Ulasan Buku : Harga Sebuah Percaya

Harga Sebuah Percaya ialah salah satu karya Tere Liye (penulis Indonesia) paling laris, novel yang tebalnya 298 muka surat. Ia menceritakan tentang seorang lelaki bernama Jim, si yatim piatu yang serba malang. Dia tidak tahu menulis, tidak tahu membaca dan pengecut untuk menjalani hidup. Satu kelebihannya, iaitu pandai menggesek biola. Irama lagunya sungguh merdu, sehinggakan seorang gadis dari keluarga bangsawan jatuh cinta kepadanya kerana muzik indah yang terbit dari cekap tangan Jim menggesek biola. Gadis itu, Nayla namanya. Jim juga tertawan dengan kecantikan gadis itu. Mereka saling mencintai.

Jim dan Nayla sangat memuja sebuah dongeng seorang suami yang sanggup meminum racun setelah mendapati isterinya meninggal dunia. Mereka berikrar untuk bercinta seperti pasangan di dalam dongeng itu; janji sehidup semati. Seperti kebanyakan cerita, kisah percintaan antara dua darjat sulit untuk dipersetujui apalagi direstui. Nayla akan dijodohkan bersama orang lain yang sedarjat dengan keluarganya. Hati telah dimiliki, janji telah diikrar, cinta tidak boleh dipaksa, Jim tidak juga berani datang menjemputnya, justeru Nayla nekad membunuh diri.

Jim terkesima melihat jasad Nayla dan timbul seribu penyesalan di hati Jim. Kerana tidak berani melarikan Nayla, dia kehilangan Nayla selama-lamanya. Jim berasa sedih, kecewa dan putus asa untuk hidup lagi. Apalah erti hidupnya tanpa Nayla, cinta hatinya. Jim juga mahu membunuh diri, menyusul Nayla tapi sayangnya dia pengecut. Dia tidak seberani Nayla. Jim marah dan menyesal dengan dirinya yang tidak berpendidikan dan pengecut. Dia hanya berani menangis. Novel ini bermula dengan bibit kekecewaan, penyesalan dan putus asa. Ya sememangnya itulah awal yang akan mengajari manusia untuk lebih kuat membangun hidup selebihnya.

Manusia tidak akan belajar bangun, jika tidak jatuh. Manusia tidak akan berusaha berdiri, jika tidak terjelepok ke tanah. Manusia akan selalu tersilap lagi, jika tidak ‘diajar’. Jim yang hidup keseorangan hanya meratap sendirian dan asyik mempersoal takdirnya yang malang. Ketika ini, muncul seorang tua yang menggelar dirinya Sang Penandai untuk memujuk Jim meneruskan hidup. Pencinta sejati tidak akan pernah menyerah sebelum kematian itu sendiri datang menjemput dirinya, kalimat Sang Penandai kepada Jim. Jim buntu dengan kalimat itu.

Sang Penandai ialah orang yang mahu membuat cerita-cerita dongeng yang lebih indah untuk diteladani masyarakat turun-temurun. Tidak seperti dongeng yang dipercayai Jim dan Nayla. Sang Penandai memilih kisah Jim dan Nayla untuk dijadikan dongeng kepada anak-anak kecil pada masa hadapan. Dongeng yang lebih bernilai. Oleh itu, Sang Penandai tidak mahu Jim menamatkan hidupnya hanya kerana kehilangan kekasih. Sang Penandai memujuk Jim untuk terus menjalani kehidupan, memberitahu Jim supaya mengikuti sebuah ekspedisi pelayaran ke Tanah Harapan jika mahu lebih memahami kalimat yang membuntukan tadi.

Jim secara tidak sengaja terpaksa juga mengikuti pelayaran itu dengan tidak rela akibat daripada sebuah kejadian mencemaskan Jim yang penakut. Pelayaran yang panjang dan jauh itu sukar bagi Jim pada awalnya, seorang kelasi rendahan yang sering menangis setiap malam dek terkenangkan Nayla. Seiring masa berlalu, dengan pelbagai badai lautan yang ditempuhi oleh semua angkatan pelayaran menjadikan Jim seorang lelaki yang berbeza dari sebelumnya. Jim lebih tangguh, pandai membaca dan menulis, pandai juga bermain pedang, walaupun terkadang kenangan masa lalu yang menyakitkan itu menembus hatinya, membuatnya menangis lagi.

Kalimat Sang Penandai itu masih sukar difahami Jim, tetapi setidaknya pelayaran itu telah mengajar Jim, menjadikan dia lebih baik dan yakin diri dari sebelumnya. Jika direnungkan kehidupan ini, keadaan-keadaan sukar yang kadang-kadang menimpa kita sebenarnya adalah cara Tuhan mendidik hambaNya. Pernah mengalaminya atau tidak tetapi percayalah, manusia mampu menolak dirinya lebih dari yang disangka dalam keadaan mendesak dan sukar. Dan kenangan masa lalu adalah untuk kita menerima dan berdamai dengannya kerana untuk melupakan adalah tidak mungkin. “Semua orang di dunia ini bisa memilih kisah agar hidupnya lebih berarti.”

Kesimpulan, sebuah kisah putus cinta yang tidak membuang masa pembacanya. Apa pengakhiran Jim? Jemput dapatkan buku ini dan habiskannya sementara masih banyak masa bakal tersisa di rumah atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan. Selamat membaca dan semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22