Ulasan Buku : Ciri-Ciri Isteri Solehah

Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas segala nikmat dan syukur masih diberi peluang menghabiskan bacaan naskhah kecil yang ditulis oleh ulama’ Syaikh ‘Abd Al-Razzaq Bin ‘Abd Al-Muhsin Al-Badr. Pengulas mengambil masa lebih kurang sejam termasuk bacaan teks dan matan arab untuk sampai pada pecutan akhir.

Tema asal kepada buku ini berjudul Sifat Al-Zawjat Al-Salihah, kemudian telah diterjemahkan dengan tajuk Ciri-Ciri Isteri Solehah. Mengandungi 84 muka surat, cetakan pertama Feb 2019 (Firdaus Press Sdn. Bhd) dibawah terbitan Karya PiS Sdn. Bhd. Beserta kerjasama Maktabah Dar Ar-Rakhis Enterprise. Menariknya, naskhah ini turut diserikan lagi dengan panduan transliterasi, bibliografi sebagai rujukan dan ruang kosong sebagai nota pembaca diakhir muka surat. Walaupun saiz ukuran buku ini ringan dan bersaiz poket namun disebalik pencetakan dan gerak kerja menghasilkan naskhah ini pihak yang terlibat agak ramai dan sudah semestinya penghargaan perlu diberi kepada yang berusaha.

Agak jarang kita temui tulisan ulama’ saudi terkemuka karya mereka dicedok atau diterjemah ke Bahasa kebangsaan iaitu Melayu. Satu kebanggaan dan kepujian kepada penerjemah tanah air yang berusaha menghidupkan suasana membaca dengan lebih meluas disebabkan bantuan menerjemah kita sebagai pembaca memperolehi manfaatnya. Masih banyak karya ulama’ belum sampai ke tangan kita bukan?

Inti Pati Ulasan Ciri-Ciri Isteri Solehah.

Pada bahagian mukaddimah, penulis menjelaskan bahawa karya ini bukan sekadar dikhususkan kepada wanita yang hendak merealisasikan ciri-ciri isteri solehah atau wanita yang mahu merawat kekurangan diri. Tetapi risalah ini juga merupakan peringatan umum kepada ayah yang memiliki anak perempuan dan orang yang berada dibawah tanggungjawapnya, ibu dan kepada pendakwah sekalian.

Setiap wanita pasti menginginkan puncak kesolehan menjadi perhiasan tercantik didunia. Acap kali kesolehan wanita itu diidentitikan pada pakaian labuh, tingkah laku yang sopan. Penilaian ini tentulah tidak menjamin kebaikan seorang muslimah melainkan harus mematuhi 2 syarat memperoleh kesolehahan seperti yang dikhabarkan oleh Syaikh ‘Abd Al-Razzaq bin ‘Abd Al-Muhsin Al-Badr,

Pertama: Tawfiq, hidayah (petunjuk), kemudahan dan bimbangan daripada Allah. Hanya Allah yang memberikan petunjuk dan hanya Dia sahajalah yang memberikan tawfiq. Segala urusan berada di Tangan-Nya. Allah berfirman:

مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُرْشِدًا

‘Sesiapa yang Allah beri petunjuk maka dia akan mendapat petunjuk, dan sesiapa yang Allah sesatkan, maka dia tidak akan mendapatkan penolong dan penunjuk baginya.’ [Surah Al-Kahf:18:17]

Allah berfirman:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

‘Allah-lah yang menyeru ke arah tempat keselamatan dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dia kehendaki ke jalan yang lurus.’ [Surah Yunus:10:25]

Justeru, hidayah, kesolehan dan tawfiq hanya terletak pada TanganNya. Apa yang Dia kehendaki, maka (perkara itu) tidak akan terjadi. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan (bantuan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Kedua: Usaha seseorang, penat dan jerih perihnya untuk mencapai darjat kesolehan, termasuklah menuntutnya menelusuri sebab musabab serta wasilah untuk memperolehinya.

Nabi shallahu ‘alaihi wassalam menghimpunkan dua perkara ini dalam sabda baginda, dalam sebuah hadis yang shahih:

‘Bersungguh-sungguhlah melakukan sesuatu yang memanfaatkan kamu dan kemudian mintalah pertolongan Allah.’ [Sahih Muslim: 2664]

Meraih kesolehan dan peribadi mukminah perlu mengerjakan amalan wajib yang diperintahkan. Sehubungan itu, adanya usaha menanam benih kesolehan, tangisan doa dikala sujud agar terus diberi kebaikan dan kekuatan melawan kekufuran.

‘Justeru, untuk menjadi seorang wanita yang solehah, bermaruah, beragama serta taat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, dia perlu menahan dirinya daripada segala laluan keburukan, jalan kejahatan serta pintu kerosakan.’

[Ciri-Ciri Isteri Solehah, Syaikh ‘Abd Al-Razzaq bin ‘Abd Al-Muhsin Al-Badr hal.10]

Mengakhiri ulasan ringkas ini, mudahan kita yang bergelar sebagai wanita menjadi intan terpilih, walau dikepung ditengah mereka yang tidak menutup aurat, durhaka kepada TuhanNya, ingkar kepada suami. Semoga pahala kebaikan terus mengalir kepada Syaikh ‘Abd Al-Razzaq Bin ‘Abd-Muhsin Al-Badr.

Karya ini boleh didapati dengan terus melayari laman sesawang www.karyapis.com dan facebook Karya PiS atau melalui facebook Pustaka Ilmu Sunnah dengan harga 15 Ringgit Malaysia sahaja. Buku ini juga boleh didapati daripada www.bookcafe.com.my
Selamat membaca!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67