Ulasan Buku : Allah Loves…

Ulasan Buku : Allah Loves…

Buku Allah Loves… tulisan Imam Omar Suleiman, terbitan Kube Publishing Ltd ini benar- benar mengajar saya di mana harus saya letakkan cinta yang paling agung. Kita seringkali mengejar cinta manusia walaupun lazimnya berakhir dengan kecewa. Barangkali kerana kita lupa bahawa terlalu banyak perkara yang Allah cintai dalam diri kita. Allah itu cintakan taubat, cintakan doa, cintakan kebaikan, keadilan, kesabaran, kekuatan dan banyak lagi. Apakah kita bisa menemukan perkara-perkara yang dicintai itu dalam diri kita? Nah, itu maknanya kita sudah berjaya meraih cinta yang Maha Agung! Tetapi kenapa kita masih berkira-kira untuk membalas cinta itu dan masih meletakkan pengaharapan pada manusia?

Baru sahaja menelaah Bab 1, saya hampir menitiskan air mata kerana penulis berjaya memberikan nafas dan semangat baru untuk kita pendosa, bahawa Allah itu ada, dan selalu ada. Dalam bab yang lain juga ada dinyatakan bahawa, ada ketikanya, kita merasa kecewa di saat kita meminta tolong daripada manusia berkali-kali sehingga mereka berasa jemu lalu menjauhkan diri daripada kita. Namun penulis tidak henti-henti lagi memberi pujukan pada hati, katanya yang Allah itu malah lagi suka hambanya yang sentiasa meminta-minta! Dia suka mendengar suara kita, Dia suka kita meminta dan berharap pada-Nya. Bukankah itu suatu rahmat?

Apabila kita mula merasakan yang impian kita sukar dicapai, penulis hadirkan dengan kata-kata yang cukup indah, bahawasanya setiap kali Allah membuka ikatan di lidah kita dan membenarkan kita untuk meminta sesuatu, ketahuilah bahawa Allah itu memang hendak memberikan apa yang kita minta dalam cara yang terbaik, dan jawapan yang paling indah itu adalah apabila kita menjadi semakin dekat dengan Allah. Dan Allah tidak akan membenarkan lidah kita untuk meminta sesuatu melainkan kerana Dia ingin memakbulkannya.

Maka, raihlah cinta Allah. Sematkan dalam jiwa bahawa Allah itu terlalu mencintai kita. Ketahuilah bahawa apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan menyuruh Jibril mencintainya juga. Dan Jibril akan menyuruh seluruh malaikat untuk mencintainya juga, lalu para penghuni syurga juga akan mencintainya. Kemudian Allah akan campakkan rasa cinta dan penerimaan itu dalam hati penduduk bumi pula dan menyebabkan mereka cintakan orang itu atas sebab cintanya pada Allah. Sungguh, adakah perkara yang lebih baik dari itu?

 🌸🌸🌸

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ

“….Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.” (Al-Baqarah: 186)

 🌸🌸🌸

Secara keseluruhannya, buku ini sangat bermakna bagi saya dan buku ini juga sudah menjadi antara bacaan terbaik saya pada tahun ini. Susunan kata yang digunakan sangat menusuk ke dalam jiwa dan saya betul-betul merasakan ketenangan apabila membaca buku ini. Yang lebih menyentuh hati saya ialah, pada setiap akhir bab, penulis berdoa agar kita sama-sama menjadi orang yang mempunyai sifat yang dicintai Allah.

Buat yang masih ragu-ragu akan sebanyak mana cinta yang mampu kamu raih daripada Allah, yang masih mencari jalan untuk meraih cinta Allah, bacalah buku ini dan kamu akan merasakan bahawa tiadalah yang lebih layak untuk kamu berikan sepenuh hati kamu, tetapi hanya Allah. Hanyalah Allah. Buku ini banyak mengajarkan cara untuk menjadi seorang hamba yang layak mendapat cinta agung daripada penciptanya.

Selamat membaca! <3


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca