Ulasan Buku : Henshin Mahasiswa

“Sesungguhnya sesebuah fikrah akan berjaya apabila keyakinan kepadanya kuat, keikhlasan dalam membawanya sempurna, semangat dalam memperjuangkannya meningkat dan adanya kesediaan untuk berkorban dan bekerja demi merealisasikannya. Keempat-empat rukun ini iaitu keyakinan, keikhlasan, semangat dan bekerja merupakan ciri-ciri yang terdapat pada seorang  pemuda”-Eqhwan,  2016: 125.

     Inilah sebuah unggahan yang cukup hebat dalam menggegarkan detak insan yang masih menyandang amanat sebagai seorang yang masih berjasad muda dan berfikrah muda. Ditambah pula dengan imbuhan sebagai seorang pelajar dan andai berstatus mahasiswa atau mahasiswi, maka inilah sebuah naskhah yang menepati ciri yang dicari-cari. Buku setebal 179 halaman, terbitan Inspirasee International Sdn. Bhd. oleh seorang pengarang muda yakni Eqhwan, yang dianugerahkan judul “Henshin Mahasiswa”, selayaknya dimiliki oleh warga muda-mudi alaf ini.

Pada perkiraan saya, inti buku ini amat menarik sebermula dari awal halaman lagi kerana penyusunannya dalam bentuk jurnal. Jurnal yang dimaksudkan tidaklah membawa erti suatu bentuk penyampaian yang berat dan rumit untuk dihadam. Akan tetapi 9 jurnal ini dicerakinkan dengan kreatif oleh penulis bila mana penulis yang juga merupakan seorang mahasiswa kala itu memadatkan setiap jurnal dengan pengalaman beliau sendiri serta nasihat yang kognitif bersesuaian dengan cabang topik yang dibincangkan pada setiap jurnal. Sudah tentu setiap jurnal mempersembahkan isu yang berbeza yang mana ghalibnya dihadapi oleh mahasiswa di alam varsiti.

Sentuhan pertama yang ingin saya ulas adalah mengenai pemilihan tajuk oleh penulis muda ini, iaitu “Henshin Mahasiswa”. Menerusi judul ini sahaja telah membuakkan rasa inkuiri, yakni ingin tahu yang kuat berkenaan makna perkataan ‘henshin’ itu sendiri dan mengapa perkataan ini menjadi pemilihan yang paling wajar menurut penulis. Tenyata ‘henshin’ membawa pengertian ‘berubah’ yang mana ia berasal daripada Bahasa Jepun. Maka amat sesuailah untuk dipadankan dengan istilah mahasiswa yang mana ia membawa seruan agar mahasiswa melakukan perubahan secara siaga demi menegakkan Islam sebagai deen, yakni cara hidup terbaik dalam dunia yang penuh gejolak tipu daya ini.

Selajur komentar saya mengenai pemilihan tajuk bagi setiap jurnal pula adalah ia sangat ringkas dan mudah difahami hanya melalui sekali pembacaan sahaja. Dengan begini, seharusnya mahasiswa tidak perlu melabur alasan yang beraneka andai mahu menghadamkan naskah ini lantaran ia boleh dibaca pada bila-bila masa secara santai dan bersahaja. Meskipun penulis telah menggantikan perkataan bab dengan jurnal yang membawa tafsiran yang lebih professional dan formal, namun ia amat bercanggah sama sekali dengan telahan saya buat kali kedua pembacaan dan seterusnya. Rupanya bahasa penulisan yang diguna pakai  adalah bahasa yang rojak, dan bukanlah sebagaimana jangkaan saya iaitu bahasa disertasi atau tesis.  Antara nama-nama jurnal yang digunakan ialah Selangkah ke Alam Universiti, Aku budak freshie, Projek! Projek! Projek! Berukhwah dengan pensyarah dan lain-lain lagi.

Antara kisaran jurnal yang bermanfaat dan menarik perhatian saya ialah jurnal ke 6 iaitu ‘Politik Kampus sebagai Medan Pertempuran Ideologi’. Penulis telah menghuraikan dengan terperinci dari sudut pemaknaan tajuk dan huraian yang logik berkaitan nama jurnal. Maka secara hubungkaitnya, politik kampus merupakan gabungan yang berasimilasi  yang melahirkan suatu fenomena, seterusnya mempamerkan sebuah pengaruh dalam kalangan anak-anak muda yang bermastautin di alam kampus. Di sini penulis telah melontarkan nasihat secara langsung biarpun berbau sedikit sinis, iaitu janganlah hanya bersemangat dan berani berteriak di hujung pembesar suara sahaja. Walhal laungan itu kadangkala kosong dan agendanya terpesong. Maka jadilah kita mahasiswa yang gemar berobservasi namun tetap patuh pada birokrasi, namun tetap aktif dan tidak pasif.

Bukan satu jurnal sahaja yang mampu saya klasifikasikan sebagai menyumbang nilai, malah jurnal-jurnal lain juga tidak kurang mutu baiknya. Antara lain, jurnal 5 iaitu ‘Aku Mahasiswa Mukmin yang Hebat’, yang mana didalamnya terangkum 4 subtopik penting tentang aspek pengurusan masa, kewangan dan tekanan. Tajuk serampang dua mata ini menterjemahkan impian yang besar bagi seorang manusia untuk menjadi seorang ilmuwan yang celik akalnya. Namun dalam masa yang sama ingin menjadikan agama sebagai senjata memburu kehebatan yang diredhai Sang Pencipta. Demikian halnya juga dengan jurnal lain yang mengupas tentang jerat cinta yang mana lazimnya menjadi target golongan muda yang berstatus solo sewaktu menjengah ke alam kampus. Nah! semuanya menarik untuk dibaca.

Jika ingin disinopsiskan semua jurnal, maka risensi ringkas dari saya ini sangat tidak berpeluang untuk membicarakan kesemuanya.  Semua inti subtopik di dalam setiap jurnal dapat dinilaikan cemerlang sebagai panduan mudah kepada mahasiswa dalam mengendalikan ronta-ronta jiwa muda sebagai penuntut ilmu. Kepuasan seorang insan yang masih jagung dalam rencah kehidupan kita raikan, namun tetap perlu diawasi akan berkahnya juga. Jangan hanya kerana kelompongan Iman, muda-mudi hanyut tatakala bergelar mahasiswa. Saranan saya, kepada muda-mudi yang ingin melakukan perubahan kepada diri sendiri khususnya, amat sesuai untuk memiliki naskhah ini agar setiap derap perubahan yang direncana tidak tergendala dan dampak lebih sempurna.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20