Ulasan Buku : Kesateria Nusa

Nama buku: Kesateria Nusa

Penulis: 72 Penulis Antologi

Penyelenggara: Nursyafiqah Roslan

Muka surat: 150

Penerbit: Syfe Management

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

Nahas Kapal Selam KRI Nanggala 402 telah menimbulkan dukacita dalam rakyat negara Indonesia khususnya apabila anak kapal berjumlah seramai 53 orang telah terkorban kesemuanya.

Pahlawan yang seharusnya melindungi sempadan negara daripada dicerobohi oleh hendapan musuh, kini pergi meninggalkan anak dan isteri tanpa kata-kata terakhir.

Dunia bagaikan syok kerana tragedi malang tidak berbau berlaku apabila kapal selam ini tiba-tiba hilang setelah beberapa jam. Apa agaknya yang akan berlaku sekiranya dalam kalangan mereka terdiri daripada isteri, suami anak dan saudara mara kita? Ia tentu menyedihkan sekali kerana kematian ini tanpa meninggalkan anggota badan. Allahuakhbar.

Hancur berkecai kerana tinggi dan besarnya tekanan dalam laut yang boleh menghancurkan tubuh badan tanpa sisahan.

Saat negara serumpun kita di Indonesia dilanda musibah ini pada bulan Ramadan tahun 2021, negara-negara luar turut membantu melaksanakan misi pencarian terhadap cebisan-cebisan kapal selam di lautan termasuklah di Malaysia.

Di samping menghulurkan bantuan, rakyat Malaysia turut mendoakan yang terbaik buat para perajurit yang terkorban. Dengan ini, kami dan seangkatan para penulis lain telah mengumpulkan doa-doa melalui puisi-puisi yang dikarang sebegitu indah dalam judul buku Kesateria Nusa (Antologi Puisi Doa Untuk KRI Nanggala 402).

Sebanyak 127 buah puisi yang dirakamkan oleh 72 orang penulis dari pelbagai latar belakang, usia dan tempat. Penuh syahdu ketika membaca satu persatu bait-bait yang dialunkan oleh para pemuisi. Berbagai-bagai hembusan doa dituangkan dalam lembaran ini, betapa kita sebagai umat Islam telah diajarkan untuk mendoakan kebaikan buat mereka yang telah pergi meninggalkan dunia.

Bahasa yang lunak, penuh rintihan penulis dalam melaungkan kata-kata pilu. Sayu terasa hati mengenangkan insan-insan yang telah gugur di medan pertempuran. Buku ini sudah cukup menyedarkan kita akan dekatnya sebuah kematian. Ajal dan maut mendatangi sesiapa tanpa mengira umur.

Jika dilihat susunan kata dan olahan baris-baris ayat yang dijelmakan dalam bentuk puisi ini, sangatlah membekas apatah lagi diselitkan sekali rasa simpati dan reda.

Menulis jika daripada ketulusan hati, ia pasti akan sampai ke lubuk hati. Seperti inilah pula, puisi yang dijirus menandakan bahawa hati turut terkesan meskipun kita tidak berada di samping.

Karya ini membawa mesej yang sarat dengan doa, penghargaan, penghormatan, takziah dan kasih sayang antara saudara semuslim. Walaupun ia sudah berlalu dan sering terngiang-ngiang ditelinga akan peristiwa yang membuat mata berkaca-kaca, karya ini mengingatkan kita kembali kepada penghuni Nanggala yang gagal diselamatkan.

Antologi Puisi Kesatria Nusa, ialah hadiah buat rakyat Indonesia yang mengangkat tema Doa untuk KRI Nanggala 402. Semoga kita mampu mengambil iktibar di sebalik kematian para perwira yang rela mempertaruhkan nyawa demi mengawal perairan negara.

Buku ini adalah lontaran suara yang menjadi bukti kepedulian umat Islam kepada saudara-saudara seakidah yang terkubur dalam samudera. Sebagai penutup, ayuh selami puisi yang mengenangkan peristiwa ini,

“Kapal Nanggala 402,

mengemudi lima puluh tiga mangsa

lima puluh tiga itu ditelan oleh ombak dan samudera.

Anak, isteri ditinggal tanpa menatap wajah

lima puluh tiga itu hancur dan lenyap dari dunia.

Kapal Nanggala 402,

hilang dari perairan kota

lima puluh tiga itu tiada yang mendengar tangis jeritnya.

Walau teknologi canggih dan kebal dilukai air

lima puluh tiga itu tetap hanyut kerana kuasa dan takdir Ilahi.

Kapal Nanggala 402,

kabur dari pandangan manusia

lima puluh tiga itu terus disebut-sebutkan namanya.

Berdamailah duhai para perajurit negara

bersemadilah dengan tenang.

Lantas, pemergianmu dicemburui

kerana mati menjaga kedaulatan negara.”

Syuhara Suriati,

04 Mei 2021

Selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67