Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Bersama Niqab
Buat julung kalinya buku ‘Bersama Niqab’ kini diterbitkan khas kepada pembaca yang ingin lebih tahu mengenai amalan dan hukum menutup wajah. Semestinya naskhah ini memberi satu kelainan besar kerana ia berbentuk kajian ilmiah dan membangkitkan semula pendapat para ulama’ silam yang menyokong kewajipan berniqab.
Muhammad Izzat bin Wan Nor Anas anak kelahiran kota Bharu Kelantan. Mantan pelajar sekolah Menengah Ugama (Arab) Sullamiah Bunot Payong. Melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin di Universiti Mut’ah, Jordan selama 3 tahun dan kembali ke tanah Air pada tahun 2012. Buku Bersama Niqab merupakan karya beliau yang terkini dan terbaru. Cetakan pertama tahun 2019 dibawah penerbitan AlKutawi yang dikendalikan oleh penulis sendiri memuatkan 210 muka surat termasuk nota hujung dan diserikan lagi kata pengantar oleh Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman.
Ini bukan pertama kali anak muda berbakat ini memaku pena pada lembaran kertas, sebelumnya, beliau sudah pernah menghasilkan beberapa buku antaranya Jawapan Terbuka Dalam Polemik Hukum Wanita Menutup Muka dan Seruling Syaitan. Dengar khabar penulis sedang giat hendak mengeluarkan sebuah buku lagi dalam masa terdekat.
Secara jujurnya selepas bersengkang mata membaca buku ‘Bersama Niqab’ Saya mengira ini merupakan salah satu karya terbaik untuk dibaca bagi seorang muslimah. Selama penelitian, kandungan isi tersebut padat mengandungi fakta yang banyak merungkai persoalan dan jawapan.
Perkembangan ilmu semasa telah menenggelamkan pendapat berkenaan amalan menutup muka yang sebenarnya amalan ini juga merupakan budaya masyarakat Wanita Arab pada ketika dahulu. Dikalangan kontemporari yang turut tampil menyentuh amalan menutup muka termasuklah Syeikh Ali Jum’ah, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Sa’id Ramadan Al-Buti, Syeikh Nasiruddin al-albani, Syeikh Mustafa al-‘Adawi dan ramai lagi.
Kepada wanita-wanita pencinta ilmu 3 sebab mengapa buku ini perlu menjadi pilihan:
•Sebagaimana bani melayu memahami Niqab, Jilbab, Khimar, Cadar, membawa maksud yang berbeza-beza, dalam Naskhah ini sebetulnya ia membawa pengertian hampir kepada menutup muka.
•Sejarah dan Tamadun, Riwayat shahih serta Ulasan menutup muka di era mutaqaddimin menunjukkan adanya pensyariatan berniqab.
•Perbahasan Ulama’ Mazhab mengenai kewajipan berniqab turut dihadirkan sebagai perbandingan pembaca.
Dalam mencari kebenaran perlu ada kemahuan melakukan perubahan. Baik pada mereka yang berniqab atau sebaliknya. Sekali gus menegur tingkah laku kurang sopan sebahagian Niqabis yang sepatutnya perlu disembunyikan. Mereka telah membahankan Niqab sebagai wadah dakwah. Menyulaminya dengan tabarruj, solekan mata yang membangkit syahwat. Sama ada dilakukan kerana kejahilan atau kebenaran yang tidak boleh diterima.
Kebingungan wanita berhijab dek kerana terlalu banyak himpunan fatwa yang berlegar disadurkan kritikan supaya boleh diberi pertimbangan. Jadikan karya emas ini sebagai satu platform mencambah buah fikiran, teguran ilmiah, kelak melahirkan wanita islam sebenar dan mempertahankan Niqab logo kehormatan bukan trend ataupun fesyen yang diperagakan.
Mengakhiri ulasan ringkas ini, marilah menghayati keindahan kata-kata Imam al-Sayuti yang tertera pada halaman 101 dalam buku ‘Bersama Niqab’,
‘Wanita yang mempunyai jiwa yang sejahtera ialah wanita yang terpelihara, beragama.. Ia tidak mendedahkan mukanya selain untuk suaminya, tidak melunakkan kata-katanya selain kepada keluarganya…’
Bagi yang mahu melakukan pesanan, buku ini boleh didapati dengan terus melayari halaman facebook Bersama Niqab & Penerbitan Al-Kutawi atau melalui facebook beliau Muhammad Izzat al-Kutawi.
Mari manfaatkan karya anak-anak muda yang banyak memberi sumbangan ilmu di tanah air kita.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca