Ulasan Buku : Antara Banyak Sinar, Entah Mengapa Bulan Juga Menawan Pandang

Judul: Antara Banyak Sinar, Entah Mengapa Bulan Juga Menawan Pandang.

Penulis: Mohd Khair Ngadiron

Penerbit: Studio Anai-Anai

Tahun Penerbitan: 2018

Jumlah Halaman: 103

“Ketinggian engkau mencakar langit, hanya kerana akarmu jauh mencengkam bumi”-Taipei.

Bait puisi yang dilentera di bumi Taipei, bertanggal 1 November 2013 telah didiarikan oleh penulis dengan membawa makna yang sungguh tersirat. Berbekalkan 5 baris kata pada 1 halaman telah diterjemahkan oleh penulis agar pembaca tidak menunjalkan persoalan yang belum tentu betul hujung pangkalnya. Maksud puisi 5 baris ini ialah, insan yang berada di takhta yang teratas harus selalu ingat akan hamba di bawah. Pesanan kelaziman yang pada kelazimannya disebut oleh kebanyakan orang. Namun betapa ramaikah yang memahami, memahatkan pada lembah fikrah, dan seberapa kecilnya pula yang beramal dengan konsep kesaksamaan darjat ini? Manusia serupa pada warna rambutnya, tidak pula senada pada tona merah hatinya. Lantaran, jumlah wang dan pangkat telah menongkat kesombongan manusia sehinggakan mengira bahawa mereka bukan sahaja berjaya memegang gumpalan awan, malah mencakarnya garang. Walhal insan ke bawah yang ditoleh melalui ekor mata itulah tempat mula mereka berada.

            Nah! Hanya bermodalkan 5 baris dendangan pantun, pembaca mampu meleretkan asumsi dengan penilaian yang bervariasi. Sudah pantas puisi ini dimahkotakan sebagai bermutu intelek. Cukup rasa dan adunan yang bersebati dalam memberi teguran terhadap enagmen kemanusiaan yang kian kendur. Luasnya dimensi pandangan penulis kerana tidak lokek dalam memuatkan mutiara puisi nan puitis sebanyak 100 hitungan kesemuanya dalam 1 naskhah setebal 103 halaman sahaja. Maka telahan saya berkenaan judul karya terjawab jua. 9 perkataan bagi penamaan tajuk buku tentunya ditafsirkan panjang. Pelbagai keberangkalian yang wujud dalam menterjemahkan makna ‘Antara banyak sirna, entah mengapa bulan juga menawan pandang’. Sesiapa sahaja yang telah lunas membaca buku puisi ini memiliki autoriti dalam berpatisipasi bagi menerangkan makna judul berdasarkan kefahaman masing-masing. Begitu juga dengan saya.

            Pada hemat saya, maksud di sebalik nama buku ini ialah diambil cetusan idea daripada ‘bulan’ yang merupakan puncak inspirasi dalam menukangi nota-nota puisi. Cahaya daripada pantulan bulan ke pelusok bumi adalah secara semulajadi dan begitulah ciri-ciri puisi berdiri. Mandiri puisi tidak bertiang atau bertongkat, tetapi simfoni alam semesta lah memberi pesona kapada puisi. Berbeza pula dengan sinar yang ghalibnya datang daripada sumber yang dicipta seperti lampu kalimatang, tiada manusia tiadalah ia. Jika hadir pula tidaklah seikhlas bulan dalam merefleksikan terang. Ternyata unsur kaya bahasa dengan gabungan metafora dan hiperbola menyatu indah menerusi karya Mohd Khair ini.

            Bukan itu sahaja, penulis turut menerapkan elemen patriotisme melalui biasan sejarah yang dipuisikan begitu romantis. Pembaca boleh mengamati intipati puisi ‘Sesetia kasih Tuah’ yang terjerat antara persimpangan cinta pada Tun Teja dan kesetiaan yang berpaksi pada sang raja dan kerajaannya. Bagaimana pula dengan cinta Li Po yang memikat dan muslihat keperwiraan Tuah dengan Taming Sarinya? Sungguh saya katakana bahawa rangkap puisi yang dipenakan oleh penulis sarat imbuhan manfaat dengan seribu satu nasihat. Persis puisi ke 12 yang disubtopikkan dengan nama ‘Perjalanan V’. Puisi ini seakan travelog kerana penulis mencatatkan madah puisi tatkala dalam perjalanan ke Amman Jordan, Jurusalem, Masjidil Aqsa dan lain lokasi dalam unggahan sejarah Islam. Penulis mengajak pembaca merenung masa silam sewaktu runtuhnya Tembok Berlin, dan situasi emosi rakyat kala itu. Mengapa seluruh dunia bersorak riang? Rupanya dek kerana autokrasi  telah dibungkus dan demokrasi berkembang tegas.

            Akhirulkalam, saya selaku pembaca hanya berkongsi sisi kefahaman saya daripada halaman demi halaman puisi yang telah disajikan oleh penulis dalam bentuk sinopsis sahaja. Tentu saja aura puisi berkenaan tidak berupaya memancarkan sirna lurus terus ke hati pembaca sekalian,  melainkan nawaitu pembaca yang mengambil alternatif untuk membacanya sendiri. Andai ditanya mengapa memilih puisi buat julung-julung kalinya berbanding buku fiksyen dan buku muatan fakta yang lain, kerana kemerduan puisi dirasakan halus, lantas pembaca akan terperangkap dengan jaring kebeneningan yang diciptakan puisi hanya menerusi perkataan. Antara puisi yang saya pinjamkan buat tatapan pembaca berbunyi,

Teladan dari sejarah, Khalifah ditawar solat dalam gereja,

Tanda hormat kepada Baginda,

Namun ditolak penuh sopan,

Takut masa hadapan,

Gereja diroboh dan masjid didiri,

Begitulah Baginda hormat,

Moga kita meneladani hikmah,

Sejahtera seluruh ummah.

Selamat menjamu minda dan menitip bahagia dengan puisi!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20