Ulasan Buku : Kasyaf Ain

Judul Novel: Kasyaf Ain
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Pengulas: Shaza Azlin

Abad ke-21… Abad ke-19…
Perubahan halaman waktu yang silih berganti saling memaut reranting penceritaan dan berupaya mengelirukan haluan persepsi pembaca dari pelbagai sudut wacana mengikut acuan penulis. Kasyaf Ain adalah novel baharu yang telah membuka tempahan cetakan pertamanya pada 31 Oktober 2018. Novel ini diterbitkan sendiri oleh Ramlee Awang Murshid menerusi syarikat beliau, iaitu RAM Typewriter Ventures. Kasyaf Ain tidak pernah mengenal erti lelah dalam mengajak minda pembaca rancak berekspedisi. SIAPAKAH Kasyaf Ain? Novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid seperti biasa tidak pernah mengecewakan peminatnya apabila acap kali menterjemahkan karya beliau pada lorong titisan pena dengan gaya pemikiran yang mampu mengusik halatuju fikiran pembaca ke pelbagai arah persimpangan. Sekaligus mencipta keraguan tentang bagaimana cerita ini akan dinoktahkan. Secara zahirnya, tajuk tersebut kelihatan seakan nama sesusuk watak yang memandu novel ini agar terus bergerak. Sebaliknya, dari awal sebermulanya eksplorasi Kasyaf Ain sedalam 399 halaman ini, Ramlee Awang Murshid sudah pun mengorak percaturan dengan mendefinisikan sendiri tajuk Kasyaf Ain beralaskan isi cerita yang dipenuhi konsep pshyco-thriller ini. Dengan kata lain, sepanjang halaman bertukar aras, pembaca tidak akan menemui sepatah pun jolokan itu!

Pembunuhan paranormal menjadi pilihan penulis sebagai pembuka tirai coretan yang hendak dikhabarkan. Kejadian ini dilaporkan oleh satu suara misteri yang menelefon Rosman. Kes ini disiasat oleh dua orang pegawai polis bahagian jenayah yang bekerja secara berpasangan, iaitu Rosman dan Anita untuk mengurai kekusutan disebalik identiti suspek yang tersorok rapi. Setiap mangsa yang mati pasti mengalami keadaan yang hampir sama, iaitu jasad mengering tidak berdarah dan menyerupai mayat yang telah diawet! Unsur yang mengandungi keanehan luar biasa seperti ini jelas masih belum diakui secara empirikal oleh penyelidikan sains masa kini. Walau bagaimanapun, Ramlee Awang Murshid telah berjaya menghasilkan karya fiksyen sains bermutu dan diterima penggemar genre tersebut kerana perincian penceritaan beliau yang sangat kemas dan teliti.

Bukaan halaman seterusnya cuba menyentuh era waktu yang terkebelakang. Dan sudah tentu penulis mencorakkan perubahan itu untuk menunjukkan perkaitan antara peristiwa pembunuhan yang berlaku di bawah siasatan Rosman dan Anita dengan peristiwa pembunuhan orang kampung di Kampung Lembah Beringin yang mencetuskan keadaan huru-hara pada sekitar tahun 1830. Lebih parah, setiap yang mati pasti akan hilang jantungnya. Watak Liau Gantua yang dicerekakan sesungguhnya memang benar mencerminkan budaya orang melayu terdahulu yang segelintirnya berdampingan dengan jin dan syaitan kerana memerlukan perkhidmatan mereka dalam sesuatu perihal. Jadi, Liau Gantua (dukun pendusta lagi syirik) ini telah membuat perjanjian dengan Suaka (jembalang hijau) untuk memastikan kedudukannya di Kampung Lembah Beringin terus berkuasa dan bertindak mengusir Mansur dan anak lelakinya, Adi dari situ. Apakah yang telah dilakukan oleh Pak Mansur dan keluarganya sehingga mereka diusir dari kampung sendiri? Mansur dan Adi terus cekal dalam mendepani amukan syaitan dan cuba menyelamatkan penduduk kampungnya daripada kesesatan ajaran Liau Gantua setelah membuat ‘comeback’.

