Ulasan Buku : Bertuahnya Wanita Yang Bercinta

Judul: Bertuahnya  wanita yang bercinta.

Penulis: Ummu Anas.

Penerbit: Mustread Sdn. Bhd.

Tahun Penerbitan: 2015.

Jumla Halaman: 149.

“Allah s.w.t memberi dugaan kepada para hambaNya dengan mewujudkan cinta. Tatkala hamba Allah s.w.t cenderung kea rah dosa di lautan cinta, Allah s.w.t memberi hambaNya petunjuk untuk meletakkan kecintaan yang lebih utama”.  -Ibnu  Qayyim al-Jauziyyah.

Bagi penggemar bacaan yang berselang seli dengan cahaya kata daripada para ulama’, ilmuwan, agamawan atau tokoh yang masyhur zaman lampau hingga tetap meniti di bibir pada era kini, maka naskhah inilah yang sangat menepati selera pembaca. Dedikasi atas segala bakti buat penulis kerana menghimpunkan ayat-ayat cinta serta kisah cinta yang jarang didengar kala waktu sebelum ini. Judul pula sangat mudah difahami kerana fitrah insani telah mengiyakan bahawa luapan cinta jua yang sukses dalam menyegar roh yang mati. Buktinya, Jabal Rahmah, Saudi Arabia menjadi lokasi saksi pertemuan antara manusia terawal di dunia yakni Adam dan Hawa bertemu setelah kurang lebih 300 tahun terpisah. Sesungguhnya penyatuan kembali antara dua hati yang sarat cinta ini adalah daripada terkabulnya rintihan taubat dan doa kerinduan yang tidak dapat diempang lagi terhadap Allah s.w.t. Lebih tragis jika diungkit akan kisah cinta Cleopatra dan Mark Anthony sehingga Sang Ratu Mesir rela digigit ular berbisa demi mengakhiri hidupnya.

            Nah! Manusia terdahulu sudah menampakkan bahawa pujangga cinta berupaya mencorakkan warta hari yang mengusir sunyi menjadi terisi. Jika bugar cinta antara makhluk saja sudah menyalakan romansa perjuangan dalam benar manusia, inikan pula andai cinta Pemilik Cinta itu sendiri bermaharajalela dalam aliran hati manusia. Tentunya lahir klon Rabiatul Adawiyah yang sanggup membuang cinta dunia demi pengabdian setia hanya kepada Yang Maha Esa. Begitu juga halnya dengan kisah si Abid dan pelacur yang dimuatkan dalam bab kedua karya ini. Meskipun sempat tewas dek kerana gelora nasfu bagi berhubungan dengan pelacur tersebut, ternyata bantuan ketakwaan terhadap Allah s.w.t jua lah yang menyelamatkannya sehingga saat datangnya peringatan seksa daripada Allah s.w.t, si Abid terus berubah laku sehingga pucat lesi wajahnya, sebelum sempat berbuat dosa kemaksiatan bersama pelacur tersebut.

            Menyingkap kisah silam lainnya pula adalah kisah gadis penjual susu yang merupakan role model cinta Ilahi. Keberangkalian yang tinggi bahawasanya kisah ini telah dikongsikan oleh rata-rata penceramah media sosial menerusi kepelbagaian wahana. Ya, ceritera dialog antara sang ibu dan anak gadisnya yang menjual susu yang didengar oleh Khalifah Umar. Benarlah takwa dan takut kepada Allah s.w.t bukanlah yang terpamer di hadapan pemerintah yang dihormati atau di depan khalayak ramai. Akan tetapi ia terzahir saat bersedirian atau pada waktu perbuatan keji itu hanya dapat dilihat oleh Allah s.w.t. Maka berbuat jujur atau khianat itulah gambaran dari suluhan takwa dari dalam jiwa manusia.  Namun demikian, ketahuikah rupa-rupanya gadis penjual susu yang amanah dan takut akan azab penipuan sekiranya berperilaku dusta  itu merupakan awal dari salasilah keturunan khalifah masyhur, Umar Abdul Aziz?

            Disebutkan dalam nukilan Ummu Anas mengenai gadis penjual susu yang dikahwinkan dengan salah seorang anak Khalifah Umar yang Bernama Ashim yang kerananya lahir pula cahaya mata yang Bernama Laila Umi Ashim. Selanjutnya, dek kerana perkahwinan Laila Umi Ashim dan Abdul Aziz bin Marwan pula lahirlah Umar bin Abdul Aziz RA yang merupakan seorang pahlawan agama yang terkenal dengan ketakwaan yang tidak dapat diuji lagi. Begitulah buah ketakwaan dari gadis pejual susu yang solehah sehingga menjadi pemula kepada buah kelahiran dan generasi Rabbani yang turut cinta akan Allah s.w.t. Kisah dari bab empat karya ‘Bertuahnya wanita yang bercinta’ ini disambung dengan kisah lain yang lain dari bab 10. Sosok Rabi’ah yang masyhur dek keilmuannya yang tinggi sehingga syarahannya menjadi sebutan dan sebaran di merata tempat adalah dilahirkan daripada rahim ibu mithali yang mengumpamakan signifikan ilmu seperti cahaya bulan purnama yang mengatasi cahaya-cahaya yang lain.

            Maka, beruntunglah period masa 28 tahun lamanya membesarkan Rabi’ah dan memanfaatkan sebanyak 30, 000 wang dinar yang dibekalkan oleh suaminya demi menjadikan Rabi’ah seorang gadis yang bertakung dalam dadanya dengan ilmu  yang membawa kebaikan kepada semesta alam. Berarak sudah awan mendung yang menyuramkan hati ibu Rabi’ah kerana khawatir akan dimarahi oleh suaminya, bahkan suaminya turut melunakkan pengertian yang murni terhadap peribadi ibu Rabi’ah lantaran memanfaatkan saku wang dengan menggilap anak mereka menjadi sabik-baik manusia. Demikianlah akhlak yang wajar diserlahkan oleh seorang ibu persis ibu Rabi’ah dan ayahnya Abu Abdur  Rahman yang mengejar pahala berlipat ganda daripada Allah s.w.t di atas landasan ilmu.

            Pada saya, karya ‘Bertuahnya wanita yang bercinta’ ini bukanlah buat para wanita sahaja, bukan juga buat orang dewasa kerana laras bahasa yang dipenakan oleh penulis adalah berkadar sederhana dan mampu dihadam oleh orang awam khususnya. Tambahan pula, jantina lelaki turut mendamba cinta di dunia dan akan menjadi insan bertuah andai direzekikan untuk mencintai dan dicintai semula. Justeru, buku inilah sajian buat kita dan semua yang ingin dicintai tetapi terlebih dahulu perlu mengakui untuk mencintai. Baik pria mahupun juita, sugul tanpa cinta buat sesiapa sama saja seperti menyahkan kebebasan berbahagia dan menolak tuah dalam kehidupan. Beranikahkah kita untuk menyita cinta Pencipta dengan mencipta helah kemalasan untuk tidak berbuat apa-apa agar dicintai kembali oleh Pencipta? Walhal ketika menadah tangan berdoa, kita mengaminkan untuk dimasukkan ke syurga ciptaan Pencipta? Renung-renungkanlah.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20