Ulasan Buku : Drama-Drama Pilihan: Edisi Khas Sasterawan Negara, Usman Awang

SAFIAH (terhenti, menjeling masam pada Umar, terdiam seketika, tapi bersemangat semula): Kalau you bercita-cita hanya nak jadi guru, tak payah masuk universiti pun you boleh jadi guru. Apa susahnya? Tengok, berapa banyak orang yang boleh jadi guru, tak payah cakap Inggeris pun boleh jadi guru.

UMAR (merenung hujung rokoknya, sedikit kesal): You terlalu memikirkan diri sendiri. I suka jadi guru dan kita pun memang kekurangan guru.

SAFIAH (tak sabar): You ni nasionalis sangat…

UMAR (memandang penuh pada Safiah): Ya, nasionalis tak nasionalis, cuba you, tengok. Tiap tahun beribu-ribu murid masuk sekolah, tapi berapa orang guru yang bertambah? Berapa orang mahasiswa-mahasiswa yang mahu jadi guru?

Drama Serunai Malam karya Usman Awang.

 

Itulah dia sedikit petikan drama Serunai Malam dari Drama-Drama Pilihan: Edisi Khas Sasterawan Negara, Usman Awang. Bercakap tentang Usman Awang, saya pasti ramai yang mengenali figura ini melalui sajak-sajaknya yang amat terkenal iaitu Guru oh Guru dan Ke Makam Bonda. Bagi saya, Usman Awang merupakan seorang penulis yang berjiwa romantis dan nasionalis. Penggunaan lagu-lagu dan sajak-sajak puitis dalam dramanya, serta lenggok ayat sasterawan negara ini ternyata berupaya untuk membuatkan sesiapa sahaja yang membaca terasa bagai diawang-awangan. Namun, perlu diingat bahawa karya-karyanya walaupun bernada romantis dan kadangkala berselang dengan gurau senda, ia sarat dengan kritikan sosial yang membuatkan tulisannya bersifat evergreen. Oleh itu, drama-dramanya banyak yang masih lagi sesuai dipentaskan sehingga ke hari ini kerana mempunyai mesej-mesej yang hidup melangkaui zaman.

Di dalam buku yang setebal 331 halaman ini terdapat beberapa buah drama Usman Awang yang sangat popular, antaranya ialah Matinya Seorang Pahlawan (Jebat), Uda dan Dara, dan Tamu di Bukit Kenny. Dari kacamata saya sebagai seorang pembaca dan bukanlah orang yang pernah menonton sebarang pementasan drama, Uda dan Dara misalnya, merupakan cerita cinta sepasang kekasih yang tertindas. Mereka hidup pada zaman orang Melayu dibelenggu kemiskinan, dan orang kaya hidup seperti Tuhan. Di dalam drama ini terdapat bait-bait lagu, sajak, dan pantun yang pastinya apabila dipentaskan, dijalin pula dengan prop serta barisan pelakon yang menghayati watak, pastinya akan lebih menjadi lebih menarik lagi. Namun, pada ulasan saya kali ini, saya rasa teramatlah susah jika saya mahu mengulas semuanya secara umum. Maka saya akan memilih dua buah drama kegemaran saya daripada buku ini iaitu drama Tamu di Bukit Kenny dan Serunai Malam.

Tamu di Bukit Kenny – Liku-liku hidup seorang pegawai kerajaan.

Tamu di Bukit Kenny merupakan sebuah drama sebabak yang memaparkan hidup sehari-hari seorang pegawai. Dalam drama ini, latar tempatnya ialah di rumah pegawai di Bukit Kenny dan sepanjang penceritaan, dapat dilihat interaksi antara pegawai dan juga tetamu yang berselang-seli datang bertandang kerumahnya. Disini, dapat dilihat bahawa pegawai (namanya tak pernah dinyatakan) merupakan seorang yang tegas dan berpegang teguh dengan undang-undang dan prinsip namun tetap lembut melayan karenah tetamu-tetamu yang datang mengadukan 1001 masalah kepadanya. Jarang sekali Usman Awang menggunakan watak orang yang berpengaruh sebagai orang yang baik-baik. Malah, di dalam beberapa buah dramanya yang lain, orang kaya yang berpangkat besar (seperti Alang Bakhil dalam drama Uda dan Dara ataupun Jeff dalam drama Dari Bintang ke Bintang) selalunya akan menjadi antagonis dengan pembawaan watak yang bersifat sombong dan bongkak.

Jelas dalam drama ini, Usman Awang banyak memberikan kritikan tentang perkara-perkara yang salah tetapi menjadi lazim dalam kehidupan seharian. Cerita bermula dengan kedatangan beberapa orang kampung yang mengadu bahawa tanah mereka yang tidak diusahakan akan ditarik balik oleh kerajaan. Usman Awang terang-terangan mengkritik orang Melayu yang banyak diberi bantuan oleh kerajaan, namun akhirnya bantuan-bantuan tersebut disia-siakan, seperti babak yang saya kongsikan dibawah, saya pasti para pembaca juga amat familiar dengan situasi sebegini.

