Ulasan Buku : Machiavelli : Pengenalan Ringkas

Hi, aku Khairul. Aku akan cuba ceritakan tentang satu buku yang baru aku habiskan pembacaannya. Buku ini bertajuk ‘Machiavelli: Pengenalan Ringkas‘. Seperti yang dikonotasikan oleh tajuk buku ini; ia memerikan tentang seorang tokoh yang agak popular dengan kontroversinya di kalangan ahli teori politik pada zaman renaissance. Buku ini telah ditulis oleh seorang profesor sejarah moden yang bernama Quentin Skinner dari University of Cambridge. Buku ini ialah sebuah produk terjemahan yang telah diusahakan oleh Salbiah Hashim dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia pada tahun 2015. Manakala karya asalnya yang berbahasa Inggeris iaitu ‘Machiavelli: A Very Short Introduction‘ telah diterbitkan kali pertama pada tahun 2000 oleh Oxford University Press.

Pada aku, melalui buku ini Quentin Skinner telah berjaya memperkenalkan kita dengan seorang ahli kemanusiaan dan sejarawan yang bernama Niccolò Machiavelli. Machiavelli juga ialah seorang ahli teori politik yang berasal dari Florence, Itali. Beliau dikenal di dunia umumnya sebagai seorang yang membawa atau mungkin memperkenalkan idea tentang teori politik yang bercorak realpolitik (sekurang-kurangnya ini berdasarkan pembacaan aku yang kurang dalam bidang sains politik.)

Apa yang menariknya pada aku tentang isi buku ini ialah penulisnya telah membawakan satu pendekatan yang bijak dan tepat dalam memperkenalkan seorang Niccolò Machiavelli. Quentin Skinner menceritakan personaliti atau pembawakan watak Machiavelli melalui karya-karya beliau sepanjang hayatnya. Ia berdasarkan 3 karya utama beliau iaitu The Prince, Discourses dan The History of Florence. Jika ingin dikira, penceritaan sekadar dari penulisan semata-mata tidak mencukupi untuk mengenali idea pembawakan seseorang secara menyeluruh, tetapi Quentin Skinner telah menuntun pembaca untuk mencerap situasi dan suasana masyarakat  secara umumnya ketika tahun-tahun karya utama beliau dikarang.

Melalui buku ini kita dapat menjelah masa dan kembali ke zaman penglibatan Machiavelli dalam pentadbiran Florence dan juga sewaktu pergaulannya dengan rakan-rakan sezamannya. Inilah yang sedikit sebanyak membenihkan idea dan membentuk peribadi Niccolò Machiavelli sehingga beliau dikenal dunia pada hari ini. Idea utama yang dibawa oleh beliau ialah pemimpin politik perlu bersedia untuk berbuat kejahatan supaya kebaikan boleh terhasil. Idea inilah yang telah melonjakkan namanya sebagai lambang tipu daya dan perbuatan tidak bermoral. Menarik bukan untuk diketahui; mengapa beliau membawa dan memperjuangkan idea sedemikian?

Tujuan review aku ini bukanlah untuk mengetengahkan kritikan mengenai buku ini atau menceritakan pengajaran dari buku ini. Aku cuma nak menyarankan kepada khalayak pembaca untuk cuba meneroka satu blok pemikiran yang aku rasa sedang banyak diamalkan di seluruh dunia politik pada zaman sekarang. Sekurang-kurangnya ia dapat mencorakkan kita menjadi seorang yang tidak cepat melatah dengan suasana permainan politik pada hari ini.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10