Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Aku, Buku & Kota Kaherah
Tajuk : Aku, Buku & Kota Kaherah
Penulis : Shahriman Jamalullayl
Penerbit : Toko Buku Azbakia
Halaman : 242 muka surat
Sebuah perjalanan penulis yang menggunakan kesempatan yang ada untuk memburu buku-buku terpakai, nadir atau langka, ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Pengalaman penulis dalam dunia pembacaan boleh dikatakan sama dengan saya iaitu minat untuk menekuni buku itu hadir ketika menuntut di pengajian tinggi. Ketika itu baru tahu wujudnya pesta buku, mabuk buku dan sebagainya.
Satu kelebihan yang ada di Kaherah adalah terdapatnya pasar buku seperti Sur al-Azbakiyah yang membolehkan pembaca untuk mencari buku di tempat yang sama dari pelbagai penjual. Fenomena ini sukar dijumpai di Malaysia melainkan kita mengharapkan pesta buku tertentu baru kita dapat melihat pelbagai jenis buku dari pelbagai penerbit dan selain mengharapkan kedai buku besar seperti MPH, Kinokuniya, BookXcess dan sebagainya. Tambahan lagi, Pesta Buku Antarabangsa Kaherah (Ma’rad al- Qahirah al-Duwali lil Kitab) pernah diiktiraf sebagai pesta buku terbesar dunia selepas Pesta Buku Frankfurt di Jerman.
Walaupun genre dan bidang buku; kitab arab yang penulis minati berbeza daripada saya, satu perkara yang paling menarik perhatian adalah apabila penulis berjaya mendapatkan sebuah kitab yang diharamkan dijual di Mesir iaitu Ma’alim fi al-Toriq karangan Sayyid Qutb. Dikatakan Sayyid Qutb (semoga Allah mengampuninya dan merahmatinya) membawa doktrin takfiri (mengkafirkan sesama muslim dan bukan muslim), disebabkan itulah kitab tersebut diharamkan di Mesir. Turut yang menjadi buruan penulis ketika ‘memburu’ di pasar buku adalah majalah Ikhwan (Ikhwanul Muslimin), gerakan haraki Islam yang sangat sukar dijumpai melainkan terpaksa membuat urusan jual beli secara ‘belakang’.
Selain daripada itu, di dalam buku ini juga penulis menyebut tokoh-tokoh seperti Sheikh Idris al- Marbawi (orang Melayu) yang cukup tersohor di Mesir hasil penulisannya Kamus Marbawi (Arab- Melayu), Sheikh Nuruddin al-Banjari yang mengajar kitab kepada pelajar Malaysia di Kaherah, dan Sheikh Ali Jumaah yang mengeluarkan fatwa al-Azhar untuk penulis lalu dihantarkan kepada badan zakat di Perak sementelah penulis gagal mendapatkan wang zakat disebabkan penulis berketurunan Syed (keturunan Rasulullah saw).
Satu kekaguman saya terhadap penulis ini adalah beliau tidak lokek untuk berbelanja membeli buku/kitab ketika menuntut di Mesir sekalipun terpaksa mengikat perut demi ilmu yang terkandung di dalam buku-buku yang dimiliki. Seperti yang disebut oleh seorang penjual buku di sana, agak sukar untuk ditemukan pelajar Malaysia yang membeli buku dalam kuantiti yang banyak. Kesimpulannya, buku Aku, Buku & Kota Kaherah merupakan sebuah buku yang sangat dekat dengan pembaca yang sinonim dengan panggilan bibliofil.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca