Ulasan Buku : Impian Yang Jauh

Sedar atau tidak, dalam menjaga konsistensi ketaatan, ramai dari kita yang telah meminggirkan keadaan lapar, kehausan, keterbelakangan dan ketertindasan makhluk Tuhan yang lain. Kenapa kita semua hanya diam dengan kondisi seperti itu? Kenapa tiada inisiatif untuk kita perjuangkan juga nasib mereka, sebagaimana telah kita beriktikad memperjuangkan gandaan ibadah demi meraih syurgaNya?

Inilah olahan kenyataan yang penuh dengan aksara simbolik tatkala saya menghabiskan beberapa bab awal yang terangkum dalam novel ini. Siri novel hati cekal ini dinamakan “Impian Yang Jauh” oleh pengarang Qisya Maisarah yang mengandungi 188 halaman melalui penerbitan Graphicube Solutions pada tahun 2012. Karya ini dibekalkan dengan 15 bab yang menjadikan medium warkah, surat dan emel sebagai modus operandi dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Sebelum menerobos kepada inti novel secara mendalam, ingin saya angkat novel ini sebagai novel yang sangat kreatif dari sudut susunan bab agar pembaca mudah memahami jalan cerita selanjutnya yang bakal ditempoh kelak. Dua nama besar yang ditempa dalam novel ini yang bertindak sebagai penulis warkah dan e-mel yang diberi jolokan “Abang Hambali”, manakala nama kedua yang turut memainkan peranan penting adalah “Haikal” yang diibaratkan sebagai adik kepada Abang. Abang memulakan sesi pandangan dan coretan beliau kepada Haikal melalui saluran surat serta e-mel dan kemudiannya dibalas oleh Haikal dan begitulah berikutnya.

Prolog novel dimulakan dengan mesej perikemanusiaan yang ditanggalkan dari hati manusiawi walhal dalam setiap detak jantungnya sentiasa mengingati Tuhan. Martabat usaha dalam mempertingkatkan amal ibadah semakin tinggi sedangkan dalam masa yang sama, graf kebaikan terhadap sesama manusia yang lain makin menurun. Malah sikap individualistik atau keakuan makin menebal seolah-olah jalan mendamba syurga hanya dengan berlama-lama di atas tikar sejadah. Sejujurnya pada saya selaku pembaca novel ini, saya amat kagum dengan mesej pertama yang dinukilkan oleh pengarang kerana telah mengetengahkan elemen yang sangat dekat dengan realiti sikap orang Melayu Islam masa kini. Korelasi yang diberikan sangat padu dan releven yang mana saya turut menyokong analogi yang diketengahkan oleh pengarang. Mengapakah kita hanya berusaha pada satu keadaan kebaikan sahaja demi menempatkan diri ke Syurga Allah? Walhal Allah yang Maha Penyayang menyediakan banyak pintu bagi segala amal soleh hambaNya, sementelahan kita sendiri tidak tahu dari pintu manakah kemuliaan kita dinilaikan dan diterima pada hari perhitungan nanti.

Maka turut menabur baktilah sesama Muslim dan insan yang memerlukan, sebagimana contoh semasa yang boleh diteladani iaitu Ebit Lew yang bergegas tangkas demi menolong sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa membentengkan ia dengan sempadan agama, keturunan malahan negeri. Negeri Borneo telah beliau rentasi, inikan pula negeri di Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan lain-lain lagi demi misi kemanusiaan. Seolah-olah kudrat dan hartanya diinfakkan sepenuhnya buat penghidupan ummah. Warkah pertama dari Abang Hamabali dibalas oleh Haikal dengan membawakan tamsilan yang begitu dekat dengan jiwa Abang dan hakikat terkini yang berputar dalam kalangan masyarakat abad 21, yakni zaman fitnah dan prasangka yang mudah tersebar sepantas kerdipan mata yang memandang. Inilah mesej kedua yang disisip melalui novel ini, tentang prasangka, nista dan tohmahan. Malahan berita sensasi menyinggah dari corong telinga ke telinga yang lain secepat angin yang meniup kencang. Bukan mulut yang tidak bertulang ini sahaja yang menyumbang bisa, bahkan tangan yang menaip lebih laju dari akal yang berfikir. Inilah yang dinamakan keyboard warrior. Menurut Haikal, “Kesalahan terbesar seseorang adalah ketika dia menganggap dirinya telah cukup pengetahuan sehingga tidak memiliki kesungguhan untuk melakukan penelitian, tabayyun atau memastikan dengan setepatnya. Mengenai sesuatu kejadian atau isu, mereka langsung menyimpulkan begitu dan begini.

