqasid Syariah iaitu :

  1. Agama
  2. Nyawa
  3. Akal
  4. Keturunan
  5. Harta

Pada pandangan penulis, antara tema dan wawasan syariah dalam bidang kehidupan ialah makanan, air, keselamatan, keadilan, pendidikan, kemanusiaan, sains dan teknologi, kekeluargaan dan keibubapaan, motivasi diri, peluang pekerjaan, harta dan pembangunan, alam sekitar, akhlak dan etika serta kehormatan dan keluhuran diri manusia.

Syariah Dalam Kehidupan

Bagaimana Syariah berfungsi memandu manusia dalam kehidupan. Kebanyakan orang akan melihat Syariah itu hanya pada kewangan ataupun produk-produk dan instrument kewangan di bank.

Sedangkan, syariah lebih besar pada itu.

Sebagai contoh, apakah ciri-ciri bagi sebuah rumah yang patut syariah? Mungkin ada dalam kalangan Islamis mengatakan rumah yang padanya ada tulisan khat daripada Ayat Kursi, Asmaul Husna dan ada ruang solat. Patuh syariah bukanlah bermaksud Islamik semata-mata, sebaliknya disuluh dengan panduan wahyu.

Dalam Al-Quran, Allah menyuruh supaya kita mengingatkan anak-anak menjaga privasi ibu ayah dengan meminta izin untuk masuk ke bilik pada 3 waktu iaitulah waktu sebelum solat subuh, waktu tengahari dan selepas waktu isyak. Hadis juga ada menyebut untuk memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan. Maka, adalah tanggungjawab pemaju rumah untuk memastikan aspek asas ini dipenuhi.

Wawasan Syariah

Penulis juga mengemukakan harapan beliau tentang pegajian dan pengamalan syariah dalam era ini. Sesungguhnya, Syariah itu adalah sumber kehidupan, untuk memastikan kehidupan manusia ini sejahtera dan seterusnya memacu untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Saya sangat menganjurkan, terutamanya bagi pelajar-pelajar agama, tambah-tambah lagi dalam bidang Syariah untuk membaca buku ini. Anda pasti akan mendapat sedikit suluhan apakah itu Syariah dan bagaimanakah kita mahu membumikan mesej-mesej Syariah yang datang daripada langit. Begitu juga kepada orang ramai yang lain, anda harus membaca buku ini, dan pasti anda akan teruja bahawa Al-Quran dan Hadis itu sentiasa menjadi panduan kepada kita dan ianya kekal malar hijau, sepanjang waktu dan zaman.

 

Muhammad Abdul Aziz

azizmadani.com

Madinah Munawwarah, Arab Saudi.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Abdul Aziz
Muhammad Abdul Aziz

Seorang fisioterapis yang kini melanjutkan pelajaran ijazah kedua dalam bidang pengajian Islam di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Mencintai buku dan menikmati hirupan kopi di hujung minggu sambil membaca buku. Boleh ikuti beliau laman peribadi blog beliau, azizmadani.com

Articles: 5