Ulasan Buku : Bani Produk Sampah Meh Sini Nak Bagitau

“… kita ni kena lengkapkan diri dengan ilmu bab produk yang berlambak dijual di media sosial ni. Supaya kita tak mudah jatuh tersembam dek tipu daya bani produk sampah yang sangat jahat. Sebab mereka hanya nak duit kita.”

Bani Produk Sampah Meh Sini Nak Bagitau ialah buku sulung Dr. Rusyainie Ramli atau panggilan mesranya Dr. Ninie. Saya adalah salah seorang yang ternanti-nanti kemunculan buku beliau sejak pertama kali beliau membuat hebahan tentang buku pertamanya. Laman Facebook beliau saya memang tandakan “See First” sejak pertama kali mengikuti beliau. Sejurus sahaja beliau membuka tempahan, saya terus membuat tempahan melalui Dr. Ninie. Saya mahu dapatkan tandatangannya sekali !

Tetapi tidak berjaya. Mesej saya mungkin telah terbenam dalam ratusan pesanan yang masuk ke akaun beliau dan ketika itu saya pula tiada dalam senarai kenalan Facebook beliau. Tambahan lagi, beliau seorang yang sibuk, tidak sempat untuk membuka setiap pesanan. Tidak mengapa, isi kandungan buku lebih penting daripada tandatangan. Jadi, saya membeli buku Dr. Ninie melalui bookcafe.com.my.

Buku yang diterbitkan oleh Puteh Press ini mempunyai 247 muka surat bersama 61 topik di dalamnya. Buku ini memuatkan tulisan-tulisan Dr. Ninie di laman Facebook beliau yang konsisten dan tegas memerangi jualan produk kesihatan dan kecantikan yang tidak beretika di pasaran. Tidak kiralah pengasas produk itu artis, ustaz, ustazah, dato’ atau datin, kalau menjual produk yang salah tetap salah.

Bani Produk Sampah Meh Sini Nak Bagitau, sebuah buku pencerahan kepada netizen tentang lambakan produk kesihatan dan kecantikan pada masa ini. Ianya mesra masyarakat awam walaupun berkaitan perubatan. Bahasanya mudah difahami, struktur ayatnya jelas serta muka suratnya bergambar, berwarna dan berpeta minda.

Sesiapa yang sering mengikuti tulisan Dr. Ninie di laman Facebook beliau pasti sudah memahami maksud terma “produk sampah” yang digunakan oleh beliau. Produk sampah disinonimkan kepada produk-produk yang tidak berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi produk kesihatan dan produk yang menjanjikan kesembuhan untuk pelbagai penyakit (overclaim).

“Kalau mereka cakap produk mereka tu boleh buat macam-macam, mereka itulah yang tergolong dalam BANI PRODUK SAMPAH.”

Buku ini memberitahu cara mengenali produk sampah, perincian dan maksud nombor MAL pada produk kesihatan dan maksud nombor NOT pada produk kosmetik. Produk yang berdaftar dengan KKM akan mempunyai nombor MAL dan produk ini hanya untuk menjaga kesihatan secara am sahaja, tidak boleh mendakwa dapat merawat pelbagai penyakit. Ia salah di sisi undang-undang. Nombor NOT pada kosmetik pula bukanlah kelulusan KKM seperti yang dibanggakan oleh pengasas produk.

“Ia hanyalah NOTIFIKASI oleh pengasas produk kepada  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang mengatakan produk itu tidak mengandungi bahan terlarang.”

Seterusnya, buku ini mendedahkan beberapa jenis bahan terlarang yang sering digunakan dalam produk sampah secara licik dan kesannya terhadap pengguna. Ia mungkin nampak berkesan pada mulanya atau secara luarannya tetapi kesan sampingan disebabkan oleh bahan terlarang tersebut dalam jangka masa pendek atau panjang tidak siapa yang tahu.

Buku ini juga menerangkan tentang ketidakperluan mengambil sebarang suplemen dalam kehidupan seharian dengan alasan untuk lebih sihat. Apa yang perlu hanyalah mengamalkan gaya hidup yang sihat sahaja, iaitu makan mengikut Pinggan Sihat Malaysia (suku karbohidrat, suku protein, separuh sayur-sayuran dan buah-buahan), bersenam 150 minit seminggu, tidak merokok dan mengawal berat badan; jisim indeks tubuh mesti 18-23.

“Tak ada ubat nak kurus – kalau ada, saya beli dulu.

Tak ada jus nak cantik – kalau ada, saya dah lama rupa macam Neelofa.

Tak ada pil nak sihat – makan macam tu punya sedap, tanggung sendirilah akibatnya. Merokok dah kalah cerobong asap, pakai gelang magnet pun tak guna.

Tak ada jamu nak kuat dan ketat – nak buat hubungan kelamin 3x sehari.”

Banyak lagi yang dibincangkan dalam buku ini seperti ciri-ciri mekap tiruan berserta kandungannya, tipu daya testimoni, taktik kotor bani produk sampah, jenis-jenis penyakit kronik yang tidak boleh diiklankan dan lain-lain lagi yang pastinya membuka pintu kesedaran kepada netizen yang sudah terjebak, semoga berhenti. Yang belum terjebak, berhati-hati.

Sebagai kesimpulan, buku ini sangat sangatlah saya sarankan kepada setiap lelaki dan perempuan yang sedang mendewasa supaya tidak terjerat dengan produk sampah. Jagalah kesihatan sebaiknya dari muda dengan ilmu sebetulnya. Bagi yang sudah berpasangan, eloknya buku ini dibaca bersama pasangan masing-masing supaya kedua-duanya mempunyai pengetahuan dalam hal ini. Para ibu juga dijemput untuk membaca buku ini agar tidak membuat kesilapan seperti ramai ibu yang memberi produk sampah kepada anak-anak mereka. Intinya, semua harus membaca buku ini !

Boleh dapatkan buku ini di sini.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22