Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Etika Berhias Wanita Muslimah
Nama buku: Etika Berhias Wanita Muslimah
Penulis: Amru Abdul Mun’im Salim
Muka surat: 248
Penerbit: At-Tibyan
Tahun terbit: 2014
Cetakan: 4
Wanita akan berbuat apa sahja bagi memastikan tiada kekurangan yang melekat pada anggota tubuh badannya. Tiada cacat cela yang boleh melunturkan keindahan di wajahnya.
Inilah wanita, yang secara fitrahnya sangat akrab pada kecantikkan dan keanggunan. Tidak ada wanita yang tidak menyukai kecantikan. Lebih-lebih apabila seseorang wanita itu telah menjadi seorang isteri, ada saja penampilan baharu yang mahu ditukar ganti bagi memastikan hati suami sentiasa tertawan.
Islam tidak pernah menghalang kita untuk mengenakan pakaian berwarna, berhias dan memperindahkan penampilan. Kita juga sangat diperintahkan untuk bergaya tetapi hendaklah bersesuaian mengikut pelaksanaan syariat.
Sesetengah wanita yang beragama Islam kebelakangan ini, tidak lagi mematuhi peraturan ketika berhias. Melanggar batas-batas yang telah ditetapkan ke atas seluruh mukminah. Ia dibuktikan dengan menyaksikan sendiri deretan wanita bertempiaran diruang mall yang menyesakkan.
Kejahilan dalam berhias persis gaya wanita pada zaman jahiliyyah, kebarangkalian marak kerana sesetengah wanita tidak cakna dalam menitikberatkan persoalan aurat. Mereka bebas berbusana tanpa memikirkan kesan dan risiko kepada yang melihat.
Buku yang tertera berjudul Etika Berhias Wanita Muslimah hasil tulisan Amru Abdul Mun’im Salim ialah buku yang menyoroti panduan dalam berhias. Seperti biasa, asalnya buku ini juga merupakan terjemahan daripada judul Ahkamu Az-Zianati li an-Nisaam.
Kelihatannya sudah banyak ulama menulis untuk memelihara cara wanita berpakaian dan buku ini memfokuskan satu topik perbincangan mengenai larangan dan yang dibenarkan sepanjang wanita berhias.
Dalam keghairahan berhias juga, tidak semua wanita boleh mengenakannya. Ada yang diharamkan dan wajib ditinggalkan kerana dalam hadis telah banyak menyebutkan akan larangan serta ancaman.
Bermula daripada pemakaian, anggota badan, suara dan benda-benda yang boleh digunakan ataupun tidak, wajib kiranya bagi seorang muslimah memperhatikan kesan-kesannya.
Buku ini memaparkan etika yang mesti diamalkan oleh seorang wanita tatkala dia mulai mempersiapkan dandannya. Contohnya seperti yang dinyatakan, tidak memakai berpakaian sendat, tidak menggunakan bulu mata palsu, tidak terlalu tebal dalam bersolek kerana perkara-perkara ini mendekati perbuatan tabarruj.
Sementelahan itu, adanya bentuk-bentuk larangan yang wajib ditinggalkan disenaraikan dengan lebih jelas agar kaum wanita tidak melanggar hukum-hukum yang dikhususkan.
Contoh berikut, larangan mencukur alis mata, mengikir gigi tanpa tujuan perubatan, membuat pembedahan plastik dan lain-lain yang turut dibicarakan larangannya.
Larangan ini dilihat seolah-olah bertujuan hendak mengubah ciptaan Allah ke atas manusia dan telah banyak dalil dalam Al-Quran dan hadis menyebutkan akan balasan bagi sesiapa yang berkeras hendak mempertahankannya.
Justeru itu, buku ini menawarkan kepada kaum muslimah untuk berhias sebagaimana yang sudah Islam tetapkan kepada kita. Ia bukan bertujuan hendak mengekang kemahuan untuk bergaya, tetapi untuk membezakan wanita muslimah dan orang-orang kafir yang tidak melambangkan ciri-ciri pakaian orang yang beriman serta bertakwa.
Iffah lahir daripada wanita yang menjaga kesucian dirinya, daripada kesedarannya akan bahaya terhadap pandangan-pandangan liar di luar yang penuh dengan fitnah dan ujian. Untuk itu, hadiahkanlah senaskhah buku ini buat cicipan dan peringatan kita terhadap azab Allah yang menakutkan.
Bergaya biarlah patuh syariah. Berikan tauladan kepada masyarakat dengan menunjukkan Islam bukan agama yang jumud tetapi agama yang memelihara kehormatan seorang muslimah.
Biarlah kerana mengharapkan keredaan-Nya, kerana kecantikan tidak akan kekal di dunia, ia akan hilang saat umur semakin bertambah.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca