Ulasan Buku : Kisah-kisah Haiwan di Dalam Al-Quran Dan Hadis

Sebuah buku yang sangat santai dibaca. Menarik dan sangat melekat di jiwa. Dibawakan kisah-kisah haiwan yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis. Dipersembahkan dalam bentuk gaya bahasa yang mudah difahami. Bacaannya amat sesuai kepada semua lapisan masyarakat. Ingin mengulas beberapa ibrah yang diperoleh dalam buku tersebut. Ada banyak nilai-nilai yang perlu diambil oleh kita untuk mempelajarinya. Bukan perlu berlagak menjadi manusia yang hebat dan sempurna daripada makhluk yang lain. Pasti ada tujuan dan sebab mengapa haiwan-haiwan di muka bumi ini diciptakan oleh Allah Taala.

Buku ini menceritakan kisah haiwan adalah sebahagian daripada makhluk Allah yang mendiami bumi bersama-sama dengan manusia. Meskipun darjat manusia dan haiwan adalah tidak sama taraf, namun mereka juga adalah makhluk tuhan yang perlu disayangi, dilindungi dan mempunyai kedudukan hak yang teristimewa. Ia mempunyai hak sepertimana manusia mempunyai hak. Ia juga tidak boleh disakiti atau diganggu melainkan ada tujuan khusus dan dibenarkan.

Penulis buku ini telah merungkap pelbagai rahsia yang terselindung daripada haiwan jika dilihat kepentingannya dari kaca mata hikmah ia diciptakan. Manusia perlu mengambil ibrah serta pengajaran daripada haiwan yang diciptakan oleh Allah Taala. Mereka tidak diciptakan dengan sia-sia sahaja.

1. Kekuasaan-Nya:

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya)….” (Al-Mukminun: 21)

Kewujudan haiwan di muka bumi ini adalah tanda yang paling jelas bahawa Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Daripada sekecil-kecil haiwan hinggalah sebesar-besar haiwan, semuanya Allah yang ciptakan. Justeru itu, manusia diberi akal untuk berfikir dengan mengagumi ciptaan tuhannya dan setiap haiwan yang diciptakan oleh Allah adalah berguna untuk manusia seiring dengan firman-Nya dalam Surah An-Nahl, ayat 79:

“Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.” (An-Nahl:79)

Maka dengan ini jelaslah, kewujudan haiwan yang diciptakan adalah tanda kekuasaan Allah Taala yang mengingatkan manusia bahawa Allah adalah tuhan yang ciptakan semua makhluk yang ada di muka bumi ini serta Dialah tuhan sekalian alam. Akal dikurniakan untuk memikirkan tentang kekuasaan Sang Pencipta maka bertambahlah rasa kehambaan dalam diri. Menjadi insan yang sentiasa mengagumi serta memuji tuhannya yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Meningkatkan iman di dada serta rasa takut dan gerun pada Dia dan merasai dirinya sentiasa bertuhan.

2. Zikir dan fikir:

Dalam buku tersebut, ia membawa kesedaran kepada pembaca bahawa umat manusia juga perlu mengambil iktibar daripada haiwan supaya sentiasa mengingati Allah Taala, merujuk kepada satu dalil Al-Quran iaitu dalam Surah Al-Isra’ ayat 44:

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” (Al-Isra:44)

Sedar atau tidak, semua yang ada di muka bumi ini termasuk haiwan sentiasa bertasbih kepada Allah Taala. Mereka bertasbih yang tidak kita fahami. Walau bagaimanapun, penjelasan dalil ini amat jelas bahawa semua haiwan sentiasa bertasbih kepada Allah Taala sedangkan kita manusia sebaik-baik ciptaan masih lalai dan leka dengan godaan palsu keduniaan. Pentingnya peningkatan rohani dalam memuji dan bertasbih kepada Allah. Selain itu, ia dapat sucikan hati dari segala titik-titik hitam yang telah terkumpul oleh maksiat. Haiwan yang sentiasa bertasbih kepada Allah membuka ruang kesedaran kepada umat manusia untuk mengambil iktibar daripada mereka supaya sentiasa mengingati Allah setiap waktu dan di mana-mana sahaja.

3. Prihatin:

Haiwan juga mengajar erti berkasih sayang. Ibrah kisah semut di dalam Al-Quran menjadi contoh tauladan buat Nabi Sulaiman a.s malah kita sebagai manusia juga perlu mempelajari pengajaran ayat tersebut.

Selain itu, penulis buku ini juga menyelitkan beberapa fakta saintifik selain daripada pengajaran agama. Mengikut fakta, semut dikenali dengan saiz badan yang kecil tetapi ia juga termasuk dalam kategori haiwan yang terkuat di dunia. Fakta mengatakan, semut jantan boleh membawa 50 kali beban yang seberat daripada bandannya sendiri. Semut mempunyai otak yang besar jika dibandingkan dengan tubuh badannya yang lain. Walau bagaimanapun, semut adalah haiwan yang tidak berakal tetapi mempunyai naluri yang hebat jika dibandingkan dengan manusia yang sebaik-baik diciptakan.

Di dalam Al Quran ada sebuah kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s. Antara mukjizat Nabi Sulaiman a.s adalah dapat berkomunikasi dengan haiwan. Kisah ini telah dirakam dalam Surah An-Naml ayat 18 dan 19.

Dalam kisah tersebut, Nabi Sulaiman a.s. bersama tenteranya melintasi sebuah lembah semut. Baginda terdengar ratu semut memberi peringatan kepada koloninya,

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari” (An Naml: 18)

Nabi Sulaiman a.s hanya tersenyum apabila mendengar peringatan ratu semut tersebut. Baginda mengagumi naluri ratu semut yang sangat prihatin dengan koloninya. Ini kerana sikap ratu semut itu menyedarkan Nabi Sulaiman a.s bahawa haiwan adalah makhluk Allah yang tidak dikurniakan akal tapi hanya dikurniakan naluri tapi mampu menjadi prihatin kepada koloni-koloninya. Sepatutnya kita adalah manusia yang berakal yang perlu lebih prihatin, penyayang, cinta sesama manusia melebihi haiwan.

Belajar erti bersyukur diberi akal, perasaan hati, dan jiwa untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan taat serta mensyukuri segala nikmat yang diberi-Nya. Orang yang mensyukuri segala nikmat yang diberi tidak akan memandang pada kekurangan yang ada tetapi memandang kepada kecukupan yang dikurniakan oleh Ilahi. Mereka adalah berjiwa positif yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia untuk menjalani hidup yang sejahtera dan diberkati.

“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. (An Naml:19)

4. Kasih Sayang:

Selain berkasih sayang sesama manusia, seseorang itu juga perlu menyayangi makhluk-makhluk yang lain terutamanya haiwan peliharaan. Penulis buku ini telah membuka satu kisah ancaman yang terdapat di dalam hadis nabi berkenaan penyeksaan seekor kucing akan diberi balasan neraka.

“Seorang wanita masuk Neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan rumput, sehingga menyebabkan ia mati.” (HR Muslim Sahih Muslim:2619)

Ada banyak ibrah dalam penciptaan haiwan yang perlu kita perincikan untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa. Sesungguhnya haiwan yang diciptakan oleh Allah bukanlah dicipta tanpa fungsi atau tiada manfaat malah sangat berguna dan saling mempunyai kaitan yang melengkapi dalam kehidupan bersama dengan manusia dan lain-lain.

Akhir kalam, sentiasalah menjadi umat yang berzikir dan fikir. Melihat alam lalu bertafakkur akan segala ciptaan-Nya. Setelah membaca buku ini, semut yang kecil kini sudah dipandang sapa. Betapa cukup terkesan penulis buku ini menyampaikan penulisannya untuk memberi kesan yang mendalam tentang ibrah penciptaan haiwan kepada para pembaca. Banyak lagi ibrah dan pengajaran yang terdapat di dalam buku tersebut. Ulasan ini hanya sedikit sahaja berbanding isi yang disampaikan oleh penulis yang sebenar. Jika berminat membacanya carilah di kedai buku. Tidak rugi membeli buku!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Sharifah Nur Liyana Yasira
Sharifah Nur Liyana Yasira
Articles: 2