Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Bisu Dan Menikus
Judul: Bisu dan Menikus
Penulis: Qisya Maisarah
Penerbit: Graphicube Solutions
Kategori/Gengre: Fiksyen/Novel
Tahun Cetakan: 2012
Jumlah Halaman: 156
“Bisu dan Menikus”, suatu baris judul yang baru bagi halwa telingan saya. Ini lantaran kerana perkataan menikus sangat janggal saya temui sebelum menjejaki siri novel hati cekal ini. Ternyata menurut rujukan Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, menikus membawa makna mendiamkan diri atau tidak membantah. Kosa kata sastera ini membawa tafsiran yang agak tidak logik jika ingin disandarkan kepada watak utama, yakni Fazlan dek kerana Fazlan bukanlah dilahirkan sebagai si bisu dan juga bukanlah berkarakter pendiam, apalagi ingin membantah. Bahkan Fazlan berlatar belakangkangkan seorang yang memberontak dengan pelabagai rekod salah laku disiplin di sekolah terdahulu. Maka, adakah si bisu yang menikus merujuk kepada watak sampingan lain yang menjadi pengaruh yang kuat kepada Fazlan? Secebis dua persoalan inilah yang telah memimpin hati saya untuk terus ke hadapan bagi menghayati tema fiksyen yang ingin disampaikan oleh penulis berbahasa puitis ini.
Sebelum merentangi bait-bait cerita, ingin saya berorientasi mengenai persembahan naskhah ini. Berdasarkan kandungan, buku ini menghamparkan 11 bab yang dibahagiankan kepada 11 kemaafan. Dalam makna lain, setiap bab dinamakan sebagai ‘kemaafan 1 sehingga kemaafan 11’. Letusan tanda tanya tidak dapat disingkirkan pergi dari minda saya apabila ingin mengetahui kisah di sebalik subtopik bagi setiap kemaafan. Tujahan persoalan yang terbit tidak lain dan tidak bukan ialah, “Siapakah yang bersalah? Kesalahan apakah yang diperbuat? Mengapakah wujud kesalahan demi kesalahan yang lain? Siapakah dalang daripada kesemua masalah dan kepada siapakah kemaafan perlu dipohon?”. Pada saya, Qisya Maisarah telah berjaya menambat rentak akal pembaca agar terus meengikuti bab demi bab hingga tuntas dan akhirnya segala alasan kepada setiap persoalan terjawab dengan wajar.
Kiasan Fazlan, “Andai takutkan hantu, jangan berumah di dalam bangunan”, atau “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Simbolik ini digunakan Fazlan bagi membangkitkan jiwa seorang pemberani ke dalam diri rakan-rakannya yang sama-sama menghuni asrama yang kadang kala diganggu oleh situasi misteri itu. Fazlan menyedarkan rakan-rakan sebiliknya untuk tidak takutkan hantu kerana hantu tidak merosakkan manusia. Tetapi manusialah yang sebenarnya yang menjahanamkan sesama manusia. Dengan demikian, hantu si ghaib atau manusia yang sering aneh dan ajaib yang perlu kita ditakuti? Tamsilan mudahnya ialah, hantu ada di mana-mana dan kita sebagai makhluk Allah tidak boleh menidakkan perkongsian yang berlaku antara makhluk berjasad manusia yang jelas fizikalnya dengan hantu yang tidak terlihat oleh mata kasar di muka bumi Tuhan ini. Usahlah keterlaluan melayan takut gara-gara terdengar bunyi-bunyian yang disangka datangnya dari usikan hantu, selagi tidak mencederakan kita. Sedangkan musuh sesama manusia inilah yang majoritinya lebih kehantuan berbanding hantu. Tamsilannya, si penagih dadah, perasuah dan tidak lupa juga si tikam belakang atau yang lebih bahaya adalah si duri dalam sekam. Ya, huraian dan tamsilan ini begitu realistik dan waras untuk diterima.
Selain itu, nilai biar pecah di perut jangan pecah di mulut yang diwatakkan Fazlan wajar dicontohi. Meskipun Fazlan mengetahui segala titik mula kejahatan yang dikerjakan Kamrulzaman dan Hasan di sekolah dan di asrama, namun Fazlan lebih memilih untuk mengunci mulut. Benarlah, bangkai gajah manakan dapat ditutup. Segala bentuk tohmahan yang dilemparkan Hasan dan Kamrulzaman terhadap Fazlan demi mengeluarkan Fazlan daripada asrama itu ternyata telah membuka pekung di dadanya sendiri. Rupanya, Hasan dan Kamarulzaman lah yang mencuri CPU dari makmal komputer sekolah dan kerana Fazlan yang menjadi saksi atas perbuatan keji mereka, Fazlan menerima fitnah dan pelbagai lagi masalah agar rahsia mereka tidak terbongkar. Namun, sekalipun kita bergigih tenaga dan berkorban masa bagi menyembunyikan kebatilan oleh tangan sendiri, tetap ingat bahawa ada tiga hal yang tidak dapat disembunyikan lama. Ketiga-tiganya ialah matahari, bulan dan kebenaran. Kebenaran akan selalu mencari jalan keluar selama mana masih ada bulan dan matahari.
Akhirnya, Fazlan dibuktikan tidak bersalah berdasarkan semakan CCTV, manakala kesalahan Hasan dan Kamarulzaman amat dikesali oleh bapa saudara Hasan iaitu Pakcik Bakar yang berperanan selaku Timbalan Pengawal Keselamatan di sekolah berasrama mereka. Epilog kisah memaparkan mereka saling bermaafan antara satu sama lain. Terjawablah persoalan bahawa setiap bab dijenamakan sebagai ‘kemaafan’ bagi mewakili helah dan kesumat kejahatan yang sentiasa berbalas antara Kamrulzaman dan Hasan terhadap Fazlan dan Khuzairi sehingga akhirnya kemaafan sebenar diraikan antara mereka, sekali gus memecahkan bongkah dendam yang selama ini menghalangi mereka daripada bersahabat baik. Akhirulkalam dari saya, buku bergenre fiksyen ini amat sesuai untuk ditelaah oleh warga remaja yang masih dibangku sekolah untuk diambil pengajaran dan renungan. Kedapatan banyak nilai yang diajarkan agar menjadi seorang pelajar yang patuh pada peraturan dan mempraktikkan adab yang kamil dalam persahabatan. Adalah lebih afdhal untuk menjadi bisu dan menikus andai dengan menzipkan mulut itu lebih melindungi keselamatan diri dari terancam, kerana ingatlah kuasa si pendusta tidak dapat menjadi pembela selagi ada Allah Yang Lebih Benar lagi Maha Berkuasa.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca