Ulasan Buku : Leading

The best leader tends to be missionaries rather than mercenaries“. Mentaliti seorang pemimpin hebat yang tidak mengharapkan imbalan yang besar terhadap kerjanya. Seorang pengurus yang berdedikasi dan komited demi sebuah kelab bola sepak. Kejayaan beliau tidak asing dalam dunia sukan yang mencipta rekod sebagai pengurus sukan British yang paling banyak memenangi perlawanan sepanjang zaman. Dalam tempoh masa 38 tahun, beliau memperoleh 49 piala secara keseluruhan sebagai pengurus kelab di liga England dan Scotland. Kejayaan yang pasti dicemburi dan akur oleh pihak lawan dan kawan. Beliau ialah Sir Alex Ferguson.

Buku ini adalah sebuah kajian kes (case study) yang ditulis untuk menyelami minda seorang pengurus yang berasal daripada keluarga kelas berkerja (working class) serta tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi mengemudi sebuah pasukan mencapai kejayaan di tahap yang tinggi dan mampu mengekal prestasi mereka dalam jangka masa yang lama.  Hal ini sangat mengagumkan bukan sahaja dunia bola sepak, malah mereka yang berada di dalam dunia pengurusan. Mengurus sebuah kelab bola sepak bukan sekadar merancang strategi atas padang semata-mata, tetapi memerlukan seni pengurusan manusia di samping kepimpinan yang efektif. Seorang pengurus kelab juga perlu memimpin organisasi kelab yang melibatkan ramai staf belakang tabir (backroom staff) seperti penolong pengurus, ketua jurulatif, pengawai kesihatan, fisioterapi, pengawai peninjau (scout) dan yang lain-lain. Selain itu, mengekal hubungan baik dengan ahli lembaga kelab juga sangat kritikal kerana keputusan mereka memberi impak besar kepada visi sesebuah kelab.

Bagi saya, pandangan beliau dalam buku ini bersifat universal dan tidak terhad kepada pengurusan kelab bola sepak semata-mata. Ia boleh dipraktikkan di dalam mana-mana organisasi sama ada besar mahupun kecil. Dibahagikan kepada 13 bab yang mana beliau menceritakan aspek kepimpinan dan pengurusan yang beliau terapkan sepanjang kariernya. Bermula daripada sekecil-kecil perkara seperti pembentukkan peribadi diri hinggalah sebesar-besar perkara dalam memimpin organisasi di kedudukan yang tinggi. Tegas dan berdisiplin. Menitik berat konsep kerjasama dalam pasukan dan menghargai mereka yang bersungguh-sungguh dalam latihan serta patuh kepada arahan di atas padang. Mempunyai aura seorang ketua yang sangat dirasai oleh para pemain sehinggakan ketidakhadiran beliau di padang latihan memberi impak kepada kualiti latihan mereka. Hal ini diakui di dalam buku ini oleh salah seorang pemain Manchester United, Rio Ferdinand.

Keberkesanan kepimpinan oleh Sir Alex Ferguson ini diakui oleh kaca mata individu ternama iaitu Sir Micheal Mortiz di bahagian epilog. Beliau merupakan pengerusi kepada Sequio Capital, sebuah firma venture capital yang kini mempunyai jumlah pelaburan yang bernilai 1.5 trillion dollar. Apa yang disimpulkan oleh beliau ialah kebanyakkan syarikat baru gagal untuk mengekal prestasi yang baik dalam jangka masa panjang disebabkan aspek pengurusan manusia yang lemah dan kurangnya nilai kepimpinan yang diperlukan untuk mengemudi syarikat untuk bergerak lebih jauh. Beliau yakin dengan pandangan dan nilai kepimpinan yang ada pada Sir Alex Ferguson mampu dijadikan sebagai panduan bagi setiap pemimpin yang mahu menerajui sesebuah organisasi dalam jangka masa lama. Di akhir bahagian buku ini pula dilampirkan dengan data room yang penuh dengan rekod perlawanan sepanjang karier beliau di Manchester United, data pemain, beberapa keratan akhbar dan juga surat-surat rasmi.

Buku ini saya sangat syorkan bukan sahaja kepada peminat bola sepak, tetapi juga bagi mereka berminat dalam bidang pengurusan dan kepimpinan. Kepada mereka yang tiada asas dan kurang minat terhadap dunia bola sepak mungkin sedikit sukar untuk memahami terma teknikal yang digunakan dan struktur kelab bola sepak ini berfungsi. Tetapi kebanyakkan isi kandungan dalam buku ini dalam membincangkan aspek pengurusan organisasi dan nilai-nilai yang diperlukan oleh seorang pemimpin di mana bagi saya sangat praktikal dan efektif serta mudah difahami.

Selamat membaca dan moga bermanfaat!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Ahmad Syamim Mustaqim
Ahmad Syamim Mustaqim
Articles: 3