Ulasan Buku : Aku Dijangkiti Kehidupan

Judul buku Aku Dijangkiti Kehidupan adalah kumpulan anekdot para pesakit yang berkongsi cerita dan perjuangan sepanjang mendapat penyakit mental sehinggalah melawannya. Mengandungi 208 muka surat, cetakan pertama Jan 2020 dibawah terbitan Kata-Pilar.

Buku ini turut terdiri kisah para psikiatri yang berkongsi rasa suka dan duka selama mengendalikan pesakit-pesakit mental. Sebagai buku medik yang laris dan mendapat nama di pasaran, kandungan halaman juga dilengkapi ilustrasi, pamplet psikiatri, klinik mini dan kota jargon untuk rujukan tambahan.

Dalam buku ini hanya memuatkan 4 kes sahaja. Bermakna, cuma 4 kes daripada 4 individu diabadikan kisah penuh mereka. Selainnya, ringkas sahaja. 4 Individu tersebut ialah :

1. Faris Nazrin.

Beliau merupakan penghidap Skizoaffective Disorder. Ia merupai seperti orang yang kerap berhalusinasi dan delusi. Kisah beliau bermula apabila sering dibuli dibangku sekolah dan menyebabkan beliau berasa terpukul hingga dihasut oleh suara halus dua individu yakni Hatred dan Alana.

2. Hidayu.

Seorang gadis berasal dari perkampungan FELDA. sewaktu di alam persekolahan dia adalah gadis yang popular kerana sering gagal dalam peperiksaan. Hidayu mengalami MDD (Mental Depressive Disorder). Dia beranggapan bahawa dia menjadi punca atas kematian adiknya, Amin.

3. Khairul Khairuddin.

Penghidap OCD atau Obsessive Compulsive Disorder. Sejenis kelompok individu yang amat benci pada kekotoran. Beliau memiliki tabiat suka membawa sabun kemana-mana. Sangat alergic pada kekotoran hingga terkadang resah dan disambar panic attack. Rupanya ia adalah sejenis penyakit OCD tanpa kita ketahui secara tidak sedar.

4. Dura Ain.

Seorang pelajar universiti kerap tertekan kerana sering berasa bersalah dan menjadi punca berbalahan pada kawan-kawannya. Dia juga pernah mencederakan diri berkali-berkali dengan melukakan tangan hingga menjerumuskan dirinya kearah penyakit Bipolar Disorder.

Mereka dalam golongan yang sama. Tetapi dalam situasi dan keadaan yang tidak sama. Emosi berupa warna. Depresi menghanyutkan nyawa. Keempat-empat mereka cuba mendapatkan rawatan daripada Hospital dan dibekalkan ubat seperti anti-psikotik. Namun, ada yang beransur sembuh dan ada juga masih belajar menerima kenyataan.

Selain 4 pesakit yang disebutkan, terdapat ramai lagi pesakit dibawah rawatan para psikiatri. Antaranya Dr. Zul Azlin merawat pesakit ganja. Dr. Mohd Hazreen merawat pesakit mania, iaitu Mak Cik Salmah dan ramai lagi.

Aneh, dan mistik. Terkadang bagaikan khayalan ketika membacanya. Akan tetapi, saya percaya bahawa penyakit ini adalah benar dan boleh menyerang kepada sesiapa sahaja.

Saya dapati selepas menyelami keseluruhan isi, faktor utama yang mendorong pada kecederaan ini apabila golongan ini mulai hilang kepercayaan diri dan bersendirian bergelut dengan masalah duniawi.

Dalam mendepani kehidupan di dunia, manusia tidak mampu lari daripada ujian Tuhan yang mencipta. Sebagai seorang hamba, kita harus bersiap siaga menghadapi setiap dugaan yang mendatang. Bagi orang yang normal, bersendirian boleh menjadi solusi untuk berdua-duaan meminta pertolongan kepada Tuhan. Namun bagi pesakit mental, bersendirian adalah misteri, lorong hitam dan laluan buntu, bagai tiada arah melepaskan beban.

Mereka yang mengalamai tekanan, kemurungan melampau-melampau dek kerana peristiwa lepas yang meninggalkan bekas tidak boleh dibiarkan bersendirian. Mereka boleh sembuh sekiranya ada pendengar setia dan sokongan daripada keluarga sebagaimana luahan pesakit dalam buku ini, kebanyakkan pulih atas bantuan sahabat dan keluarga.

“Kerana itu hargailah mereka yang kuat den sedang bertarung untuk hidup mereka sendiri ini. Dengarlah kata-kata aku, percayakan aku, dan jangan ketawakan aku. Aku hanya perlukan seseorang untuk mendengar. Seseorang yang tidak stigma dan tidak skeptikal. Kalau kau tak boleh nak beri bantuan untuk aku menjadi lebih baik, jangan biar diri kau jadi penyebab keadaan aku jadi lebih teruk.” -Hidayu, hal.96.

Akhirul kalam, bantulah mereka dengan mengharmonikan suasana bukan mencelarukan keadaan. Marilah kita saling mendoakan agar Allah ta’ala mengurniakan kesihatan yang baik pada luaran dan juga dalaman.

Senantiasalah memelihara hubungan dengan Allah agar Allah memelihara hubungan kita sesama manusia. Sungguh, Allah sedang merancang sesuatu hikmah disebalik musibah yang menerpa.

Percayalah. Penyakit berkenaan mental adalah wujud dan hanya mereka yang menanggung segala keperitan saja yang memahaminya.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67