Ulasan Buku : Diagnosis²

Assalam. Hi, aku Khairul. Okay baik, kali ini aku baru selesai habiskan sebuah buku yang agak menarik bagi aku. Kenapa? Sebab semua penulisnya adalah mereka yang berpangkat doktor. Buku yang aku maksudkan ialah kumpulan cerpen yang bertajuk Diagnosis². Kalau pembaca cuba renungkan tajuk buku ini, dengan visual warna yang diterapkan pada perkataan diagnosis di muka depan buku; nampak seolah-olah ada mesej tersirat yang diselitkan (bagi aku yang curious dengan pemilihan warnanya, itulah yang aku rasakan). Apa yang cuba disampaikan? Nanti aku bagitahu. Haha.

Buku Diagnosis² ini diterbitkan pada tahun 2015 oleh penerbit WhiteCoat Enterprise. Dengarnya ada buku Diagnosis yang pertama, tapi aku belum terjumpa lagi. Dan aku juga ada terbaca yang ini bukan sambungan cerita dari buku yang pertama. Jadi okay saja kalau tak pernah baca buku yang pertama pun. Buku ini telah menghimpunkan seramai tujuh orang penulis (doktor) yang masing-masing menyumbangkan lebih kurang tiga ke sembilan buah cerpen. Tujuh doktor tersebut ialah Dr. Anwar Fazal, Dr. Aizzat, Dr. Azah, Dr. Fatin Liyana, Dr. Beni Rusani, Dr. Mafeitz dan Dr. Mahyuddin. Proses penceritaan dalam buku ini ialah dengan gaya penulisan fiksyen yang bertemakan dunia kedoktoran dan perubatan.

Bagi aku secara peribadi, aku sangat gemar dengan latar penceritaan buku ini sebab ia melibatkan para ahli yang pakar dalam bidangnya menceritakan sisi-sisi yang tidak akan pernah dirasai oleh kebanyakan orang luar. Dan antara ketujuh-tujuh orang penulis buku ini, aku paling tertarik dengan penulisan Dr. Aizzat, Dr. Azah dan Dr. Beni Rusani. Aku bukanlah orang yang selalu membaca cerita yang dikarang dalam bahasa Inggeris, tapi penulisan mereka berjaya dan mampu menyentuh hati pembaca (aku). Cerita dalam buku ini ada yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris ikut keselesaan penulis. Buku ini juga banyak selitkan istilah-istilah perubatan yang orang luar tidak biasa dengar. Ini baik bagi aku sebab penerangan istilah-istilah atau jargon-jargon dunia perubatan yang digunakan dalam buku ini membantu aku untuk mengimaginasikan situasi yang dicerekakan oleh para penulis. Tapi bagi yang tak sabar pula, mungkin akan skip-skip saja penerangan nota kaki yang dilampirkan itu. Haha. Itu ikut orang lah ya.

Kenapa aku kata judulnya saja dah menarik tadi? Okay, kalau kita perhatikan maksud perkataan diagnosis dalam kamus; ia akan diertikan dengan makna penentuan sesuatu penyakit berdasarkan simptom-simptom atau tanda-tandanya. Jadi, sekaligus akan bawa pemikiran kita ke arah cerita-cerita yang berkaitan dengan dunia perubatan. Segala rempah, rencah dan renyah dalam kehidupan doktor sehari-hari diceritakan secara santai dalam buku ini. Dan bila kita lihat tajuknya dari sudut visual warna yang diletakkan pada muka depan buku, ia seakan-akan dibahagikan kepada dua perkataan yang berlainan iaitu Dia-Gnosis. Dan bila aku lihat tajuknya selepas habis membaca buku ini, otak aku menginterpretasikan Dia-Gnosis sebagai; mereka itu walau sehari-hari dikeliling sains dan teknologi, luarnya dipenuhi kesibukan dunia materi, tetapi masih tetap dalam hati masing-masing ada kekuatan yang sering dititipkan Tuhan untuk terus melangkah ke depan.

Sebagai pembaca dan orang yang bukan dari dunia perubatan, buku ini baik untuk dibaca kerana kita dapat melihat dan belajar berempati terhadap apa yang dirasai oleh para doktor secara umumnya. Seperti kata-kata yang pernah aku dengar, manusia itu memusuhi apa yng tidak ia ketahui. Jadi eloklah kita cuba fahami mereka kerana para doktor bukanlah tuhan yang dapat menyembuhkan segala penyakit. Dan mereka juga bukanlah orang yang menolak semua yang berkaitan dengan agama hanya kerana mereka banyak mengabdi diri di bidang sains dan perubatan. Sebaliknya, mereka hanyalah manusia biasa yang menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya. Oleh itu, hargailah jasa, pengorbanan dan penat lelah mereka.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10