Ulasan Buku : Lelaki Yang Hebat-Hebat Dalam Al-Qur’an

Nama buku : Lelaki Yang Hebat-hebat dalam Al-Qur’an

Penulis : Syaari Ab Rahman

Penerbit : Iman Publication

Tahun Terbit : 2020

Cetakan : Pertama

Muka Surat : 272

Lelaki ialah insan yang Allah ta’ala tinggikan kedudukannya berbanding kaum wanita. Allah taala menjadikan lelaki sebagai pemimpin disebabkan kudrat dan kelebihan yang tidak terdapat pada kaum wanita. Justeru, karya ustaz Syaari Ab rahman ini mengangkat tema mengenai lelaki atau pemuda di mana Al-Qur’an ada merekodkan kisah lelaki yang hebat-hebat dari segi akhlak dan peribadinya.

Mereka ialah orang-orang soleh dan para Nabi yang berjuang meluaskan seruan dakwah dan tidak gentar berhadapan dengan segenap ujian atau cubaan yang menimpa. Antara yang disebutkan kisah pemuda Ashabul Khafi, Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as, Nabi Daud as dan Nabi Isa as. Meskipun kelihatan hanyalah ringkas dan sedikit sahaja tetapi penulis begitu peka serta padat meluaskan takah-takah ideanya berkenaan kisah-kisah yang hendak dipaparkan.

Buku ini mengajak kita bertafakkur akan kedudukan dan kehebatan daripada lelaki-lelaki yang diabdikan kisahnya dalam Al-Qur’an. Kehidupan seperti para anbiya bersuluhkan iman dan takwa membawa kita agar merenungi dan mencontohi semangat dan tingkah laku mereka. Antara pengajaran dalam kalangan lelaki yang hebat-hebat dan boleh dijadikan pedoman ialah,

Kuasa doa. Nabi Ibrahim as diutuskan kepada kaum Ur di Selatan Iraq untuk menghapuskan patung berhala. Akan tetapi, baginda dihumban ke dalam unggun api dan tidak sedikit pun membakar jasad kerana zikir yang disebutkan baginda iaitu Hasbunallah wani’mal wakil. Doa ialah makanan bagi dalaman manusia. Walaupun ianya merupakan mukjizat Nabi Ibrahim as, sebagai umat Islam kita harus yakin bahawa doa berupa zikir mempunyai keajaibannya di sisi Allah.

Anak yang soleh. Dalam hal ini dapat kita pelajari daripada kisah Nabi Ismail as yang patuh pada perintah ayahnya iaitu Nabi Ibrahim as sewaktu Allah memutuskan agar menyembelihnya. Walau bagaimana pun, berkat kesabaran Nabi Ismail as Allah telah menggantikan dia dengan seekor sembelihan. Kita sebagai manusia perlu mencontohi kesabaran dan ketaatan Nabi Ismail as.

Pemuda yang tidak gentar kepada musuh. Nabi Daud as salah satu rasul ulul azmi yang dikurniakan kitab Zabur. Nabi yang diberikan kuasa memimpin bani isreal sehingga akhirnya berjaya membunuh Jalut, ketua pasukan kafir. Dalam bahagian ini penulis bukan hanya mahu masyarakat mempelajari tampuk pemerintahan Nabi Daud as malah mempelajari pula sikap Nabi Daud as yang dilambangkan sebagai simbol pengabdian di dalam buku ini.

Pemuda yang setia digantikan dengan Nabi Isa as. Nabi Isa as hendak dibunuh oleh orang-orang yahudi atau rom. Mereka menuduh baginda melakukan sihir dan sebagainya. Walau bagaimana pun, seorang pemuda dalam kalangan hawariyun bersetuju mengantikan tempat dan menyerupai Nabi Isa as. Kemudian akhirnyaa dia berjaya dibunuh dan mati disalib. Akhir zaman nanti, Nabi Isa as akan tampil dan membuktikan bahawa bukan baginda yang disalib seperti kepercayaan sebahagian kaum nasrani. Sikap pemuda itu tadi, boleh kita pelajari dari sudut kesetiannya menjadi pembela agama dan penyokong Nabi Isa as sehingga sanggup mempergadaikan nyawa.

Ibrah daripada kisah pemuda al-kahfi. Mereka ialah kumpulan pemuda dan seekor anjing yang melarikan diri daripada kerajaan yang zalim. Mereka bersembunyi di dalam gua lebih 300 tahun lamanya. Namun, sepanjang itu tubuh mereka dipelihara dan tidak mati walau berusia ratusan tahun. Allah menurunkan hikmah yang banyak dalam kisah ini salah satunya, mereka yakin akan bantuan dan pertolongan Allah serta tidak putus memanjatkan doa.

Sesungguhnya, penulis cuba meyakinkan kita sebagai pembaca bahawa terdapat mutiara ilmu dan teladan daripada jasad-jasad yang diangkat darjatnya di sisi Allah ta’ala. Lelaki yang bukan sekadar lelaki kerana dikurniakan mukjizat yang disaksikan oleh isi bumi.

Isi kandungan dan bab yang tertera dalam naskhah ini bagaikan metod kajian terhadap ayat dan surah-surah tertentu bagi menyelidiki riwayat lelaki yang hebat-hebat dalam Al-Qur’an. Hal ini kerana terdapat kisah para anbiya misalnya dalam kitab nasrani ataupun bible diselewengkan makna asalnya.

Ini menyebabkan penulis begitu gigih menggeledah kesahihahan kisah tersebut dan membuat perbandingan terhadap kisah-kisah yang bercanggah mengikut piawaian kitab Al-Qur’an.

Pada saya yang telah mengkhatamkan karya ustaz Syaari Ab rahman, buku ini amat bahari untuk ditela’ah. Bagi kaum lelaki, ia sesuai dibaca untuk memperkasakan dan memperkukuhkan lagi kelelakian dari segi ilmu dan amalan. Menebuk dan menyembuhkan hati agar terubat mendengarkan kisah-kisah penuh tauldan.

Sementara bagi kaum wanita, buku ini elok di dalami dan dihayati setiap penceritaan untuk mengajarkan dan mendidik anak-anak dalam kalangan lelaki khususnya. Semoga generasi di masa hadapan akan lebih ramai lagi wanita melahirkan lelaki yang hebat-hebat.

Selamat membaca.

“Bacalah kisah-kisah pemuda dalam Al-Qur’an kerana padanya ada penawar kepada penyakit-penyakit jiwa orang muda. Padanya ada potensi-potensi sebenar yang seharusnya dikuasai dan ia menjadi penanda aras kepada pencapaian seorang pemuda. Padanya juga ada peringatan demi peringatan mengenai kepentingan iman dan amal soleh pada waktu bergelar remaja dan pemuda.” -Lelaki Hebat-hebat dalam Al-Qur’an, hal.11.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67