Ulasan Buku : Batu Bata Kehidupan

Buku ini diberi tajuk “Batu Bata Kehidupan” hasil nukilan Hilal Asyraff dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. Tatkala kali pertama memandang muka depan buku ini, saya kaku. Pelbagai persoalan singgah di minda. Buku ini disenaraikan sebagai sebuah buku tarbiah rohani, nah apa pula hubungkait batu bata dengan tarbiah? Bukankah batu bata ini sejenis bahan dalam seni bina? Ternyata batu bata yang dimaksudkan oleh penulis adalah tiga mauduk utama yang menjadi bahan binaan penting dalam struktur bangunan kehidupan setiap insan. Jagatraya sedia maklum, tiada satu pun gergasi konkrit dapat berdiri dengan gah tanpa adanya bahan binaan yang kukuh. Begitu juga bangunan kehidupan ini yang sering saja terumbang ambing.

Salah satu mauduk yang diketengahkan oleh penulis adalah Allah SWT. Penulis menyebut sesungguhnya, Allah SWT itu Maha Kaya dan Dia tidak pernah rugi sekiranya kita ingkar terhadap perintahNya. Saya amat terkesan dengan sebaris ayat yang menyebut “Allah tidak menjadi lebih besar dengan ketundukan manusia kepada-Nya, juga tidak menjadi lebih kecil dengan keingkaran manusia kepada-Nya”. Justeru, manusia itulah yang hakikatnya menjadi mulia apabila sujud kepada Allah SWT dan menjadi hina apabila meninggalkan-Nya. Allah SWT berfirman :

“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji”, (14 ; 8)

Menerusi buku ini, penulis menyedarkan kita betapa ruginya manusia sekiranya terus lalai dengan dosa dan materi duniawi. Saya bersetuju dengan penulis bahawa ramai daripada kita hari ini telah menjadi pengkhianat termasuklah saya sendiri. Kita mengambil kesempatan atas keampunan Allah SWT yang luas, lalu kita berulangkali membuat dosa dan kemaksiatan. Tidak cukup dengan itu, kita juga seringkali lupa bahawa dunia ini bersifat temporari, akhirat jualah yang bersifat hakiki.

Kesimpulannya, pengakhiran hidup ini adalah syurga atau neraka. Sejahtera atau celaka. Buku ini membawa mesej sekiranya kita masih leka dibuai materi, enggan membuat koreksi diri, bersedialah untuk rugi. Namun, jika kita memandang akhirat yang hakiki sebagai tempat kembali, ayuh rancang dengan teliti. Pilih sejahtera yang abadi.

Diulas oleh :  Nur Alyanie Abdul Majid  


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Alyanie Abdul Majid
Nur Alyanie Abdul Majid
Articles: 2