Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Akhir Euforia
Judul: Akhir Euforia
Penulis: Cik Melati Yusuf
Penerbit: Double ‘E’ Marketing
Tahun Penerbitan: 2012
Jumlah Halaman: 108
“Kuasa seni yang hanya diapresiasikan dengan hati. Menyanggah seni juga, menghilangkan abadi jiwa dari jasad. Mengembalikan jiwa yang hilang seumpama mencari sebatang jarum dalam hamparan rumput yang meluas”.
Kenyataan yang saya ujarkan ini bersandarkan kepada karakter Melandani, yang merupakan teman karib kepada watak Danang. Kesihatan Melandani sentiasa digusarkan oleh Danang lantaran ketaksubannya kepada dendangan puisi di Laman Istana Budaya sehinggakan mengendah ke tepi perihal sihat sakitnya sendiri. Betapa ramai tidak menyedari akan maqam kesihatan yang sentiasa berada pada kategori eksklusif, bahkan sekiranya bertanding dalam lapangan jawatan sekali pun, kesihatan mampu dinobatkan sebagai eksekutif. Ini kerana peri pentingnya yang mampu merubah lara menjadi suka, bahkan mengheret pasif menjadi aktif. Namun begitu, bagi Melandani, keasyikan Melandani dalam enigmanya sendiri mengakibatkan kemerosoton dalam kesihatannya.
Kondusi Melandani yang lebih merenyuhkan lagi alur fikiran Danang ialah sebaik terserempak dengan Melandani setelah beberapa purnama Melandani menghilangkan dirinya daripada kediaman sedaerah dengan Danang dan sahabat sekampung mereka yang lain. Ternyata pertemuan kembali antara Danang dengan Melandani di stesen bas telah menjawab ketidaksangkaan Danang selama ini. Melandani yang dibanggakan dengan nota-nota puisi dan bekerja dalam bidang perniagaan berubah wajah menjadi seorang peminta sedekah. Bukan itu sahaja, corak pergaulan Melandani juga berubah daripada seorang yang tegar ceria kepada insan polos yang begitu naif dan menyembunyikan rundum hati demi sesuap nasi buat isteri dan anak-anaknya. Inilah sekitar coretan bab pertama daripada tujuh bab yang disajikan oleh penulis.
Bab pertama sudah berjaya menggertak minat pembaca untuk terus berinkuiri, mana mungkin tidak akan dipanjangkan langkah sehingga kepada kulit keras halaman terakhir. Bab kedua pula yang dijudulkan sebagai ‘Debaran Menanti’ ternyata meninggalkan getaran debaran kerana mengisahkan tentang amarah dan dendam akibat perbuatan mencalarkan maruah di hadapan khalayak ramai. Watak lain iaitu Fik berperanan menyabarkan Giyar yang telah berniat untuk menghabiskan nyawa Rudi dengan menggunakan badik. Bara yang diduga sudah menyejuk rupanya kembali berkobar. Hutang harga diri yang sudah diinjak-injak adalah kematian sahaja. Inilah hasutan amarah yang membakar emosi seseorang yang sedang bergejolak. Benarlah kata orang lama, memafkan tetapi tidak melupakan. Lebih padah bila mana nilai diri yang ingin menuntut pembelaan. Maka tidak ada yang lebih berbahaya berbanding pertaruhan yang dibayar dengan nyawa manusia. Seumpama rundingan sudah tidak lagi wujud, walhal api yang marak harus dipadamkan dengan air dan bukan disimbah dengan minyak.
Begitulah fitrah manusiawi. Raja yang mengendalikan adalah hati, namun andai hati tidak menjadi raja yang mendamaikan diri, maka nafsu jua yang akan menjerat binasa. Sesungguhnya, dendam hitam yang mengental akan berteman pada permulaan sahaja, namun akan pantas meninggalkan sejurus bencana menimpa tuannya. Kala itu, hanya penyesalan yang tidak berpenawar yang merintih hari-harinya. Usai dendam darah terbalas, apa lagi yang tinggal selain gemuruh hiruk di dada menanti hukum undang-undang yang mengheretnya ke tali gantung. Oleh itu, sentiasa beringatlah akan pesanan orang bijaksana. Sebelum seluruh persendian tubuh kita bagai lemas didera ketakutan kerana perbuatan tangan dan kaki kita sewaktu ketidakwarasan menimpa, takutlah kepada Tuhan. Banyakkan merefleksi diri bahawa dunia ini adalah ujian dan saling memafkan adalah perbuatan yang terbaik yang membiaskan ketenangan yang lebih lama.
Berbalik kepada kisah Giyar dengan tekadnya untuk menghunus badik ke usus perut Radi, adakah ia terlaksana? Maka suka saya tinggalkan persoalan ini kepada pembaca terkemudian. Semoga titik-titik persoalan ini bersua dengan pertanyaan selanjutnya bagi lima bab lain dalam naskhah menarik ini. Meninjau ceritera dalam bab tiga yang bertajuk ‘Nenek Weng’ yang berkisar mengenai nostalgia yang diputarkan oleh Ahu yang saya anggap lebih mengalir tenang seperti mata air telaga. Masakan tidak, Ahu mengimbau pasca tahun 1945, yakni zaman datuknya bekerja di syarikat Belanda dan seterusnya beralih kepada sekitar tahun 1955, sewaktu bapanya sekeluarga mendiami Makasar merupakan perkongsian sejarah yang bermanfaat.
Bab empat yang yang diberi nama ‘Di balik kubah masjid’, bab lima yang bernama ‘Malam celaka’ sehinggalah menuju ke bab terakhir yang dijenamakan sebagai ‘Mereka tidak kelihatan’, pasti akan membuatkan pembaca melongo kerana tujuh kisah terdampar dalam hanya satu naskhah sahaja. Imbuhan kemudahan yang menguntungkan buat pembaca daripada penulis yang budiman kerana menyediakan glosari kata pada beberapa halaman terakhir untuk dirujuk sekiranya terdapat perkataan yang tidak difahami oleh para pembaca. Nah, apa yang dimanggukan lagi? Dapatkan segera simbol 7 dalam 1 kerana ia akan menjadi perintis keseronokan menelaah dalam hidup anda!
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca