Ulasan Buku : Anak Tanjung

Karya drama pertama yang benar-benar membangkitkan jiwa!

Noordin Hassan, Sasterawan Negara ketujuh banyak mengkehadapankan corak penulisan berbentuk drama. Ya, amat jarang sekali kita bertemu dengan sebuah drama yang dikaryakan dalam layar sastera, disulam tradisi dan moden, yang membawa satu mesej pembaharuan.

.

Dalam karyanya, Anak Tanjung, Noordin mengangkat tema kemerdekaan, yang bukan sahaja terhad kepada kemerdekaan negara, tetapi lebih kepada kemerdekaan jiwa.

.

Yang membuatkan saya tertarik dengan karya Noordin Hassan adalah teknik drama yang cuba dibawanya, iaitu teknik “drama dalam drama”. Teknik ini bukanlah mudah untuk digarap oleh mana-mana penggiat drama. Salah langkah, salahlah mesej yang akan disampaikan.

.

Dalam drama ini, ada beberapa inti berguna yang berjaya menarik perhatian saya:

1. Pak Noordin membawa watak Qadir, ketua bagi sebuah ajaran sesat, sebagai sebuah cerminan kepada masyarakat bahawa pengamalan nilai agama yang salah sudah mula mekar di negara kita. Jika kalian mengikuti penulisan Pak Noordin, kalian akan dapati beliau sangat mengangkat tema agama dalam mana-mana karyanya.

2. Pak Noordin membawa kita menyelami kisah dalam 4 zaman yang berbeza (zaman pemerintahan Inggeris, Jepun, Inggeris kembali dan kemerdekaan) melalui drama dalam dramanya iaitu “Dinding dan Pasung.”

3. “Dinding dan Pasung” berjaya membawa mesej yang berguna kepada pembaca, melalui watak-watak yang dikarang oleh Pak Noordin.

Contohnya, watak Hamzah, Sapura, Kudus dan Aman Syah yang teguh dengan pendiriannya untuk memerdekakan tanah air mereka, walaupun diuji dengan pelbagai ujian.

Watak Sir Sabur Syah, Badrul Syah dan Hamid yang merupakan duri dalam daging negara. Nama sahaja anak Melayu, tetapi bermuka-muka dengan penjajah untuk mendapat pangkat, harta dan cinta.

Watak Ah Heng yang bersaudara dengan berlainan bangsa, membuktikan warna kulit bukan penghalang untuk mencapai satu misi, kemerdekaan negara!

Kesemua watak-watak ini tidak lain tidak bukan untuk membuatkan kita menilai semula hala tuju, matlamat dan masa negara yang berbilang bangsa dan agama.

4. Pak Noordin membawa satu mesej yang amat jelas kepada kita, bahawa pentingnya kita mempunyai jiwa yang merdeka.

5. Pendirian tetap itu merupakan satu perkara yang mahal dan tidak boleh dijual beli oleh sesiapa.

.

Secara keseluruhan, saya merasakan karya ini benar-benar membawa saya menghayati setiap latar tempat dan watak yang dimainkan. Seperti berada di wayang! Setiap satunya membekas di jiwa.

Benarlah, Anak Tanjung itu adalah kita. Kita yang mempunyai jiwa merdeka dan diri yang utuh untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Selamat membaca! Teruskanlah meneroka dunia!😊


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhadah Ainin
Syuhadah Ainin
Articles: 2