Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi
“Buku terbukti sebagai ‘pembunuh masa yang efektif’ dan mahkluk yang bernyawa meskipun tidak berjasad, lantaran kemampuannya memberikan pelbagai reaksi mengikut perasaan pembaca pada sesuatu masa. Ragamnya melahirkan aneka intonasi hingga pembaca mampu ketawa, keliru, menangis malah tenggalam dalam dunia pesona buku tanpa kita menyedarinya. Bertemankan buku umpama pendamping yang akrab dan tidak akan meninggalkan kita. Sementelahan manusia adalah ciptaan yang datang dan pergi”-Iman Danial Hakim.
Karya Iman Danial Hakim yang berjudul “Aku Ingin Membaca 1000 Tahun Lagi”, terbitan Jejak tarbiah Publication (2018) dengan halaman sebanyak 127 muka surat merupakan naskhah bergenre bibliofil yang disusun baik secara berkelompok. 4 kelompok terhimpun dalam sebuah buku yang mana merangkumi variasi cara dalam penyampaian seperti selintas layang mengenai sejarah penulis dalam dunia buku, detik-detik travelong sang penulis, lantera pengalaman penulis, dan pada sekian banyak kelompok yang lain pula berkisar tentang ulasan –ulasan penulis terhadap wadah-wadah ilmu dan karya agung penulis yang lain.
Berindukkan 4 kelompok dengan 24 cabang tajuk secara keseluruhan secara signifikannya telah membantu pembaca sewaktu belayar dalam lautan intipati makna sebelum sampai ke pelabuhan nokhtah yang terakhir. Bab pertama dinamakan sebagaimana judul pada kulit buku itu sendiri, “Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi” telah menaungi 6 tajuk kecil dan antara yang paling memberi aura suntikan semangat agar obor membaca kian menyala dalam benak diri saya adalah tajuk “Dosa Seorang Tsundoku Terhadap Buku”. Bab ini seolah-olah memberi sindiran mengenai tingginya tumpuan berbelanja buku, namun tumpulnya tumpuan menelaah buku. Ternyata input keinsafan turut disisipkan kepada pembaca.
Secara tuntasnya, buku ini saya umpamakan sebagai lembaran sinar yang berperi penting sebagai keperluan menyubur dan memastikan keghairahan membaca sebagai wadah melestarikan jati diri anak nusa agar kian bergemerlapan. Saya yakin bahawa pengisian buku ini mampu mengubah seorang insan sedari suram dan sepi saat terpandang himpunan buku kepada seorang ulat buku yang begitu obsesi dengan buku, namun bukanlah sekadar bersifat tsudoku. Selain itu, bab kedua dibawah tajuk wacana dan kembara buku berjaya menjelmakan demensi baru bagi sisi seorang penggemar buku, yakni seumpama vice versa. Tujahan ramai yang telah mensinonimkan ulat buku sebagai individu yang seperti ‘pegun dengan buku-bukunya’ atau ‘kelekaan yang lama tanpa berlibur’ dapat ditangkis sama sekali. Walhal menjadi peminat tegar buku telah berupaya membantu seseorang untuk menghayung langkah lebih jauh lagi dalam menjejaki perihal tentang buku secara lebih realistik.
Bab ketiga dan keempat pula mengupas tentang pandangan penulis terhadap karya-karya yang berjaya mencuri masanya selain turut mengetengahkan polemik kritis mengenai buku-buku hebat penulis yang masyhur seperti Hamka, Subky Abdul Latif dan Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Pada hemat saya, penulis berjaya membawa suatu bentuk pengislahan dalam dunia pembacaan yang mana pembaca bukan sekadar menghayati bait-bait ilmu yang dinukilkan bahkan seolah-olah berada dalam situasi ketenangan, kedamaian dan konteks berfikir yang cuba digemblengkan dengan sebati. Sebagai tamsilannya, penulis mencoretkan penilaiannya berkaitan buku bertajuk “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijik” karya Hamka dengan naratif yang mengagumkan kerana bukan sekadar mendendangkan perspektif cinta yang penuh magis dan melankolik, bahkan mengajarkan kepada kita acara berdamai dengan takdir dan prakarsa efektif dalam mengunggah jiwa yang lara agar bangkit demi maruah diri yang tercalar.
Epilog risensi ini diakhiri dengan saranan kepada serata pengambara di alam fana ini untuk melapangkan dada dan waktu demi menghadamkan karya bibliofil ini kerana saya amat meyakini bahawa isi buku ini akan menyumbangkan kemaslahatan yang banyak kepada pembaca. Tentunya akan terentang semangat yang berkobar-kobar untuk mencontohi Aishah Ghani yang berjiwa besar, sebagaimana yang diulas oleh penulis bagi karya Ibu Melayu Mengelilingi Dunia. Penulisan Aishah Ghani menjadi penting sebagai khazanah catatan kembara yang tidak ternilai dan begitulah sewajarnya kita semua. Konklusinya, semoga orang ramai menyambut salam cinta buku daripada karya Iman Danial ini, sekali gus naskhah yang multiilmu seperti ini berjaya menghadirkan minat pembaca terhadap langgam bahasa yang berseni nan indah daripada karya penulis-penulis lokal yang lain. Saya akhiri dengan serangkap kata, dedaunan yang jatuh ke bumi tidak pernah menyalahkan angin begitu lah buku-bukuan yang ditinggalkan jauh tidak pernah melupakan kita. Rintislah kembali minat yang hilang kerana hanya buku yang berkuasa menghenyakkan kita untuk duduk dalam luangan masa yang penuh bererti.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca