Ulasan Buku : Margaretta Gauthier

Assalam. Hi aku Khairul. Baik, buku terbaru yang aku berjaya habiskan kali ini adalah karya klasik sikit ya. Kisah yang boleh menunjukkan apa itu ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Okay, kita terus ke judul buku ini. Buku yang aku cuba resensikan pada kali ini berjudul Margaretta Gauthier. Apa yang signifikannya judul ini dengan kisah di dalamnya? Bagi aku, penterjemah memilih tajuk yang straight to the point dalam menggambarkan bahawa buku ini memang kesemuanya adalah memerihalkan berkenaan seorang watak utama yang menerajui lautan badai di sepanjang kisah hidupnya. Penterjemah yang pilih tajuk? Bukan pengarang? Hehe.

Siapa pengarang karya ini? Karya ini adalah karangan Alexander Dumas Junior (Alexandre Dumas Fils) yang berasal dari Perancis. Haaa…jauhkan tempat asal karya ini dulu. Margaretta Gauthier telah ditulis pada tahun 1848 dengan tajuk asalnya La Dame Aux Caméllias (The Lady of The Camellias). Aku yang dah baca buku ini pun tak tahu kenapa pengarang pilih tajuk ini 🤷🏻. Kemudian sasterawan Mesir; Mustafa Lutfi al-Manfaluti menterjemah karya ini ke bahasa Arab dan meringkaskan sedikit supaya sesuai dengan pembaca muslim dengan judul al-Dahiyya (The Victim) dan Mudhakkirat Margarit (The Memoirs of Margueritte). Dan seterusnya daripada naskhah Arab Mustafa Lutfi itulah penterjemah kita iaitu Hamka menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu dengan judul Margaretta Gauthier. Haha, panjang kan proses penterjemahan yang dilalui oleh karya ini. Oh ya, Hamka menterjemah karya ini pada tahun 1940 (selepas 100 tahun 😲). Kalau anda perasan, pada tahun yang sama karya Hamka yang bertajuk Terusir ada diterbitkan. Dan aku dengar-dengar, pencitraan watak utama macam lebih kurang sama. Tapi aku belum baca lagi la buku itu walaupun bukunya sudah ada. Hehe. Aku rasa boleh jadi Margaretta Gauthier ini adalah sumber inspirasi untuk Terusir itu. Karya Margaretta Gauthier yang aku baca ini telah diterbitkan kembali oleh penerbit Jejak Tarbiah Publication pada tahun 2020.

Untuk karya Margaretta Gauthier ini, aku berandaian bahawa tema yang ingin diangkat oleh pengarang asalnya ialah berkenaan ketragikan kisah hidup manusia (atau dalam cerita ini; perempuan) yang berada dalam kalangan rakyat marhaen berdarjat rendah apabila realiti masyarakat pada zaman itu lebih mengangkat golongan keluarga yang berdarjat bangsawan. Realiti itulah yang perlu dihadapi oleh Margaretta dalam bertahan hidup menahan sepak terajang dunia sekelilingnya. Cara karya ini ditulis pula agak unik bagi aku kerana ia turut menampilkan penceritaan yang berkonsepkan penulisan diari. Jarang juga aku yang jarang membaca ini, membaca proses pengkaryaan yang berkonsepkan sebegini 😅.  Jadi ia pengalaman yang menarik bagi aku.

Kalau anda baca Margaretta Gauthier ini, anda pasti tahu karya ini adalah karya yang bawa vibe tragik dan sedih. Kalau anda cari informasi tentang pengarangnya sendiri; Alexander Dumas Junior, anda akan terasa seolah-olah nampak pertaliannya macam mana pengarangnya mampu mengarang karya yang sedih macam ini. Ia seperti berkaitan dengan jalan hidup pengarangnya sendiri semasa kecil walaupun tidaklah 100% sama. Jadi bagi aku, cerita ini bukanlah semata-mata imaginasi pengarang sahaja, bahkan lebih dari itu. Ia cerita yang memaparkan bagaimana masyarakarat di Barat memandang dan bergaul antara satu sama lain semasa zaman ia dikarang. Cumanya, cerita ini dibentuk dengan kerangka tragik dan malang yang bersangatan sehingga sesuailah aku rasa nak gandingkan karya ini dengan pepatah yang aku sebut awal-awal tadi iaitu; ‘sudah jatuh ditimpa tangga!’

Okay penutupnya; Margaretta Gauthier ini walaupun adalah cerita yang dikarang oleh penulis dari Perancis, tapi aku rasa vibe yang terzahir daripada terjemahan Hamka ini terasa sangat melayu. Jadi aku suka dengan terjemahan ini. Bahasanya memang klasik sebab zaman itu penggunaan bahasanya adalah sebegitu. Aku mencari-cari juga watak utama mana yang aku nak salahkan atas apa yang menimpa si Margaretta, tapi aku pun tak tahu nak salahkan siapa. Memang takdirnya si Margaretta begitu agaknya. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula! Tapi walaupun jasadnya rapuh, cintanya tetap utuh, dan pekertinya tersangatlah teguh. Bacalah, kisah malang si perempuan jalang ini boleh jadi diinspirasi oleh pengarang dari kehidupannya sendiri yang beribukan wanita yang tak sedarjat dengan ayahnya. Apa-apa pun, teladankan yang baik, sempadankan yang tak baik.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10