Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Jangan Bersedih Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia (Happy Women Live Better)
Tajuknya Jangan Bersedih Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia; memujuk dan memberikan semangat. Bahagia ialah suatu perasaan subjektif yang diburu oleh setiap dari kita. Lain orang, lain cara bahagianya. Namun, adakah kebahagiaan yang diburu itu hakiki? Manakala sedih pula tidak diburu. Ia datang dari perkara yang melukakan atau menjatuhkan seseorang.
Buku ini ialah terjemahan dari buku yang bertajuk As’ad Al-Mar’ah Al- ‘Alam, ditulis oleh Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni. Karya terjemahan ini diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication. Saya kira buku ini mendapat banyak permintaan kerana ia mempunyai pelbagai versi cetakan muka depan. Kepunyaan saya, muka depannya berwarna putih dan ungu dengan corak bunga sebagai bingkai.
Lumrah kehidupan, kesedihan dan kebahagiaan silih berganti. Adakala kesedihan begitu lama dirasai, tapi kebahagiaan hanya dikecapi sesaat. Apabila dirundung kesedihan, terdapat dua tindak balas keimanan manusia. Yang pertama, mendekati Tuhan, merintih pada-Nya disulami pencarian hikmah. Yang kedua, menjauh dari Tuhan, menyalahkan takdir, lalu terhumban ke dalam kebinasaan.
Di sebalik 402 helaian muka surat, 13 tajuk utama dan 130 kisah, buku ini untuk menyelamatkan para perempuan daripada terjunam ke dalam kesedihan yang amat sangat sehingga memudaratkan diri. Susunan ayatnya indah, beberapa potongan ayat Al-Quran dan hadis menyempurnakan lagi isi penyampaian.
Bagaimana menjadi perempuan yang bahagia? Perempuan yang bahagia itu tetap bergantung kepada Tuhan dalam apa jua keadaan dengan memupuk sabar dalam diri.
“Bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah akan mengiringi kesusahan dengan kemudahan. Mudah-mudahan kesusahan itu akan lenyap dengan segera”.
Sabar itu sukar dimiliki. Beruntunglah bagi siapa yang berjaya mendapatkannya.
Seterusnya, perempuan yang bahagia ialah yang mengamalkan kesederhanaan dalam hidup. Kerana kesederhanaan itu lebih dekat dengan bahagia.
“Sesungguhnya kebahagiaan yang hakiki terletak pada kepuasan hati, kesenangan perasaan, ketenangan jiwa, kegembiraan rohani, kelapangan dada, budi pekerti yang baik, akhlak mulia yang diiringi dengan sifat menerima dan rasa cukup dengan anugerah yang diberikan”.
Perempuan yang bahagia juga bijak mengisi masa.
“Raihlah keberuntungan dengan membaca buku yang bermanfaat atau kaset yang berfaedah, baik dengan cara membaca mahupun mendengarnya. Semaklah bacaan yang merdu daripada Kitabullah. Semoga satu ayat saja dapat menggetarkan jiwa anda, masuk ke dalam hati dan menyentuh jiwa anda. Dengan demikian, bila anda bersamanya, akan datang hidayah dan cahaya, dan bersamanya pula akan hilang rasa putus asa, keraguan, kecurigaan dan kekhuatiran yang selama ini ada dalam diri anda.
Pelajarilah longgokan buku Sunnah (hadis) dan bacalah perkataan sang kekasihmu (Muhammad SAW) dalam kitab Riyadhus Salihin, nescaya engkau akan mendapatkan ubat keberhasilan dan ilmu bermanfaat yang akan menjagamu daripada kehinaan, akan melindungimu daripada kebodohan, serta akan menyembuhkan daripada segala penyakit”.
Kesimpulannya, tidak keterlaluan jika saya katakan, buku ini wajib dimiliki oleh para perempuan untuk diambil manfaatnya. Buku ini bisa menjadi temanmu ketika menghadapi ujian dan dugaan dunia. Tatkala kesedihan menjengah ke dalam diri, buku ini mengajarkan cara berbahagia. Dan ketika putus asa menghampiri, moga-moga kelak hatimu dapat berbisik beberapa baris ayat dari buku ini untuk mengingatkan tentang penyayangnya Tuhan dan indahnya sabar, lalu memberikan harapan untuk terus melangkah.
Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku berdekatan atau pembelian online di www.hidayah.com.my. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca