Ulasan Buku : Buku Kekasih

Buku Kekasih setebal 333 muka surat ini adalah karangan dari penulis tersohor kelahiran Pekan Pahang, iaitu Shaharom TM Sulaiman (lahir 23 April 1962). Buku ini diterbitkan dari Utusan Publications dan Distributors Sdn Bhd, cetakan Pertama pada tahun 2004.

Judul Buku Kekasih yang dipilih oleh penulis boleh memberi satu tanggapan pelik pada sesiapa saja yang hanya merujuk pada tajuk buku. Penulis mengandaikan buku seperti sepasang kekasih yang tidak mahu berjauhan dengan orang yang dikasihinya. Maka, sebuah buku yang disukai oleh pembaca ia diibaratkan kekasih kepada seorang bukuan.

Walaupun judul ini membawa satu keanehan, namun sebenarnya ia penuh fakta dan sarat dengan isi penceritaan. Buku ini bagaikan kajian dan analisis terhadap tokoh dan sejarah kegemilangan berkaitan perihal buku sejak beberapa abad ketika dahulu lagi.

Bibliotheca Alexandria atau Perpustakaan Iskandariah adalah kota ilmu dan pengajian yang menjadi pusat lawatan dan tarikan oleh masyarakat di seluruh dunia. Pembinaan terhadap perpustakaan yang pernah runtuh oleh bangsa Rom di Mesir ini dibiaya oleh UNESCO setinggi 200 juta dolar. Kewujudan Perpustakaan Iskandariah telah banyak menyumbang dari segi menarik minat dikalangan pembaca berkunjung. Umat islam banyak ditinggalkan sumber maklumat dan bahan bacaan melalui penubuhan Perpustakaan Iskandariah.

Pedagang islam yang menubuhkan toko-toko buku juga, banyak menyumbang ilmu dan tenaga. Al-Nadim atau dikenali juga sebagai Warraq (penyalin naskhah) pemilik toko buku terbesar di Kota Baghdad pada abad ke 10M. Beliau rajin membaca dan mencatat riwayat hidup pengarang di Perpustakaan sehingga berjaya menghasilkan Kitab al-Fihrist, kitab berkaitan katalog buku terbesar dan terlengkap.

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka ialah seorang ilmuan, sasterawan indonesia dan pemikir islam moden di nusantara. Anak jati minang ini pernah memulihkan semula ajaran tasawuf yang pernah bercanggah dengan akidah islam. Maklum, bahwa lebih 110 karya pelbagai genre yang telah dihasilkan Hamka sepanjang hidupnya. Antara buku yang berjaya menambat hati pembaca adalah buku Tasawuf Moden, Merantau Ke Deli, Falsafah Hidup, Dibawah Lindungan Ka’abah dan lain-lain.

Pak Sako atau Dr.Ishak Haji Muhammad seorang tokoh pemikir dan pejuang Nasionalisme. Buku-bukunya banyak memetik perjuangan bangsa dan rakyat serta mengkritik permainan politik yang kotor. Antara buku yang ada mengangkat tema ini adalah Novel Anak Mat Lela Gila dan Puteri Gunung Tahan.

Joanne Kathleen Rowling (lahir 31 julai 1965) atau J.K Rowling penulis novel Harry Potter hanyalah seorang janda yang tinggal bersama seorang anaknya di sebuah flat di Edinburgh. Namun, kerana kisah dunia sihir yang dipegangi oleh watak hero utama, iaitu Harry Potter, novelnya ditayangkan dan mendapat kutipan box office mencecah 106 juta US dolar setakat di Amerika Sahaja. Beliau katanya hanya menulis buku ini kerana suka berangan-angan dan berfantasi. Namun tidak disangka, namanya kini tersohor di merata tempat. Ideanya tidak sia-sia walaupun menulis novel Harry Potter dalam keadaan tidak ada mesin taip pada ketika itu.

Secara keseluruhannya, buku ini banyak mengupas sejarah dan pemikiran dan kisah tokoh-tokoh penulis buku secara terperinci. Keunggulan yang dinyatakan hanya sebilangan dari dalam kandungan buku ini. Di bahagian bab lain pula, penulis ada memuatkan mengenai keunikan buku yang akan mendorong lagi seseorang agar minat membaca. Walaubagaimana pun, setiap pembaca perlu banyakkan bacaan untuk menggali ketulenan sejarah ataupun kisah yang dipaparkan. Para bukuan “diwajibkan” mendapatkan buku-buku karangan Shahrom TM Sulaiman.

Saya akhiri pada satu kisah menarik yang dipetik oleh penulis di halaman 209. Kisah al-Zuhri yang suka pada buku sehingga membuat isterinya cemburu.

Isterinya mengeluh, “Andai kata engkau beristeri empat, buku-bukumu lebih utama, daripada isteri-isterimu yang lain”. Untunglah isteri Al-Zuhri cuma seorang !

Selamat Membaca !


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67