Ulasan Buku : Ma’na Kebahagiaan Dan Pengalamannya Dalam Islam

Assalam. Hai, aku Khairul. Okay kali ini aku baru habis membaca sebuah buku yang aku anggap berat sebenarnya walaupun bukunya tak tebal mana pun. Lama aku ambil masa untuk sudahkan pembacaan aku dekat buku ini. Entah apa yang buat aku berlama-lama dekat buku ini ya 😅 haha. Buku yang aku maksudkan ialah buku Ma’na Kebahagiaan Dan Pengalamannya Dalam Islam. Apa yang menariknya pada aku waktu kali pertama melihat buku ini ialah pada penulisnya sendiri. Siapa tak kenal Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Namanya sahaja sudah gah di persada keilmuan alam Melayu. Beliau inilah yang telah mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam (ISTAC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) suatu ketika dahulu. Kalau nak ditanya siapakah ahli falsafah atau pemikir yang berasal dari Nusantara, beliaulah antara yang layak bagi aku. Okay itu dari sudut siapa penulisnya. Selain itu, yang menarik minat aku pada buku ini juga adalah dari sudut visual kulit buku. Kekemasan, keunikan dan ke-simple-an kulit buku ini memang memancing aku untuk membaca buku ini. Kalau anda pernah lihat buku-buku lain yang ditulis oleh penulis ini atau anak muridnya, visual kulit buku yang diguna-pakai juga seakan-akan sama konsepnya seperti buku ini. Seolah-olah kekemasan dan keunikan kulit buku ini menggambarkan kekemasan susunan idea dan keunikannya yang tersendiri.

Buku Ma’na Kebahagiaan Dan Pengalamannya Dalam Islam ini telah diterbitkan pada tahun 2014 oleh penerbit Islamic Banking And Finance Institute Malaysia (IBFIM). Manakala terbitan awalnya ialah pada tahun 2002 oleh ISTAC sendiri. Bagi yang belum tahu, walaupun penulis buku ini berasal dari Nusantara, tetapi buku ini bukanlah tulisan beliau yang asal. Sebenarnya, buku ini ialah versi terjemahan yang telah diusahakan oleh anak didiknya sendiri iaitu Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman; seorang profesor di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban – Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Jadi, kalau ini buku terjemahan, karya asalnya bahasa apa? Haa…karya asal bagi buku ini ialah dalam bahasa Inggeris iaitu The Meaning And Experience Of Happiness In Islam yang diterbitkan pada tahun 1993. Apa yang perlu anda ketahui, penulis buku ini ialah seorang yang namanya telah berada di peringkat antarabangsa dan diiktiraf oleh tokoh-tokoh pemikir dunia. Jadi, mengapa karya-karya beliau banyak dikarang dalam bahasa Inggeris adalah kerana capaiannya lebih meluas ke serata dunia. Malah, karya beliau yang aku baca ini turut diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, German dan Itali.

Kalau dilihat dari bentuk atau gaya karya ini dikarang, dapat kita ketahui bahawa buku ini menyajikan kepada kita suatu cara berfikir yang perlu digunakan dalam menanggap apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan itu. Penulis cermat dalam menyusun rangka penerangannya apabila beliau memulakan lontaran ideanya dengan mengukuhkan kepada pembaca apakah asas yang perlu dipegang sepanjang menelusuri pembacaan ini. Dari situ, beliau membawa pembaca setingkat demi setingkat ke arah hakikat kebahagiaan yang dimaksudkannya. Oh ya, dari awal pemilihan buku ini sehingga bermulanya pembacaan, aku turut tertarik dengan frasa ‘Pengalaman Kebahagiaan Dalam Islam‘. Kerana apa? Kita biasa mendengar bahawa kebahagiaan setiap orang itu berbeza-beza. Jadi, apa yang nak dibawa oleh penulis dengan frasa yang dipilih sebagai tajuk karyanya ini. Pada aku, ia seolah-olah meng-claim bahawa pengalaman kebahagiaan dalam Islam itu sesuatu yang sama sahaja sepanjang zaman. Jadi, kontradiksi apakah ini? 😅 Untuk tahu dengan lebih lanjut itulah sebab aku membaca buku ini sehingga habis. Dan memang betul, penulis cuba mengetengahkan makna dan pengalaman kebahagiaan yang kekal sama dan relevan dalam Islam sepanjang zaman. Menarik bukan? Hehe.

Buku ini ialah buku kategori berat jika dinilai dari sudut isinya. Dalam membaca buku ini, aku melihat boleh tahan banyak perkataan yang mengguna-pakai istilah bahasa Arab. Jadi, bagi yang tidak biasa dengan sedikit sebanyak istilah Arab mungkin agak sukar nak adapt dengan gaya pengarangan buku ini. Tapi aku tak pasti sama ada ini hanya gaya terjemahan penterjemah atau karya asal penulis memang seperti ini. Dan penggunaan istilah Arab itu sendiri aku tahu memang tidak boleh lari kerana asas kepada makna kebahagiaan yang dibawa dalam karya ini sangat kuat dinyatakan pertaliannya dengan Islam dan wahyu (Quran) yang sememangnya dalam bahasa Arab. Dan aku tak rasa mudah untuk simpulkan makna kebahagiaan dan pengalamannya dalam Islam itu dengan hanya sebaris dua ayat sahaja. Ianya lebih dalam dan jauh mengakar ke sisi-sisi lain. Dan kepada yang membaca buku ini, banyakkan bersabar dalam menelaah buku ini. Cubalah hadam satu per satu apa yang nak disampaikan. Aku rasa buku ini lebih sedap jika dibaca-ulang lebih dari sekali untuk lebih jelas dengan isi yang dibentangkan. Biasalah macam aku; hati, kesedaran dan ilmu tak cukup luas nak menampung idea yang besar seperti ini. Jadi, terkedek-kedeklah aku dalam membaca karya ini. Haha. Mungkin lain orang lainlah tahap pemahaman dalam membaca ye dak 😁.

Apa-apa pun, kesimpulan yang boleh aku bagi untuk buku Ma’na Kebahagiaan Dan Pengalamannya Dalam Islam ini ialah; ia sememangnya bahan bacaan yang baik. Cuma mungkin lemah dari diri aku dalam memproses rangkaian kata atau ayat yang telah diterjemah-susun oleh Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman dalam menyuguhkan apa yang nak disampaikan oleh Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam penulisan asalnya yang berbahasa Inggeris. Penulis sangat teliti dalam mengemukakan cara pandang beliau dalam memahami sesuatu. Penguasaannya yang mendalam dalam pelbagai bidang dan tajamnya pemikiran dalam mengolah idea membuatkan penulisan ini keluar dari klise penyampaian idea atau pandangan yang biasa. Ia lebih kepada mengetuai pengenalan semula cara fikir yang benar setelah sekian lama pemikiran masyarakat dibawa arus cara fikir yang dikelola oleh pemikir-pemikir barat-moden.

Sekian, wallahua’lam.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10