Ulasan Buku : Berdamai Dengan Diri Sendiri

Tajuk : Berdamai Dengan Diri Sendiri

Penulis : Muthia Sayekti

Penerbit : Psikologi Corner

Cetakan : Pertama

Tahun : 2018

Muka Surat : 216

Jika dalam adab bersosial kita selalu diajar untuk menjaga hubungan dan berdamai dengan orang sekeliling, bagaimana pula dalam soal pengurusan diri? Pernahkah kita diajar untuk berdamai dengan diri sendiri? Ramai daripada kita tidak sedar bahawa konflik batin adalah permasalahan penting yang tidak boleh dipandang enteng. Demikianlah tujuan penulisan buku bergenre ‘self help’ ini tampil dipersembahkan kepada pembaca. Penulis berkongsi fikiran bagaimana kita perlu belajar menerima kekurangan diri dan berdamai dengan diri sendiri.

1) ‘Many times we are our worst enemy’ oleh Stephen Labossirre.

Sama ada kita sedar atau tidak, kita suka melakukan perkara yang menyakiti diri sendiri. Kadang-kadang, kita terlalu meratapi masa silam dan risau kepada perkara yang belum terjadi. Hari-hari kita pula disibukkan dengan melakukan perkara yang memuaskan hati orang lain sahaja. Kita juga menganggap kekurangan diri kita adalah penghalang untuk mencapai matlamat hidup dan itulah titik terakhir takdir yang tidak mampu kita ubah. Sampai satu tahap, kita rasa benci kepada diri sendiri kerana berasa tidak berguna. Kegagalan kita mengendalikan perasaan dan fikiran sebegini sering memakan diri sendiri. Lalu bagaimanakah caranya untuk berdamai dengan diri sendiri?

Saya suka kata-kata yang diambil oleh penulis daripada sasterawan Haruki Murakami yang berkata ‘ Sakit itu pasti, tetapi menderita itu pilihan’. Ini bermakna, semua perkara berbalik kepada cara kita memandang kenyataan. Setiap keputusan yang kita pilih hanya bergantung kepada diri kita,bukan orang lain. Kita sememangnya mempunyai pilihan sama ada hendak terus meyakiti diri atau ingin berubah ke arah yang lebih positif. Sesuai dengan firman Allah SWT juga dalam Al-Quran yang bermaksud, ‘Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka’ (surah Ar-Rad : 11). Oleh itu, ubahlah cara hidup kita,cara kita berfikir dan pilihlah untuk memberi keutamaan kepada diri kita terlebih dahulu dalam apa-apa perkara..

2) ‘ Be yourself because everybody is already taken’ oleh Mike Robbins

Dalam buku Mike Robbins yang bertajuk ‘Be Yourself’ menyatakan setiap manusia itu dilahirkan bersifat autentik, iaitu mempunyai kelebihan dan keunikan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Namun malangnya, hegemoni dan penilaian sosial masa kini secara perlahan-lahan telah membunuh karakter sebenar dan mengubur potensi diri seseorang. Malah, manusia sekarang suka meletakkan penanda aras bagi menentukan kejayaan seseorang.

Seperti contoh, meletakkan ciri-ciri seorang wanita cantik itu hendaklah mempunyai kulit yang cerah dan berbadan langsing. Jika begitu, adakah untuk menjadi cantik, wanita yang berkulit gelap dan gemuk perlu mengubah personaliti dirinya? Contoh lain pula, kita stereotaip melihat pelajar yang mengambil bidang sains mempunyai masa depan terjamin berbanding mereka yang belajar sastera. Akibatnya, pelajar berbakat dalam bidang sastera menguburkan minatnya dengan terjun ke bidang yang dia sendiri tidak pasti mampu menjanjikan masa depannya atau pun tidak.

Menurut Pramoedya Ananta Toer, pola fikiran begini adalah pemikiran yang tidak adil. Ia mendorong seseorang itu hilang keyakinan diri dan serta terpaksa berpura-pura menjadi orang lain. Dalam terma psikologi mereka ini dikatakan ‘inferiority complex’, iaitu bersikap tidak mahu berbeza dengan orang lain kerana paranoid akan penilaian masyarakat. Sedangkan menjadi unik dan berbeza itu adalah sebagai ‘trademark’ kita menonjolkan identiti diri. Jika kita fikir semula, adakah kita sudah memang menjadi diri sendiri atau menjadi diri yang orang sekeliling mahukan?

3) ‘Too much happiness will decrease your life quality’ oleh Muthia Sayekti

Cuba bayangkan jika hidup kita ditakdirkan hanya merasakan bahagia selama-lamanya, bukankah ia sesuatu yang membosankan? Bolehkah kita faham erti bahagia jika sepanjang hidup kita tidak pernah diuji? Saya teringat kepada sebuah filem kartun ‘Smallfoot’,  di mana dialog yang paling tidak saya lupa dalam filem tersebut ialah ‘Happiness is Ignorance’. Ya, boleh jadi kebahagiaan itu menjadikan kita naif dan tidak mengetahui apa-apa tentang makna hidup. Kita tidak mempunyai pengalaman untuk mengekspresikan perasaan betapa peritnya mengalami kegagalan,kekecewaan dan kehilangan sesuatu di dalam hidup kita kerana kita sudah terlalu bahagia. Bahkan, mungkin perjalanan hidup kita tiada kemajuan dan hanya statik sahaja.

Oleh kerana secara fitrahnya sifat manusia itu sentiasa tergesa-gesa dan mudah lupa , maka Allah SWT sentiasa menguji kita. Sudah terhantuk baru terngadah, barulah kita mula insaf dan mengambil pengajaran. Justeru, sudah tentu ujian itu mengingatkan kita bahawa tiada tempat pengharapan dan kebergantungan lain yang harus kita letakkan selain daripada Allah SWT yang Maha Kuasa. Jika kita sedar hakikat ini, kita akan kurang mengeluh dan tidak mempertikaikan setiap perkara baik atau buruk yang terjadi. Pendekatan rohani sangat memainkan peranan agar kita sentiasa melatih sifat bersabar dan serta merta kita mampu berdamai dengan diri sendiri.

Terdapat banyak lagi ‘keypoint’ yang dibincangkan dan ini hanya beberapa isi penting yang mampu saya utarakan. Di akhir buku penulis menyatakan sehebat apapun cara penyampaian beliau tentang buku ini, ia tetap tidak membantu apa-apa jika seseorang itu tidak mempunyai tekad untuk mengubah dirinya. Mungkin buku ini tidak segempak buku ‘self help’ yang lain, tetapi bagi saya cukup untuk membuat pembaca ‘triggered’ dengan satu perkara, iaitu belajar menerima kekurangan diri.

Walaubagaimanapun, sebagai cadangan penambahbaikan saya berharap buku ini akan menerbitkan cetakan terbaru. Cetakan pertama yang saya miliki sekarang menggunakan kulit kertas lama yang terlalu nipis, penggunaan ‘font style’ dan warna yang tidak sesuai seperti warna kuning. Selain itu buku ini disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Indonesia, jadi terdapat beberapa perkataan yang sukar difahami. Namun ia bukanlah masalah besar untuk tidak memahami setiap kandungan yang penulis cuba kongsikan.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Maisaratul
Maisaratul

Watashi no namae wa 'Shiawase' desu

Articles: 3