Ulasan Buku : Meludah Ke Langit

Judul buku Meludah Ke Langit adalah perkongsian seramai 25 orang penulis yang pernah tersasar dalam menilai dan mengerjakan sesuatu perbuatan kemudian menyedari akan kesilapan yang sebenarnya berpunca daripada kelakuan diri mereka sendiri.

Naskhah ini dibawah terbitan Galeri Ilmu, cetakan pertama pada tahun 2019, berhalaman 208 muka surat dan ditulis oleh Bonda Nor beserta anak-anak didiknya dalam Akademi Bonda Nor (ABN).

Buku ini banyak menyingkap kesalahan-kesalahan lalu dan dibangkitkan semula menjadi satu antologi untuk masyarakat mengambil pelajaran dan hikmah disebalik kejadian. Walaupun sebenarnya, ada hal-hal yang saya kira adalah keaiban yang seharusnya tidak patut lagi diulang siarkan. Namun, para penulis benar-benar merisikokan diri sendiri untuk bercerita kembali pengalaman pahit sepanjang pernah menjadi manusia yang leka dan kerap menghukumi orang lain.

Dalam kehidupan kita, memang ada perkara-perkara yang kita tidak berpuas hati akan sikap sesetengah pihak, baik itu ahli keluarga, orang luar ataupun rakan taulan. Terkadang menjengkelkan dan mengusutkan fikiran. Disebabkan sikap mereka yang tidak seberapa baik, kita mula mengacukan pandangan-pandangan buruk dan berbaur negatif. Gara-gara kemarahan kita yang begitu meluluh, ada pihak yang terasa dan terluka hati.

Begitulah buku ini sarat dengan pengajaran hingga setiap kisah yang dipaparkan mampu menyedarkan kita bahawa tidak seharusnya kita bertanggapan buruk tanpa memikirkan yang kita juga tengah melakukan hal yang sama dan kita juga tiada beza seperti mereka.

Ajaran islam itu sangat mendidik umatnya berakhlak mulia dan bersangka baik agar seseorang itu dapat menjauhi sifat-sifat yang dicela ugama.

Buku ini ada pelbagai kisah yang memotivasikan antaranya :

Kisah seorang ibu yakni Puan Nurul Huda Binti Ismail pernah terlanjur mencederakan si anak yang tantrum kerana tidak tahan lagi mengawal emosi dan amarahnya.

kisah persahabatan yang hampir terputus hanya kerana salah faham dan mengutamakan ego dan perasaan oleh Puan Jaja Isa.

Kisah penulis best seller yang semakin popular di masa kini, iaitu Bonda Nor diuji sangka buruk orang yang baru saja mengenalinya.

Kisah si anak, Cik NF Amira Salleh yang menegur perbuatan syirik walhal dirinya juga pernah terjebak dengan kegiatan mensyirikkan Allah ta’ala.

Sememangnya manusia sentiasa bergelumang dengan dosa baik pada Tuhan juga kepada orang yang berada disekitarnya. Dosanya akan terhapus apabila dia memohon keampunan kepada Allah dan meminta maaf kepada orang yang pernah dia berbuat kesalahan.

Meludah ke Langit satu pencerahan daripada penulis seangkatan yang akan meluruskan semula jalan hidup seorang muslim selepas berakhir dengan segenap kekesalan dan penyesalan ke atas perjalanan hidup yang lepas.

Firman Allah yang bermaksud :

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Az-Zumar: 53]

Selamat memuhasabahkan diri.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67