Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Bagasi ke Eropah
Judul: Bagasi Ke Eropah.
Penulis: Birsilah Bakar.
Penerbit: Lipur Lara Enterprise.
Tahun Penerbitan: 2017.
Cetakan: Pertama.
Jumlah Halaman: 303.
“Eksplorasi dan trilogi. Realiti dan fantasi yang berkombinasi menjadi memori”.
Suka saya buka dengan kata-kata yang membawa kepada asumsi bagi naskhah ini, yakni sebuah pengembaraan di negara Eropah. Karya setebal 303 halaman sememangnya agak panjang, namun secangkir kopi panas di birai jendela akan mengasyikkan pembacaan pembaca. Komentar paling menarik usai menokhtahi fiksyen ini adalah pada setiap perhentian yang disinggahi oleh watak Delila atau panggilannya Del, tentunya ia menyampaikan mesej berguna bagi seorang pengembara solo di bumi asing Eropah. Namun demikian, dari aspek penyusunan plot cerita, penulis telah menjentik kekeliruan bagi setiap bab baru yang dimasuki oleh pembaca. Buktinya, penulis telah menukar arah bab secara serta merta. Tamsilannya, sedang leka pembaca berjalan-jalan di Barcelona, sebuah kota yang dipuja-puja oleh manusia, penulis telah menyentap pembaca ke zaman persekolahannya tanpa sebarang signal.
Sadis namun membantu pembaca untuk lebih tangkas merumus situasi yang berlaku, meskipun dalam kondisi minda separuh cerna. Dalam keralitan menelusuri fasa beruniform sekolah, penulis mengejutkan pembaca dengan menyedarkan pembaca bahawa pembaca telah merentasi banjaran Pyrenees! Puncak penuh salji dan lereng curam batu granit hitam tentunya mengagumkan walaupun hanya menjelma dalam imaginasi. Oleh yang demikian, aspek penyusunan bab haruslah lebih sistematik demi memudahkan pembaca memahami kronologi setiap bab sehinggalah tamat. Itu sahaja cadangan penambahbaikan bagi sebuah naskhah travelog agar sentiasa digemari oleh sesiapa sahaja meskipun tidak cenderung kepada pelancongan di dunia yang nyata.
Berbalik kepada intipati karya, ia mengisahkan impian tiga sekawan yang ingin menjejaki dunia Eropah melalui tiket pelajaran. Karakter kenakalan yang dipamerkan oleh Del, Syafiqah dan Lenn terserlah apabila mereka bertiga secara curi-curi telah menceroboh perpustakaan sekolah hanya kerana ingin melengkapkan buka skrap cita-cita yang disepakati bersama. Berpegang kepada slogan, “Matlamat tidak menghalalkan cara”, maka perbuatan Del serta rakan-rakannya tetap salah kerana telah menggunting gambar-gambar monumen serta geografi di serata lokasi di Eropah tanpa kebenaran guru yang menyelia perpustakaan. Ternyata, hanya Del yang benar-benar nekad dengan visi yang ditampal di dalam buku skrap tersebut. Sedangkan Lenn dan Fiqah sekadar menanam tebu di bibir. Impaknya, inspirasi bertiga lebur atas faktor pilihan hidup yang berbeza. Lenn, seorang ibu dua anak dan isteri patuh dengan perkahwinan monogami bakal dipoligamikan oleh sang suami yang melarang Lenn dari terus menjadi seorang bibliofil. Manakala Fiqah pula dengan akal liciknya untuk hidup senang dengan menjadi ‘perempuan si pisau cukur’.
Del pula menongkah arus ke setiap hamparan peta yang terdampar dalam kerangka impiannya dengan diiringi bagasi yang setia mengikuti ke mana sahaja. Menurut Del, membingkaikan matahari yang terbenam di negara orang sungguh tenang. Apalagi dialog menghiburkan antara Del dengan seorang sederhana tua sewaktu Del menanyakan jalan kepadanya. Wanita sederhana tua kagum akan kefasihan orang Asia seperti Del yang bertutur dalam bahasa asing sehinggakan monolog Del sedikit mencuit hati pembaca. Apa tidaknya, Del membuat analogi sendiri, bahawa wanita tersebut membuat reaksi muka terpesona akan bait bicara Del kerana minda wanita itu masih lagi terperangkap dalam zaman Renaissance. Bukankah manusia Asia waktu itu masih bercawat dan tinggal di atas pokok?
Bukan itu sahaja, Del merupakan versi manusia yang gemar membuat andaian yang akhirnya menceriakan fikirannya sendiri. Begitu lah yang terjadi waktu Del menghadiri majlis hari jadi kenalan barunya Guilia dan Antonieta di Paris. Kenalan barunya meminta Del menggambarkan tempat asal Del melalui komunikasi. Sedangkan Del membuat sangkaan bahawa mereka ingin mengetahu perihal jenis-jenis ulat yang sesuai dibuat ulam dengan menyuakan pertanyaan bernada sopan. Di sini memperlihatkan elemen jenaka dalam bentuk ilmiah kerana penulis menggabungkan antara unsur kelakar dan ilmu sosio budaya secara serentak.
Sementelahan banyak lagi input sosialisasi yang dititipkan oleh penulis menerusi pengalaman Del dengan Poulo yang miang dan penahanan Del di jabatan imegresen tanpa alasan yang logik. Hujah penahanan yang tidak masuk akal sama dengan gelak sindiran Syafiqah terhadap impian Del yang baginya mustahil. Kata-kata Syafiqah yang menghunus sedih di hati Del ialah, hanya lelaki sahaja yang berpotensi mengelilingi dunia seorang diri. Si peludah kerap lupa bahawa jantina bukan jantan tidak bermakna sentiasa dalam sekatan atau hidup berjaga-jaga dalam ketakutan!
Justeru, jangan sia-siakan kesempatan waktu untuk membaca naskhah travelogi ini agar anda mampu bersiar-siar ke Eropah tanpa membawa bagasi pakaian, tetapi hanya berbekalkan bagasi pengetahuan! Apa tunggu lagi, jomm pai den-den (pergi jalan-jalan dalam bahasa Thai)!
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca