Ulasan Buku : Hiatus Budak Tomato.

Tajuk Buku: Hiatus Mato.

Penulis: Amir Talhah.

Tahun Penerbitan: 2017.

Jumlah Halaman: 343

Penerbit: Iman Publication Sdn. Bhd.

Kategori: Bantu Diri, Motivasi, Kesihatan, Keluarga & Sosial.

“Ada perkara orang nampak biasa. Ada perkara yang tak mampu dirasa. Ada perkara yang terlalu rahsia. Ada harapan agar tidak berputus-asa. Bukan acah liberal, cuma mencari makna dalam beragama”-Talhah, pada halaman 20.

Tirai ciritera buku ini sudah menggambarkan sisipan seorang insan yang sunyi dalam membelah kehidupannya secara sendirian. Inilah salah satu daya penarik yang dipersembahkan oleh penulis naskhah yang berjudul Hiatus Budak Tomato. Sebagaimana yang dimaklumi, perkataan ‘Hiatus’ membawa makna ketidakhadiran sementara yang sering digunakan oleh figura lokal bagi menyatakan bahawa mereka sedang berehat sehingga pada suatu waktu yang dimuktamadkan sejenak. Mengenai gabungan dalam penjudulan nama ‘Budak Tomato’ pula tidak diberi kiasan yang jelas. Namun saya berasumsi bahawa ia memberi simbolik warna merah sekiranya buah tomato itu dipotong dengan menggunakan pisau. Persamaan ini mirip dengan watak utama novel yang sering menorah luka pada anggota tubuhnya sendiri akibat depresi.

Faktanya ialah lembaran ini berupa diari yang terjadi secara realiti oleh penulis sendiri iaitu Amir Talhah. Jumlah buku setebal 343 halaman ini disampaikan secara bersahaja dengan serapan sentimental dan gaya bahasa sastera yang berjaya menyentuh emosi pembaca saat menelaah karya ini. Dari sudut pemisahan bab pula, penulis menstrukturkannya dengan begitu baik untuk memberi kemudahan kepada para pembaca agar memahami setiap rantaian kisah yang tertera. Keseluruhan bab berjumlah 57 bab seumpama sangat banyak. Namun, istimewanya ia kerana telah mencerakinkan setiap satunya dengan siri yang ringkas dan tidak terlalu padat. Maka kategori pembaca yang merasakan sel-sel mindaya sangat berselirat amat sesuai untuk melayan naskah yang bermutu ini.

Pada hemat saya, antara nilai yang cuba diangkat oleh penulis ialah mengenai dilema yang ditanggung oleh seorang pesakit murunga atau depresi yang mana pada luarannya terlihat sihat sebagaimana masyarakat normal yang lain. Malahan status dirinya yang merupakan seorang pelajar perubatan dan juga penceramah yang kian menongkat nama dalam kalangan penganut Islam di Eropah, pastinya tidak terjangkau dek akal bahawa dirinya mengalami masalah kejiwaan yang separa kronik. Meskipun bersifat peribadi, namun sedikit sebanyak pengalaman dan  nostalgia ngeri yang dikongsikan oleh penulis mampu membuka mata ramai pihak mengenai penyakit yang sering dipandang sepi oleh majoriti orang. Biarkan lebih banyak media cetak yang bersiaran mengenai simptom ini. Biarkan lebih banyak lagi mata hati yang mula cakna dan mahu peduli. Bukan hanya tahu memaki dan melempiaskan sifat tuli pada emosi.

Di sini, Amir Talhah turut berkongsi peranan sokongan sosialisasi bagi membantu dirinya agar tidak terlalu memurupkan kesedihan melalui darah yang mengalir akibat tangan yang menghiris luka dalam sedar. Watak sang sahabat yang setia seperti Skai dan Ziyad sangat membantu bagi menyemai rasa menghargai diri sendiri oleh mantan mangsa buli sedari kecil seperti Talhah. Manakala ikon cinta pandang pertama oleh seorang pempengaruh seperti Dr. Raudhah Hifza turut menjadi keperluan yan sangat diimpikan oleh petandus cinta sering dalam kesunyian walaupun dilimpahi dengan kemewahan material sebagaimana yang dipunyai oleh Talhah. Ternyata terapi melalui persekitaranlah yang akan membangkitkan aura semangat kepada sesiapa sahaja yang dilanda penyakit depresi agar lekas sembuh secara perlahan-lahan.

Bagai yang diutarakan oleh penulis, “Teguran Allah itu sangat halus namun menyengat. Ibarat dicucuk jarum tajam, tak pedih tetapi dirasa”. Selain itu, ujaran seumpama ini juga merupakan sentapan kepada hati-hati orang beriman seperti, “Keterujaan manusia dalam membuat dosa menyebabkan kehambaran manusia dalam mengejar taubat”. Meskipun kenyataan ini ditujukan kepada diri penulis sendiri, tetapi ia turut menyumbangkan senipis keinsafan kepada sesiapa sahaja yang sering berbuat onar dosa. Sebagaimana penulis yang berlatar belakangkan ahli keluarga yang profesional, malahan seorang penghafaz Quran juga tidak terlepas daripada ujian duniawi seperti mabuk dan berzina dengan lebih dari seorang pasangan tidur.

Maka amat tidak hairan bagi masyarakat awam yang langsung tidak akrab dengan Quran juga mampu terjeblos ke lembah maksiat yang terlaknat. Meskipun begitu, usaha untuk berubah dan berperang dengan nafsu diri merupakan perjuangan yang memerlukan kesabaran yang bukan sedikit dan ia harus dipuji kerana tidak hanya mahu terus bergelumang dengan dosa. Akan tetapi punyai inisiatif untuk memperbaiki diri melalui jalan Istighfar demi keredhaan Ilahi. Sesungguhnya, bahan bacaan seumpama ini dinilaikan sebagai gerak nadi kepada pola pemikiran anak muda dengan paparan kehidupan dan keperluan dalam menjalani kehidupan dengan pelbagai kesusahan dan kegetiran yang berbeza bagi setiap orang.

Oleh yang demikian, buat pembaca dalam lingkungan usia belasan tahun sehingga yang sudah menginjak dewasa, amat disarankan untuk mengambil peluang waktu lapang yang direzekikan oleh Tuhan untuk mendalami kisah hidup melalui karya Hiatus ini. Usahlah sering beralasan dengan kesibukan waktu dan dan kekangan daripada arah yang palsu. Ingatlah bahawasanya waktu dan kesihatan adalah seperti jarak. Seperti kata-kata Talhah, “Kadang yang menjarak tak terasa jarak. Kadang yang terjarak terasa sesak. Kadang yang mencipta jarak ingin membaiki retak. Kadang yang retak itu terbaiki dengan menghubungi jarak”. Pendekkanlah jarak waktu dan buku kerana sumber buku akan membantu saat hanyut dalam lautan buntu.

Link buku di Shopee : https://shp.ee/xf7sdf3


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20