Ulasan Buku : Anak Rantau

“Jalan mulia untuk keluar dari belenggu amarah dan dendam, iaitu jalan memaafkan, dan kalau bisa melupakan.”

Anak Rantau karya Ahmad Fuadi, penulis yang berasal dari sebuah kampung di Danau Maninjau, Indonesia. Ini buku A.Fuadi yang menulis secara solo yang pertama saya miliki.

Anak Rantau bukan mengisahkan orang dewasa dan bandar seperti kebanyakan buku lain dalam tema ini, sebaliknya tentang budak sekolah dan kehidupan di kampung. Watak budak sekolah itu ialah Hepi. Bukan perempuan tetapi lelaki. Nama penuhnya kelakar comel iaitu Donwori Behepi diambil dari tajuk lagu Don’t Worry Be Happy. Hepi seorang anak bandar Jakarta.

Perantauan Hepi di kampung halaman ayahnya iaitu Kampung Tanjung Durian bermula apabila dia ditinggalkan secara paksa sebagai hukuman kerana reputasi akademik dan kelakuan yang teruk. Kampung Tanjung Durian terletak berdekatan Danau Talago yang berlatarkan masyarakat Minangkabau.

Kemudian Hepi menyimpan marah dan bertekad akan pulang sendiri ke Jakarta. Sejak itu dia bersungguh-sungguh mengumpul wang untuk membeli tiket kapal terbang sendiri. Lalu bertemu Zen dan Attar, mereka  berkawan baik sehingga digelar sebagai pahlawan cilik kampung itu.

Kehadiran anak kota yang berani ini telah menghapus dua cerita tahyul yang sering dijadikan ugutan kepada anak-anak kampung yang nakal. Satu, tentang sarang jin Islam di kubah surau, yang akhirnya menjadi markas mereka tiga sekawan. Kedua, tentang Pandeka Luko yang dikatakan mengamalkan ilmu hitam, ternyata seorang pejuang negara yang tersisih, yang akhirnya telah mengajar Hepi untuk memaafkan dan melupakan segala dendam.

Selain itu, novel ini serba sedikit meluahkan tentang adat Minangkabau yang semakin dilupakan; kehidupan anak surau, belajar silat, belajar agama dan pepatah alam takambang jadi guru.

Bagi saya, buku ini berbaloi dimiliki. Berbaloi sebab ia telah mengajarkan saya sesuatu; memaafkan dan melupakan.

 

Nur Mustika Adriena
21 Januari 2018|Alor Setar


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22