Ulasan Buku : Marco Polo – Penjelajahan Ke Asia

Setelah sekian lama tidak pulang dari mengembara, akhirnya Niccolo Polo dan Maffeo Polo pun menjejakkan kaki semula ke kampung halaman mereka di Venice. Marco Polo adalah orang yang paling terkejut mendengarkan berita ini. Mana tidaknya, selama 15 tahun dia hidup, ini adalah kali pertama dia akan berjumpa dengan bapa kandungnya, Niccolo Polo. Beginilah lumrah hidup pengembara. Sepanjang hayat, mungkin sesekali sahaja sempat pulang ke kampung halaman. Manakala sebahagian besar hidup akan dihabiskan di atas kapal membelah lautan lepas atau di atas unta merentasi gurun kering kontang.

Niccolo dan Maffeo tidak pulang dengan saja-saja. Sebenarnya kepulangan mereka ke Venice tidak lebih melainkan sebagai tempat persinggahan dalam melaksanakan misi yang lebih besar. Mereka telah diarahkan oleh Kublai Khan supaya mencari 100 orang mubaligh dan minyak suci untuk dibawa pulang mengadapnya di Khanbalikh. Kublai Khan merupakan cicit kepada Genghis Khan. Alang-alang, Niccolo pun mempelawa satu-satunya anak lelakinya menyertai pengembaraan tersebut. Bagai bulan jatuh ke riba. Tanpa berfikir panjang, Marco pun bersetuju.

Antara sisi menarik seorang pengembara adalah mereka benar-benar akan menghabiskan sebahagian besar tempoh hayatnya di atas kapal. Kadang-kadang, sekali pengembaraan untuk menunaikan sesuatu misi sahaja boleh menelan masa bertahun-tahun. Ini belum kira perjalanan pulang dan masalah-masalah mendatang seperti tercetusnya peperangan, kemangkatan orang kenamaan, perubahan angin laut dan sebagainya. Perkara-perkara ini semua akan melewatkan perjalanan sesuatu misi yang tempohnya bukan setahun dua. Sementelahan, teknologi komunikasi di zaman tersebut belum lagi mencapai kecanggihan seperti sekarang. Oleh itu, seorang raja apabila mengutuskan pegawainya dengan suatu misi pengembaraan, dia perlu bersabar bertahun-tahun tanpa sebarang berita sebelum pegawainya pulang semula mengadapnya. Itu pun jika nasibnya tidak baik, maka penantiannya boleh jadi sia-sia dengan kepulangan pegawainya yang gagal menunaikan misi.

Selain itu, pengembara di zaman tersebut perlu mengupah penunjuk arah bagi memimpin mereka merentasi sesuatu kawasan. Sambil-sambil mereka mengembara, penunjuk arah akan bercerita mengenai lagenda atau kisah-kisah dongeng bagi mengisi kebosanan mereka di atas unta. Antara kisah yang menarik ialah kisah semangat gurun. Pada waktu malam, apabila seseorang pengembara sudah keletihan  merentasi gurun, dia akan terdengar suara orang yang dikenali memanggil mereka di suatu arah yang lain dari laluan yang dituju. Oleh kerana mamai, maka dia pun leka dibawa oleh suara tersebut jauh terpisah dari kumpulannya. Apabila tersedar, barulah dia tahu yang dia sudah tersesat dan akhirnya dia akan mati kehausan.

Sebagai pengembara juga, Marco tidak boleh cerewet dalam pemakanan. Kadang-kadang, beliau terpaksa makan roti kasar selama 3 hari 3 malam sepanjang merentasi gurun yang kering kontang sebelum sampai ke kawasan perkampungan untuk menikmati hidangan yang lebih enak. Sekiranya nasib mereka tidak baik, boleh jadi juadah di perkampungan tersebut rasanya sangat pelik dan lebih teruk dari roti kasar.

