Ulasan Buku : K.A.M.U

“Bahasa persahabatan bukanlah pada kata, tetapi pada maksudnya.”

Itulah kata hikmah yang saya semat pada hati sedalamnya sebaik saja membaca bait halaman terakhir buku K.A.M.U (Kerana Adamu Manisnya Ukhwah) karya Haziq Irham @ Syu’lah Arwa yang diterbitkan pada tahun 2019 oleh Puteh Press. Walaupun penulis meninggalkan tanda tanya sama ada penceritaan ini hanya fantasi atau realiti. Tapi saya memilih untuk percaya bahawa ia adalah perkongsian dari pengalaman penulis sendiri. Dan itulah yang menjadikan buku ini lebih berkesan di hati.

K.A.M.U adalah satu judul buku yang menceritakan tentang dua orang insan yang bersahabat kerana Allah. Dua watak utama yang menjadi perhatian ialah Uwais Qarni dan Haziq Irham. Uwais Qarni adalah seorang lelaki yang merupakan penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG). Dia merupakan bekas ketua Persatuan Agama Islam (PAI) di IPG. Beliau merupakan insan yang dikenali dan disegani kerana keperibadian dirinya yang baik dan soleh.

Tapi siapa sangka adanya kisah silam yang perit dibalik penghijrahan ini. Uwais dibesarkan tanpa kasih sayang ibu dan bapa. Hanya menumpang kasih datuknya, Tokki yang uzur. Kerana takdir yang dirasakan kejam dan terlalu perit untuk diterima, Uwais memberontak. Dia menjadi liar hingga melibatkan diri dalam geng kongsi gelap bernama The Eyes. Namun kerana silap dirinya mencipta musuh, insan kesayangannya Tokki mati dibunuh. Dan itulah kemuncak kesabaran dirinya di mana dia merasakan betapa Tuhan benar-benar membencinya, dan dia tidak berguna untuk hidup di atas muka bumi ini . Hingga akhirnya dia memutuskan untuk menamatkan saja hidupnya.

Namun siapa sangka, betapa sebenarnya Tuhan itu Maha Penyayang yang telah menemukan dia dengan seorang lelaki bernama Haziq Irham. Insan yang telah menyelamatkan dirinya dari ambang kematian dan menjadi sahabat setia yang merubah 180 darjah tentang dirinya.

Penghijrahan Uwais Qarni sangat memberi kesan bukan saja kepada dirinya namun kepada setiap yang mengenali Uwais. Tanpa dendam dan benci, cuma atas dasar cinta dan sayang, Uwais cuba menyebarkan dakwah dan tarbiah kepada sahabat disekelilingnya biarpun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan. Dia kuat kerana adanya Haziq Irham disisi. Peneman kala sepi, penghiburnya kala sunyi, penguat dan penunjuk kala buntu dan lemah.

Pelbagai lagi kisah menarik diceritakan oleh penulis di dalam buku ini yang akan menyebabkan semua perasaan berbaur ketika membaca kisah mereka. Kisah yang menguji keimanan seorang Uwais dan kepercayaan seorang Haziq Irham. Seutuh manakah persahabatan mereka atas nama Tuhan yang berlandaskan keimanan. Sehebat manakah kasih sayang seorang sahabat kepada sahabatnya. Sejauh mana janji untuk berukhwah hingga ke syurga sedaya-upaya cuba dikotakan. Apa hanya sekadar bicara kosong tanpa makna atau pada tinggi nilainya yang tak terbanding dengan emas dan permata.

Bagi saya itulah yang ingin disampaikan penulis kepada pembaca. Biar satu dunia tahu hebatnya persahabatan mereka.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


NIzzati
NIzzati

Pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Seorang penulis bebas.

Articles: 1