Ulasan Buku : Katak Di Luar Tempurung

Tajuk Buku : Katak Di Luar Tempurung

Penulis : Syed Alwi Alatas

Penerbit : Galeri Ilmu

Cetakan : Pertama (2017)

Saya membeli buku ini kerana penulisnya, walaupun tajuk buku kelihatan agak pelik, tetapi bagi saya sebagai pembaca yang menjadi keutamaan apabila membeli sebuah buku adalah siapa penulisnya. Telah lama saya menyimpan hasrat ingin membaca karya Syed Alwi Alatas, dan buku ini adalah karya pertama beliau yang saya miliki. Sudah semestinya setiap buku itu pasti mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri untuk menarik minat para pembaca.

Penulisan yang memberi kesedaran minda kepada pembaca, sebagai seorang muslim, seharusnya tidak menjadikan kelemahan fizikal sebagai suatu kekurangan, kerana semua ciptaan Allah itu indah dan mempunyai kelebihan yang tersendiri walaupun pada zahirnya kelihatan tidak sempurna.

“Batu tetaplah batu, bungkusan yang bagus tak akan banyak mengangkat nilainya. Kerana itu, emaskanlah batinmu, jiwamu, akhlakmu, imanmu. Tak perlu lagi berasa ragu, bahawa di sanalah terletak harga yang sebenarnya, biar sesederhana apapun lahirmu.” (Halaman 25)

Sebahagian orang merasakan hidup mereka tidak sesempurna orang lain, kerana penilaian mereka hanya berteraskan rupa dan harta semata. Kebimbangan pada hati menyebabkan ramai orang suka membanding-bandingkan apa yang ada pada diri mereka. Tidaklah ia suatu akhlak yang baik, bahkan pasti melukai diri sendiri dan meruntuhkan keyakinan diri.

Justeru itu penulis membawa pembaca sama-sama meneliti kelebihan yang terdapat dalam diri, tidak hanya meletakkan harga diri pada rupa dan barang berjenama tetapi meletakkan tingginya harga sebuah keimanan dalam hati!

“Harga diri tidak ditentukan oleh harga atau jenama pakaian yang dikenakan seseorang. Mahal dan indahnya pakaian yang melekat di tubuh tidak mengangkat darjat manusia, sebagaimana pakaian yang sederhana tidak akan merendakan nilai diri manusia yang mengenakannya. Yang mengangkat darjat itu adalah iman dan ilmu yang dimiliki seseorang.” (Halaman 31)

Menjadikan kisah para sahabat sebagai panutan dalam membina akhlak dan keperibadian seorang insan yang dimuliakan, betapa keimanan menyelimuti hati-hati mereka. Demikianlah kisah yang perlu kita renungi.

Dalam kalangan masyarakat, komunikasi antara sesama insan kadangkala menjadi penyebab munculnya pemikiran negatif dalam diri seseorang, baik itu celaan atau kritikan mengenai diri dan nilai kehidupan. Kerana itu, seharusnya kadangkala kita perlu menjadi ‘tuli’ untuk perkataan-perkataan yang tidak bermanfaat lagi merendahkan yang dapat mengganggu kestabilan emosi. Menghindar dari mendengar sesuatu yang boleh meruntuhkan keyakinan diri.

Bak kata penulis ;

“Kita boleh memilih apa yang hendak kita dengar. Dengarkan nasihat yang baik, tapi tak payah dengarkan ucapan yang mendorong kita ke arah kegagalan. ” (Halaman 57)

Pilihan sentiasa di tangan kita, saat kita memilih menjauhi orang-orang bersifat negatif maka kita akan menemui jalan lurus yang mendorong kita untuk selalu berfikiran positif. Bantu dan dorong diri agar tetap teguh mencapai impian dan cita-cita dalam hidup.

“Saat seseorang memahami bila dia perlu mendengar dan bila dia tak perlu mendengar, maka dia akan lebih mudah dalam mencapai kejayaan, insya-Allah.” (Halaman 62)

Sarat dengan nasihat, sarat dengan kata-kata semangat, saranan kepada pembaca agar tetap menghargai diri, melihat kelebihan dan mencipta keyakinan diri tanpa perlu merasa rendah dengan kekurangan yang di miliki!

Apa yang kita perlukan bukanlah redha manusia, tetapi redha Allah SWT semata. Saranan saya miliki buku ini dan nikmati nasihat-nasihat indah dari penulis sendiri.

Semoga bermanfaat dan selamat membaca!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47