Setelah bertahun-tahun mengembara, akhirnya Marco pun sampai ke Khanbalikh untuk bertemu dengan Kublai Khan. Inilah kali pertama dia bertentangan mata dengan maharaja Monggol tersebut. Malang seribu kali malang. Kepulangan mereka dengan tangan kosong, gagal membawa pulang 100 orang mubaligh benar-benar telah membuatkan darah sang penguasa yang menakluki dunia dari Timur ke Barat itu menggelegak. Sebagai imbal balik, Kublai Khan meminta mereka menggantikan kegagalan mereka membawa 100 orang mubaligh dengan menceritakan pengalaman mereka merentasi tanah jajahannya yang luas untuk menghiburkannya. Namun penceritaan oleh Maffeo dan Niccolo yang hanya berputar sekitar tanah jajahannya yang tandus dan gersang semata-mata menyebabkan Kublai Khan jadi bosan dan marah. Hampir-hampir mereka dihukum, Marco pun memberanikan diri dan membuka mulut.

Marco menceritakan pengalamannya merentasi tanah jajahan Kublai Khan beserta dengan kisah-kisah dongeng yang dia dapat dari penunjuk-penunjuk arah. Kisahnya yang unik telah menarik perhatian maharaja Monggol itu. Sebagai pengembara yang telah mengembara sejauh ribuan batu, merentasi ratusan kampung, Marco mungkin antara satu-satunya pengembara yang masih hidup ketika itu yang mampu menceritakan pengelamannya yang begitu luas. Beliau melihat keragaman manusia bermula dari rupa paras, bentuk badan, warna kulit, pekerjaan, kepercayaan, pemakanan, pemakaian sehinggalah kepada kehidupan raja-raja dan keindahan istana-istana mereka. Menurut Marco, ada raja yang mempunyai isteri seramai 200 hingga 300 orang. Bahkan ada yang mencapai sehingga 1000 orang isteri! Ini belum dikira gundik-gundik mereka lagi.

Oleh kerana tertarik dengan kepetahan dan kepintaran Marco, Kublai Khan pun berkenan untuk terus melantik Polo bersaudara sebagai pegawai dan penasihatnya. Maka mulai saat itu, mereka pun tinggal di Khanbalikh untuk berkhidmat kepada Kublai Khan. Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Pejam celik-pejam celik sudah 19 tahun mereka hidup di perantauan. Rasa rindu ke kampung halaman pun mulai berputik.

Suatu hari, tibalah utusan Arghun Khan ke istana Kublai Khan. Arghun Khan adalah anak saudara Kublai Khan yang memerintah di Parsi. Utusan tersebut menyatakan bahawa Arghun Khan meminta tolong Kublai Khan untuk mencarikan baginya seorang isteri dari puak Bayaut. Ini kerana isteri Argun Khan, Permaisuri Bulagan yang baru sahaja mangkat mewasiatkan hanya wanita dari puak Bayaut sahaja yang boleh menggantikan tempatnya. Pucuk dicita ulam mendatang. Inilah satu-satunya peluang Polo bersaudara untuk kembali ke Venice. Caranya, mereka akan meminta izin dari Kublai Khan untuk mengiringi bakal permaisuri Arghun Khan yang baru iaitu Puteri Koekachin untuk dihantar ke Parsi. Kemudian mereka akan teruskan perjalanan kembali ke Venice.

Dipendekkan cerita, selepas kekalahan Venice dalam peperangan menentang Genoa yang ingin mendominasi Laut Mediterranean, Marco ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Di sinilah beliau menjumpai teman sepenjaranya, Rustichello. Orang yang akan mencatatkan semula kisah pengembaraannya yang agung. Bagi mengisi kebosanan dalam penjara, Marco pun bercerita 7 hari 7 malam mengongsikan kisah 25 tahun pengembaraannya kepada Rustichello. Tidak beliau ketahui catatan tersebut bakal menjadi hangat di seantero Eropah, menjadi rebutan bangsawan-bangsawan, dialih kepada pelbagai bahasa, bahkan muncul pula buku-buku sekuel tokok tambah yang entah dia sendiri tidak tahu siapa pengarangnya. Tidak juga beliau ketahui, ia juga adalah permulaan mimpi ngeri yang akan menghantui beliau sepanjang hayat. Tidak sedikit orang yang menuduhnya penipu lantaran tidak mampu menaakulkan kisah yang begitu agung dan dahsyat yang belum pernah sesiapun selain Marco melihatnya! Namun, sampai mati Marco tetap mempertahankan cerita-ceritanya. Kata Marco “Apa yang aku ceritakan itu tidak sampai separuh pun daripada perkara yang aku lihat”.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Haziq Muhammad Khairin
Muhammad Haziq Muhammad Khairin
Articles: 5