Ulasan Buku : How to Become a Good & Successful Medical Student

Buku “How To Become a Good & Successful Medical Student” ditulis oleh Prof Dr Muhaya Hj Mohamamad, MD UKM dan diterbitkan oleh As Sohwah Enterprise.

“Have I Made the Correct Decision”

Pada tahun 2014, hari pertama aku mendaftar di varsiti, aku capai buku ini. Benarkah jalan pilihanku ini? Apakah Allah SWT redha dengan keputusanku? Kata penulis, kebanyakan pelajar perubatan memasang angan setinggi angkasa menjadi doktor untuk merawat orang sakit. Sebelum boleh merawat, ada empat hal pada diri ini yang harus dirawat dulu. Fizikal, Spiritual, Emosi dan Sosial. Setelah itu, apa lagi  yang aku butuh untuk menjadi perawat? Penulis menjawab “Melihat pesakit secara holistik”.

Aku bingung juga. Selain penyakit, apa lagi yang ada pada pesakit? Bukankah perawat dipertanggungjawabkan untuk merawat kesakitan sahaja? Aku silap. Malu datang menderu. Hakikatnya, di setiap yang sakit itu ada dua hal terbesar iaitu “pesakit” dan “penyakit”. Lalu, penulis menyifatkan kerjaya ini persis seorang penyiasat peribadi. Setiap klu harus ditemukan, setiap simptom harus dihubungkan, lalu sang perawat membuat diagnosa. Ini dinamakan merawat “penyakit”. Lalu bagaimana pula merawat “pesakit”? Sang pesakit juga manusia yang punya jiwa. Rawatlah spiritual dan emosinya. Doakan yang baik baginya. Inilah perawat yang holistik.

Getting Ahead of Time”

Penulis mengajar beberapa bentuk pengurusan masa. Hatta, penulis juga memberi gambaran visual jadual dan senarai semak perkara yang harus dilaksana (To-Do-List). Bernas sekali aku kira, mudah untuk diaplikasi.

“Facing the Examinations”

Penulis berkongsi petua belajar yang diperoleh dari Universiti Ohio. Tidak cukup dengan itu, penulis juga membariskan petuanya sendiri berdasarkan pengalaman beliau. Suka aku petik petua ini “Show obedience to God, be good to people around you and donate to the poor”. Penulis yakin akan hubungan baik terhadap Tuhan dan hubungan baik terhadap manusia. Lalu di hujung bab ini, penulis membuat rumusan. Semakin kita kurangkan kesusahan orang lain, semakin Tuhan kurangkan kesusahan kita baik di waktu peperiksaan mahupun kehidupan sehari-hari.

“Can I Do It”

Rata rata pelajar perubatan akan hilang keyakinan dalam perjalanan penuh liku ini. Majoriti akan menghadapi komplex inferioriti, satu situasi di mana keyakinan diri menjadi pudar. Kata penulis, punca paling lazim adalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah. Penulis berpesan agar tidak mudah berputus asa. Penulis begitu kreatif dengan memberi cadangan untuk pelajar menonton rancangan TV seperti “ER” dan “Chicago Hope” yang bertemakan kerjaya perubatan biar motivasi pelajar tidak tersirna,

Akhir kata, bacalah buku ini agar kelak kau dan aku sama sama jadi perawat hebat.

Diulas oleh Nur Alyanie Abdul Majid


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Alyanie Abdul Majid
Nur Alyanie Abdul Majid
Articles: 2