Ulasan Buku : Ma Oon Rizal (Cikgu Malaysia di Findland)

Nama buku : Ma Oon Rizal

Penulis :  Hasrizal Abdul Jamil

Penerbit :  Jejak Tarbiah

Tahun Terbit : 2020

Cetakan : Pertama

Muka Surat : 276

Orang kata tinggal di luar negara adalah satu perkara yang sangat menakjubkan. Hal ini disebabkan manusia boleh mengembara dan melihat keindahan serta kecanggihan teknologi serba moden di sana. Seperti penulis buku Ma Oon Rizal, Hasrizal Abdul Jamil, beliau pernah tinggal di negara asing dan menetap selama 4 tahun di Oulu, Findland. Buku ini penuh adunan pengalaman penulis sepanjang berada di Findland.Tinggal sebumbung bersama isteri tercinta dan anak-anak yang dihantar ke sekolah antarabangsa. Ketika memutuskan untuk berhijrah ke Findland, penulis telah mewakafkan semua buku milik peribadinya ke perpustakaan Khalifah Model School (Secondary), tempat pendidikan yang dibangunkan oleh penulis.

Membaca bicara penulis mengenai Pendidikan di Findland menjadikan saya tertarik. Di Findland, tiap-tiap sekolah memberikan makanan tengah hari secara percuma kepada semua pelajar. Disebabkan ada pelajar yang terdiri daripada non-muslim dan muslim, maka setiap hidangan dilabel halal dan tidak halal agar masing-masing dapat memilih makanan dengan berhati-hati, apatah lagi bagi seorang pelajar muslim. Tiada pakaian seragam dalam sesi persekolahan dan membolehkan anak perempuan penulis sendiri selesa menutup aurat. Pendidikan Islam juga diajarkan tetapi hanya dalam bentuk kerangka. Oleh yang demikian, penulis mengagihkan masa tambahan di rumah dengan mengajar membaca Al-Qur’an, usrah dan sebagainya.

Dalam buku ini turut menyatakan bahawa Findland antara negara yang dinobatkan sistem pendidikan terbaik di dunia impak 3 faktor yang diamalkan. Pertama, komitmen kepada kesaksamaan. Kedua, guru-guru cemerlang. Ketiga, Kebertanggung jawaban Profesional.

Guru-guru di Findland sangat komited. Tiada guru yang dipaksa menjadi guru. Tiada guru yang tidak cemerlang kerana semua guru dilatih menjadi cemerlang. Tiada guru yang suka merotan dan tiada murid yang kurang ajar. Pendidik hebat melahirkan anak didik yang baik dari segi akhlak dan pelajaran.

Di negara sejuk bersalji ini, penulis mengambil kesempatan mencurahkan tenaganya secara sukarela mengajar bahasa inggeris di suatu kawasan pedalaman iaitu di perkampungan Ivalo. Sementelahan itu, cuba menjadi sukarelawan bersama Finnish Red Cross untuk anak-anak pelarian Syria. Beliau berasa tenang dan selamat tinggal di sini kerana dikelilingi penduduk yang mesra dan sahabat-sahabat yang boleh bertukar-tukar pendapat. Kes-kes jenayah di Findland juga dikatakan berkurangan kerana media tidak terlalu menonjol melaporkan berita. Sekiranya pelajar mempunyai masalah disiplin, guru tidak menyebarkan ke media tetapi memilih untuk terus menyelesaikan secara bersemuka.

Orang Finnish tidak malas dan rajin bangun pukul 6 pagi untuk bersarapan. Pejabat imigresen tutup pada setiap hari khamis. Walaupun sisi positifnya mengubah fikiran lega tetapi juga terdapat sedikit cabaran yang dilalui oleh penulis apabila tibanya waktu bulan ramadhan. Pada ketika ini, tidak ada bazar dan makan halal agak terhad. Solat dan puasa juga ditunaikan mengikut jadual waktu Mekkah bagi memberi kelonggaran dan mendapatkan waktu yang panjang.

Sebelum ini penulis berkongsi bagaimana menghadapi situasi tergesa-gesa mengerjakan solat mengikut waktu tempatan yang singkat seperti maghrib jam 11.20 malam dan isyak 12.05. Tak dapat bayangkan keadaan pada waktu itu. Terbit rasa syukur kerana masih berpeluang lagi berada di Malaysia pada saat ini. Saya melihat suasana pada pukul 11 malam yang dikongsi oleh penulis kelihatan masih cerah kerana matahari tidak terbenam. Sungguh ini merupakan kebesaran dan ketentuan Tuhan kepada alam.

Negara Findland antara negara yang wajar dicontohi. Pengembaraan penulis sejak beberapa tahun dijadikan inti pati dalam kehidupan. Semoga di masa akan datang lebih banyak lagi negara-negara lain mencontohi Findland dari sudut adab dan pendidikan.

Buku ini membawa satu kelainan dan menjadikan ia senaskhah buku yang amat istimewa kerana terdapat resepi masakan yang diterbangkan oleh penulis dari Findand. Salah satunya, Kari Ketam Oulu!

Selamat menjamu selera dan selamat mengenali negara matahari tidak terbenam pada musim panas, tidak terbit apabila tiba pada musim dingin.

“Dari segi cabaran, memang cabarannya banyak. Budaya, pergaulan antara perkara yang memerlukan anak-anak kami menyesuaikan diri dan ia sesuatu yang dijangka apabila berpindah ke negara asing.” – Ma Oon Rizal, hal.41.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67