 Demikian juga tentang peribadi seseorang, dengan lantang mereka membuat kesimpulan yang hanya akan membuahkan fitnah dan pembohongan”, (Haikal, 2012: 8). Pada hemat saya, mesej kedua ini bersifat milenium dan sangat kuat bagi menyedarkan kita semua agar lebih berhati-hati dalam mempolemikkan usul, biar lambat asal tepat. Warkah seterusnya dibalas oleh Abang dengan menceritakan kisah travelog dari Kampung Merbau Patah ke Wilayah Selatan Thailand demi membongkar secara realistik semua kekejaman terhadap bangsa Melayu Pattani. Disini suka saya memetik kata-kata semangat oleh Abang seumpama ada obor yang murup membara di tangannya sewaktu menulis surat buat Haikal. Ujaran oleh Abang yang telah saya adaptasikan berbunyi berikut, “Kepada semua bangsa Melayu di mana sahaja kalian berada di dunia ini dan pemuda-pemuda Islam, sedarlah dan bangkitlah untuk membantu dalam menghadapi apa jua kezaliman. Ketahuilah bahawa agama Islam dan bangsa Melayu sedang diusahakan untuk lenyap di tanah air sendiri. Jangan hanya melongo ketika saudara kita ditindas, lakukan sesuatu”.

Warkah berikutnya mengisahkan perjalanan Abang ke Kemboja yang merupakan negara kecil yang miskin di Asia. Kemudian, Abang meneruskan travelognya ke Myanmar, Malta, Turkestan Timur, Eritria, Djibouti, dan akhirnya ke Palestin. Di Palestinlah Abang Hambali menghembuskan nafas yang terakhir sebagai seorang sukarelawan dari Malaysia yang terkorban akibat serangan rejim Zionis.

Ternyata benar itulah e-mel terakhir dari Abang Hambali buat Haikal dan sesungguhnya, berita kematian Abang telah menghogeh seluruh juzuk diri Haikal. Epilog novel ini diakhiri dengan impian Haikal untuk menjadi seorang Pegawai Akhbar dan memujuk abangnya, Nizal untuk pulang ke kampung telah berjaya. Secara holistiknya, banyak nilai yang ingin ditonjolkan pengarang melalui kesinambungan setiap warkah, e-mel dan impian-impian Haikal kepada para pembaca. Ia semakin meninggikan tempat duduk kesyukuran dalam sanubari kita sebagai penduduk Malaysia kerana telah mendiami tanah Malaya yang amat sentosa ini, jika dibandingkan dengan penduduk di negara lain yang telah dicabuli akan hak dan entiti peribadi mereka.

Maka sesuailah sebagaimana judul, sejauh impian. Langkah kesempurnaan impian yang amat jauh untuk digapai. Adakah sempat dicapai sebelum ajal menerpa? Sebagaimana Abang Hambali, impian untuk mati syahid telah ditulis takdir buatnya. Untuk kita, tempuhilah ibtila’ hidup seadanya, dan ciptalah walau apa sahaja impian meski terasa jauh untuk menjemputnya kerana dalam proses tersebut kita akan ditarbiah untuk sentiasa menjadi Hamba Allah yang terus hidup dalam muhasabah dan tempelak diri agar lebih baik sebelum meninggalkan dunia ini. Saranan saya, buku berunsur travelog, sejarah, sastera ini amat sesuai dibaca bagi peringkat usia 17 tahun ke atas kerana ia menyentuh sudut pandang yang lebih terbuka tentang bagaimana mahu memaknai kehidupan melalui banyaknya impian. Jangan lepaskan peluang bagi memiliki buku bergenre fiksyen ini!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20