Kekeliruan semakin terserlah di pertengahan penceritaan apabila terdapat pertindihan watak yang menyeru pembaca mentafsir sendiri apakah sebenarnya yang berlaku sehingga pembaca terpaksa menyelak kembali halaman yang telah dibaca untuk memastikan mereka tidak sesat landasan. Ini merupakan plot twist peringkat awal yang mula ditonjolkan sebelum kita berjumpa pada titik plot twist yang kedua! Kampung Lembah Beringin kejiranannya adalah Kampung Buana Senandung. Apakah terdapat perkara yang sama berlaku di Kampung Buana Senandung dengan kematian penduduk yang kehilangan jantung? Penghuninya terdiri daripada Tok Ketua Jais dan isterinya Jinah. Mereka dikurniakan tiga orang warisan, iaitu Cindai, Jadur dan Mulia. Di sinilah penulis berancang menghidangkan plot twist kedua, cuma pembaca masih belum dapat menghidu petunjuknya sehinggalah mereka mendalami watak lainnya, iaitu Syamel dan Hanum Saskia pada peralihan tahun yang berbeza serta peninggalan naskhah lama dalam tulisan jawi yang bertajuk ‘cindai’ oleh Tuk Adi buat petunjuk keturunannya.

“Tetamu siang” dan “tetamu malam”.. Itulah panggilan yang disebut sepanjang pergolakan kisah bermain antara dua keturunan untuk membezakan darjat kedua-dua runtunan tersebut di sisi Allah SWT yang saling memusuhi dan berbalas dendam antara satu sama lain. Plot twist yang berikutnya terus menerjah pembaca dengan pelbagai hambatan dan kejutan peristiwa sehingga mampu melopongkan apresiasi pembaca pada skala penuh. Persoalan akan terjawab sedikit demi sedikit apabila pembaca sudah mula menggarap setiap perwatakan yang diserlahkan oleh karakter masing-masing. Dan..nama Kasyaf Ain memang tidak tertulis dalam mana-mana watak yang beraksi. Kasyaf Ain membawa dua maksud yang berbeza tetapi saling berhubung kait. Kasyaf bererti penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Manakala Ain dalam bahasa Arab merujuk kepada mata, mata yang boleh melihat perkara ghaib tidak seperti pandangan mata kasar. Jadi, pembaca pasti akan mula memahami mengapa novel ini bernama sedemikian.

Pengajaran yang ingin disampaikan oleh penulis dalam novel ini sangat jelas bertujuan meyakinkan pembaca bahawasanya syaitan memang diakui kewujudannya di dunia kerana mereka telah berjanji untuk senantiasa melakukan kekacauan dan memporak-perandakan kehidupan cucu-cicit Nabi Adam. Apakah kes kematian misteri berjaya dirungkai oleh Rosman dan Anita? Mampukah Pak Mansur dan Adi menewaskan kuasa jahat si jembalang hijau dan Liau Gantua? Apa pula perkaitan Syamel dan Hanum Saskia dalam dua kisah ini? Untuk memastikan kerancakan bakal pembaca terhadap aluran pengisahan ini tidak terusik, saya menyarankan pengakhiran cerita ini menjadi hak sepenuhnya ke atas golongan yang belum mengembara kedasyatan novel ini. Sesungguhnya, anda pasti tidak akan menyesal melabur wang ke atas cetakan ini. Namun, ia tidak dijual di kelaziman kedai-kedai buku kerana hanya dikeluarkan oleh Ramlee Awang Murshid Fans Club (RAMFC Store) di Facebook atau anda juga boleh kunjungi laman Instagram RAMFC2020 untuk mendapatkan informasi berkenaan pembelian buku tersebut. Selamat menjelajah di ruangan karya Master Thriller Ramlee Awang Murshid!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Shaza Azlin
Shaza Azlin
Articles: 2