Ulasan Buku : Falsafah Syaitan

Tajuk buku : Falsafah Syaitan
Penulis : Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka)
Cetakan : 2020
Muka surat : 92
Harga : rm25

Ingin saya perkenalkan sebuah buku yang sangat bagus untuk di jadikan bahan bacaan dan koleksi kekal di rumah. Juga pastinya ingin di ulang baca tanpa rasa bosan dan jemu. Sebuah karya yang pada awalnya di terbitkan pada tahun 1936 dan kini di terbitkan semula oleh jejak tarbiah untuk manfaat bersama.

Karya Hamka ini adalah yang ke-5 saya miliki setelah Terusir, Ayahku, Di bawah lindungan ka’bah dan Berbicara tentang perempuan. Tidak dapat di nafikan setiap karya Hamka tidak pernah mengecewakan pembaca, baik dari sudut bahasa dan penceritaan. Tidak kira fiction ataupun non fiction penyampaian dalam karya beliau sama sahaja memberi kesan mendalam buat para pembaca. Tidak hairanlah jika karya-karya beliau masyur di sepanjang zaman.

Sejujurnya saya terpegun dengan karya Hamka yang satu ini, di dalam buku ini Hamka berjaya mengetengahkan peranan iblis dan syaitan dalam setiap aspek kehidupan manusia, sekaligus memberi kesedaran minda dan penyucian jiwa buat umat manusia.

Benar sekali! Manusia itu kerana terlalu asyiknya dalam mengejar dunia sehinggakan terlupa tempat kembali yang kekal abadi, bahkan musuh yang sentiasa memerhati setiap masa tanpa rasa lelah menjerumuskan ramai manusia ke lembah hina dan perpecahan sesama, hilang rasa hormat menghormati, hilang kasih sayang dan terputus tali persaudaraan hanya kerana musuh yang tidak kelihatan.

Nashkah ini benar-benar membuat pembaca berfikir dan memuhasabah diri, sejauh mana perjalanan hidup telah di jalani dan bekalan apa yang sudah di siapkan untuk hari penghitungan kelak.

– Syurga dan neraka ada dalam hidup. Syurga ertinya kesenangan, neraka ertinya kesusahan. Syurga bagi diri jika kehendaknya lalu, neraka bagi badan jika langkahnya terhambat. – [Halaman4] 

– Dengan apakah akan dipelihara diri daripada neraka, azab yang tiada terkira itu? Padahal tidak diterima padanya emas dan perak, tidak pula pembelaan orang lain. – [Halaman 35] 

– Kematian itu ialah perpindahan. Pindah dari alam yang amat sempit kepada yang luas. Mati ialah batas, batas di antara musim menanam dengan musim menuai. -[Halaman 82]

Kesimpulannya, membaca karya ringkas ini pasti memberi kesedaran minda dan keterbukaan hati dalam memahami konsep perbuatan dan balasan dalam setiap perilaku manusia. Memilih antara kebaikan atau kejahatan yang menghiasi umur selama hidup itulah penentu kehidupan di negeri yang abadi apakah beroleh kenikmatan Syurga atau bersama dengan musuh manusia di neraka jahanam.

Ingatlah Firman Allah Ta’ala dalam surah al-israk ayat 64 :

وَاستَفزِز مَنِ استَطَعتَ مِنهُم بِصَوتِكَ وَأَجلِب عَلَيهِم بِخَيلِكَ وَرَجِلِكَ وَشارِكهُم فِي الأَموالِ وَالأَولادِ وَعِدهُم ۚ وَما يَعِدُهُمُ الشَّيطانُ إِلّا غُرورًا

” Dan hasutlah sesiapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan suaramu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berkongsilah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah kepada mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka. “

 Saranan saya kepada pencinta buku milikilah nashkah ini untuk menaik taraf iman dan memberi pencerahan kepada minda, rugi rasanya jika ketinggalan sebuah karya agung yang dapat membasmi tinta-tinta hitam dalam hati agar melihat cahaya dari arah yang berbeza. 

Menghimpunkan nasihat dan pengajaran melalui beberapa kisah yang akan menjadi hidangan para pembaca pastinya tidak mengelipkan mata dari terus mencicipi nashkah ini hingga ke garis penamat.  

Selamat membaca dan memuhasabah diri agar terhindar dari belenggu syaitan yang keji.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47