Ulasan Buku : Bersama Niqab

Satu isu yang tidak asing lagi untuk dibahas dan dibincangkan dikalangan umum. Sejak akhir-akhir ini, ramai wanita muslimah memilih untuk berniqab, sehingga mencetuskan fenomena baharu dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada kalangan masyarakat.

Tepat pada masanya, buku ini tampil menjelaskan maksud, sejarah, dan pelbagai persoalan mengenai niqab, disamping mempertahankan pensyariatan amalan menutup muka, buku ini juga menampilkan pelbagai perubahan dan pembaharuan, penemuan baharu yang pastinya mengubah persepsi sedia ada.

Hari ini, ramai wanita islam yang kembali mengamalkan amalan menutup muka. Namun, kebanyakan mereka tidak memahami dengan baik falsafah disebalik amalan ini. Malah, ramai yang memesongkan maksud sebenar amalan berniqab dengan menjadikannya fesyen dan trend semata-mata.

Sebenarnya, niqab bukan sesuatu yang baharu. Niqab sudah menjadi budaya wanita islam lebih daripada seribu tahun lamanya, sebelum pensyariatannya dicabar oleh segelintir umat islam sendiri pada awal kurun ke-20, yang berakhir dengan pemencilan dan penyebaran cara pemakaian yang bercanggah dengan syariat. Niqab yang menjadi amalan wanita sejak zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassallam tiba-tiba menjadi asing di kebanyakan tempat, sebelum mengalami kebangkitan semula di kebanyakan negara umat islam. Namun ianya tidaklah menggembirakan kerana diasak hebat oleh ancaman liberalisasi dan globalisasi.

Isu niqab ini menjadi rumit kerana ia dipertikaikan dan ditolak baik secara terangan-terangan atau secara berlapik oleh sebilangan ahli agama tersohor masa kini. Tidak dinafikan bahawa pendapat yang tidak mewajibkan wanita menutup muka dan pelbagai masalah khilaf yang lain, hukum berniqab juga dibahaskan oleh alim-ulama sejak zaman mutaqaddimin.

Polemik mengenai hukum niqab tercetus secara besar-besaran di negara-negara umat islam pada awal kurun ke-20 M yang berpusat di mesir. Gerakan tahrir al-mar’ah mengunakan pelbagai cara, mereka bahkan mempromosikan pandangan ulama yang tidak mewajibkan niqab, bukan untuk menyatakan hakikat hukum, tetapi supaya wanita islam meninggalkan niqab (dan kemudiannya, tudung). Wanita islam dikempen agar menanggalkan niqab yang menjadi pakaian sejak zaman-berzaman kerana kononnya niqab mengongkong pergerakan wanita dan seterusnya menjadi punca kemunduran umat islam. Niqab bukan mahu dianggap sunat seperti kata ulama yang tidak mewajibkan, bahkan ingin dilihat hanya sebagai adat Arab atau budaya Turki Uthmaniyyah yang diteruskan secara taklid.

Selain membawakan pandangan 4 mazhab mengenai pensyariatan niqab, penulis juga menerangkan secara terperinci maksud niqab, dan bilakah sejarah niqab bermula, apa yang menarik minat saya adalah penulis membentangkan sejarah berkenaan wanita melayu pada kurun ke-19 mengamalkan berkelubung (menutup muka). Suatu ilmu baharu bagi saya dapat mengetauhi sejarah ini, sebelum ini saya  pernah membaca pembahasan tentang niqab karangan Syaikh Al-Albani pada tahun 2014 yang lalu, namun buku tersebut tidaklah memuaskan hati saya kerana penjelasan yang cukup ringkas dan terhad, bagi saya buku ini membahas secara meluas dan mendalam diikuti dengan nota kaki yang agak sarat sebagai rujukan pembaca.

Mungkin, bagi pemula buku ini agak sedikit berat untuk dihadam, namun nasihat saya bacalah secara berselang dan cari bab yang benar-benar ingin dibaca agar tidak mudah bosan kerana buku ilmiah ini sarat dengan dalil dan pandangan para ulama yang membutuhkan waktu untuk pembaca teliti dan fahami.

Biodata ringkas penulis :

Nama penuh beliau adalah Wan Muhammad Izzat bin Wan Nor Anas. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Menuntut ilmu di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Sullamiah Bunut Payong dan melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin di Universiti Mu’tah, Jordan selama tiga tahun. Selain buku “Bersama Niqab” beliau juga terkenal dengan buku “Seruling Syaitan”.

Buku ini berharga RM30 bagi Semenanjung Malaysia dan RM35 bagi Sabah/Sarawak dan RM15 bagi Singapura/Brunei. Boleh didapati di page facebook Penerbitan Alkurtawi.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47