Ulasan Buku : Anak Mat Lela Gila

Sebuah sastera klasik Melayu yang terbit sebelum PTM ditubuhkan iaitu pada tahun 1941. Diterbitkan semula oleh ITBM pada 2012, sedikit sebanyak memberi ‘flashback’ kepada pembaca pembaca yang ingin menyelami keadaan masyarakat sebelum merdeka.

Walaupun jalan ceritanya tentang kehidupan si Bulat, namun novel ini mengisahkan tentang anak bangsa Melayu secara tersirat.

Pertama sekali aku kagum dengan penggunaan latar tempat yang pelbagai. Penggunaan latar tempat seperti Bachok (tempat aku), Negeri Sembilan, Kuala Selangor, Klang, Morib, Port Dickson, KL, Cameron Highlands dan hingga Singapura. Macam siri jelajah Malaysia pula sepanjang pembacaan.

Novel ini mengisahkan pengalaman Si Bulat menempuh hidup dan menumpang kasih semenjak bayi daripada Mat Lela yg dituduh sebagai orang gila.

Pak Sako memberi perspektifnya mengenai maksud gila. Ada tiga menurutnya. Yang pertama, gila itu ialah perbuatan, kelakuan dan keadaan yang berlainan daripada lazim; yang bersalahan dengan adat kebiasaanyang menyalahi peraturan hidup dan ajaran agama, umpamanya seperti berjalan seorang itu di jalan raya, atau di tengah khalayak yang ramai – di tengah terang, keadaannya bertelanjang tiada berkain seurat benang pun. Maka itulah dikatakan perbuatan yang gila, tetapi sudah tentukah orang berkelakuan demikian itu gila?

Yang kedua, adapun gila itu ialah suatu jenis penyakit yang mengenai otak – kata tabib atau dukun atau doktor kita zaman sekarang. Orang yang kena penyakit itu hilang akalnya dan rosak fikirannya; tiada senonoh tingkah lakunya, tidak tentu budi pekertinya.

Yang ketiga, gila atau tidaknya seseorang itu atau perbuatannya tertakluk kepada keputusan orang ramai, kepada muafakat dan kata orang ramai. Jikalau kata tabib si anu itu tidak gila, tidak sakit atau rosak otaknya dan tiada akal fikirannya, tetapi orang ramai mengatakan gila, maka gilalah ia.

Pasti maksud yang ketiga inilah yang dilalui oleh Mat Lela. Bagaimana Mat Lela dikatakan gila kalau dia boleh mengasuh dan mendidik seorang anak?

Sekarang, antara nasihat daripada Mat Lela ialah, “itu duit-duit not yang kompeni buat akan menyebabkan banyak orang hilang akal langsung jadi gila-berkelahi antara satu sama lain dengan lain adik beradik, sekampung dan seagama.”

Tapi, budak budak yang mendengarnya itu hanya tertawa kerana melihat orang gila bercakap tentang gila. Naif sungguh masyarakat kita masa tu.

Lain daripada itu, aku suka babak ketika jiran Johari dan Permai sedang mengumpat berbunyi ” Saya nampak melalui tirai. Ada lubang sebesar jarum peniti di tirai. Memanglah saya tak nampak secara jelas tapi saya yakin Permai tu…” Kah! Makcik Bawang sudah pun wujud sebelum Malaysia ada Facebook lagi.

Kritikan sosial daripada zaman dulu hingga sekarang masih belum berubah sepenuhnya menjadikan novel ini seperti novel klasik kontemporari hinggalah kau membaca sejarah penulisnya pula, baru sedar, kita amat lambat untuk berubah atau boleh dikatakan tidak berubah pun.

Sakitnya tu disini itu benar-Cita Citata

#malaysiamembaca #bookstagram #bookconfession @goodreads #book #paksako #library #sastera

11 Julai 2019

Pautan tambahan : https://mehmetfezlioglu.wordpress.com/2019/07/17/ulasan-buku-anak-mat-lela-gila-karya-ishak-haji-muhammad-pak-sako/

nor

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Luqmannul Hakim
Muhammad Luqmannul Hakim
Articles: 1