Ulasan Buku : Genesis Metamorfosis

Genesis dan metamorfosis bukanlah perkataan yang sering diungkap atau didengar dalam kehidupan seharian. Sejujurnya, saya sendiri tidak mengetahui apakah maksud yang cuba disampaikan oleh penulis sebaik sahaja membaca tajuk buku ini.

Selepas melakukan beberapa carian, menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, genesis bermaksud titik permulaan atau asal usul sesuatu (idea, tamadun) tentang kategori asas manusia dalam sesuatu pemikiran. Metamorfosis pula membawa makna perubahan besar atau sepenuhnya untuk mendapatkan sesuatu yang baharu. Maka, maksud tersirat genesis metamorfosis yang disampaikan oleh penulis ialah titik pemulaan dalam mencari perubahan.

Saya mendapatkan buku ini secara rawak dan terpakai daripada pencinta buku yang lain. Tidaklah saya meletakkan harapan besar supaya buku ini menjadi sesuatu yang mengujakan. Namun disini kenikmatan dalam membaca terjadi, boleh jadi sebuah buku yang tidak diletakkan harapan yang tinggi menjadi sebuah buku yang banyak menjentik dan memberikan impak dalam diri.

Jika diimbas dari maksud tersirat tajuk buku ini, gambarannya seolah tentang sebuah buku motivasi. Namun, ia lebih bersifat umum dan mengetengahkan konsep kebaikan. Buku ini lebih bersifat teguran buat masyarakat dalam memahami konsep kebaikan dan tegurannya itu berdasarkan pelbagai sumber, sejarah dan agama misalnya.

Tulisan Shamiel Fikri ini juga seolah membawa saya supaya jangan melihat dunia itu hanya sekadar hitam dan putih atau baik dan jahat. Dunia ini seumpama satu titik yang boleh jatuh di antara dua elemen yang berlainan. Ia juga mengajar supaya dunia itu hendaklah dipandang dari pelbagai perspektif yang berbeza.

 Saya beri contoh yang terdapat dalam buku ini. Andalusia terkenal di zaman kegemilangannya sebagai sebuah kota yang bercahaya kerana jalan-jalan diterangi dengan cahaya-cahaya lampu. Lampu pada zaman itu bukannya seperti sekarang, kerajaan perlu mengupah pekerja khas untuk menyalakan api. Kesannya, kota yang diterangi cahaya itu hidup dalam aman dan kurangnya rompakan lantas menjadi pusat pembangunan Islam di Eropah. Siapa sangka kerja menyalakan lampu di malam hari itu dapat memberikan kesan positif buat satu tamadun?

Berbalik kepada konsep kebaikan yang banyak dikupas oleh penulis. Banyak isu yang dikupaskan tentang perkara tersebut contohnya bagaimana kebaikan itu boleh dimanipulasi menjadi sesuatu bencana dan bagaimana kebaikan akan memberikan impak kepada generasi akan datang.

 Saya tertarik dengan kisah yang diceritakan dalam buku ini tentang seorang gadis yahudi bernama Anne Frank yang terlibat dengan peristiwa Holocaust. Anne masih menganggap dalam kejahatan manusia masih tersimpan secalit kebaikan biarpun pada waktu itu belas kasihan merupakan sesuatu yang janggal.

Saya akhiri ulasan dengan ayat kegemaran saya yang tercatit dalam buku ini. “kebaikan itu tidak mampu dicapai dengan paksaan. Ia tidak mampu ditarik keluar dengan kekasaran. Paksaan itu ibarat memecahkan telur dengan tekanan dari luar kerana tidak sabar melihat ayamnya keluar melihat dunia. Akhirnya telur pecah, ayamnya mati serta merta”.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


ArifHai
ArifHai

Bibliofil, pelajar dan penulis artikel.

Articles: 4