ORANG KAMPUNG 1: Bukan kami tidak mahu mengerjakan tanah pinggir itu. Apa guna kami minta kalau hendak dibiarkan tumbuh lalang. Tapi encik fikirlah. Anak bini kami nak makan juga, anak kami nak sekolah juga. Kalau hanya mengerjakan tanah pinggir itu saja tiap-tiap hari, mana hendak cari belanja? Terpaksalah buat kerja lain. Jadi itulah tergendalanya tanah pinggir kami.

PEGAWAI: Tapi kalau begini, macam mana tanah itu nak jadi. Dan yang saya tahu tanah pinggir orang-orang cina itu bukan sahaja terang dan bersih, tapi menghijau tanamannya. Tanah pinggir setengah-setengah orang kita menghijau lalangnya.

Drama Tamu di Bukit Kenny karya Usman Awang.

Selain itu, cerita turut diserikan lagi dengan unsur jenaka seperti ketika Mamat datang ke rumah pegawai dengan membawa parang. Dia cuba meminta pertolongan pegawai kerana rumahnya yang dibina atas tanah haram akan dirobohkan. Katanya, dia cuma mahu berpura-pura hilang akal dan mengamuk sedangkan dia sendiri takut dipukul. Pegawai juga terpaksa berhadapan dengan sogokan berupa perempuan cantik dari seorang tauke cina yang mahu mendapatkan tender. Tetapi, pegawai tetap berpegang teguh dengan prinsipnya. Malah, semua permasalahan yang diadukan kepadanya akan beliau selesaikan secara berhemat, dan sebarang sogokan semuanya beliau tolak dengan baik.

Drama menjadi semakin menarik apabila masalah yang pegawai terpaksa selesaikan menjadi semakin personal. Akhirnya, beliau terpaksa akur apabila anak-anak beliau sendiri membawa masuk tetamu yang tidak diundang kedalam rumah mereka. Pegawai berasa amat hampa dan kecewa kerana dalam kesungguhan beliau menolong orang lain, ternyata anak-anak beliau sendiri menjadi duri dalam daging dalam kehidupan beliau. Akhirnya pegawai rebah apabila beliau diserang sesak nafas, ataupun menurut Abang Man (abang ipar pegawai), beliau telah ‘keteguran’ setelah disampuk ‘tetamu’ terakhir di Bukit Kenny pada malam tersebut!

Sepanjang penceritaan, mesej yang cuba Usman Awang sampaikan didalam drama ini amatlah jelas. Disamping kritikan sosial yang cuba diketengahkan, Usman Awang turut mahu menyampaikan bahawa masih lagi terdapat pegawai berpangkat besar yang bersikap jujur malah tidak mudah ‘dibeli’ dalam urusan seharian. Masih wujud lagi orang besar yang menyelesaikan masalah dalam lingkungan undang-undang walaupun mereka makin pupus dalam senario politik zaman sekarang. Disamping itu, saya juga dapat merasakan bahawa penulis turut melontarkan harapannya untuk melihat lebih ramai ahli politik yang mesra rakyat tetapi masih mampu mengekalkan jati diri dan tidak mudah diperdaya atau gelap mata seperti pegawai.

Kesimpulan

Saya amat mencintai karya-karya Usman Awang, dan buku ini merupakan buku pertama yang mendedahkan saya dengan hasil tulisan karyawan ini. Disebabkan saya dibesarkan oleh ibu bapa yang kedua-duanya pada waktu itu bekerja sebagai seorang guru Bahasa Melayu, saya telah membaca buku-buku sebegini sejak saya dibangku sekolah lagi. Kepada generasi muda zaman sekarang, saya amat menyarankan anda semua untuk membaca buku-buku tulisan Usman Awang. Mungkin para pembaca yang berminat boleh mendapatkan buku Yang Nakal-Nakal terbitan Lejen Press. Buku ini menghimpunkan 17 cerpen dan 8 sajak oleh Sasterawan Negara Usman Awang dan sekarang dijual online dengan harga RM 17.90.

Saya masih lagi berhutang sebuah lagi ulasan dengan para pembaca sekalian, iaitu ulasan tentang drama Serunai Malam – Sebuah drama khas untuk para pendidik di luar sana. Insya-Allah, ulasan ini akan bersambung lagi dalam bahagian seterusnya. Saya rasa amatlah rugi jika saya tidak menghabiskan penulisan saya kali ini dengan sebuah sajak nukilan Usman Awang. Saya memilih sajak Melayu (rangkap 4, 5 dan 6) sebagai penutup ulasan saya kali ini dan juga sebagai pelengkap kepada drama Tamu Di Bukit Kenny. Sajak ini pernah dibacakan oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein pada perhimpunan UMNO tahun 1999.

Sajak Melayu oleh Usman Awang

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Salam sayang, dan semoga berjumpa lagi dilain hari.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Fatin Zahra
Nur Fatin Zahra
Articles: 2